Pengasuhan Positif

Kanak-Kanak Membesar Masih Memerlukan Susu

Susu merupakan sumber yang baik bagi pelbagai nutrien yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan sempurna anak anda kerana ia kaya dengan nutrien penting seperti vitamin D, kalsium dan berbagai nutrient lain. Malangnya, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja Malaysia tidak mengambil susu dan hasil tenusu secukupnya.

Trend kanak-kanak makin kurang minum susu apabila semakin membesar, ini membimbangkan lebih-lebih lagi apabila ia juga sejajar pula dengan peningkatan pengambilan minuman manis yang kurang berkhasiat seperti minuman ringan atau minuman berperisa buah. Semua tabiat pemakanan yang tidak sihat ini menyumbang kepada masalah obesiti dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.

Tidak mendapat secukupnya

Kajian SEANUTS (South East Asian Nutrition Surveys) telah menunjukkan bahawa hampir separuh daripada kanak-kanak di Malaysia yang berusia di antara enam bulan hingga 12 tahun yang ditinjau menghidapi kekurangan vitamin D. Pengambilan pemakanan mereka tidak mematuhi Saranan Pengambilan Nutrien (RNI, diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia), dengan lebih daripada satu per tiga kanak-kanak gagal mencapai jumlah pengambilan tenaga, kalsium dan Vitamin D yang disarankan.

Vitamin D dan kalsium, kedua-duanya adalah kritikal bagi kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia memainkan peranan utama dalam memastikan kesihatan tulang. Vitamin D membantu tubuh anak anda menyerap kalsium, yang penting untuk pertumbuhan fizikal dan perkembangannya. Ia juga membantu memperbaiki ketumpatan tulang, maka mengurangkan kemungkinan tulangnya rapuh apabila dia menua.

Berikut adalah beberapa makanan lain yang mengandungi:

  • Vitamin D: Susu dan produk susu, ikan berlemak (contohnya, tuna, salmon), minyak ikan, kuning telur, atau makanan yang diperkaya dengan vitamin D.
  • Kalsium: Susu dan produk susu, sayur (contohnya, bayam, selada air, sawi, cekur manis, pucuk ubi, kalian dan brokoli), ikan dengan tulang yang boleh dimakan (contohnya, sardin di dalam tin dan ikan bilis), kekacang dan produk kacang, tauhu dan tempe.

Kanak-kanak Malaysia tidak minum susu secukupnya

Hasil satu kajian keatas kanak-kanak Malaysia berumur 1 hingga 10 tahun yang dinamakan “Pola Pengambilan Susu Dalam Kalangan Kanak-Kanak Bandar Malaysia Daripada Pendapatan Isi Rumah Yang Berbeza” lain pula menunjukkan bahawa secara purata, pengambilan susu adalah kurang daripada dua sajian sehari, di mana satu sajian adalah bersamaan dengan satu gelas (atau 200ml). Kajian SEANUTS juga menunjukkan bahawa kanak-kanak sekolah hanya mengambil separuh daripada jumlah sajian yang disarankan bagi susu. Jumlah ini adalah lebih rendah daripada saranan dua hingga tiga sajian susu atau produk susu setiap hari.

Amalan tidak minum susu secukupnya dari usia muda ini akan menjadi satu tabiat yang akan dibawa sehingga dewasa. Oleh yang demikian, adalah lebih baik untuk mula menyediakan susu sebagai pilihan minuman yang sihat dan galakkan dia mengambil jumlah susu serta produk susu mengikut saranan sepanjang zaman kanak-kanak. Membentuk tabiat minum susu dari awal akan membantu memastikan anak anda meneruskan tabiat ini sehingga dewasa (dia seharusnya mengambil satu hingga dua sajian susu atau produk susu sehari).

Ingat bahawa susu dan produk susu merupakan sumber pemakanan yang sangat baik meskipun untuk orang dewasa dan tiada sebab untuk anak anda mengurangkan pengambilan susu semasa dia sedang membesar.

Mendapatkan kebaikan secawan susu

Dengan begitu banyak kebaikan yang boleh didapati daripadanya, susu merupakan salah satu minuman paling berkhasiat yang anak anda wajib minum. Berikut adalah beberapa tip untuk membantu anak anda mencapai jumlah sajian susu yang disarankan dengan menjadikannya lebih enak untuk diminum:

Sejukkan!

Hidangkan anak anda susu sejuk. Anda boleh menyimpannya dahulu di dalam peti sejuk atau tambahkan sahaja beberapa ketul ais sebaik sebelum menghidangnya.

Campurkan dengan minuman lain!

Guna susu segar, UHT atau susu tepung berbanding susu pekat manis apabila membuat minuman seperti kopi atau teh.

Kocakkan!

Buat susu kocak atau smoothie yang menggunakan susu sebagai ramuan utama. Anda boleh membuat pelbagai jenis dengan hanya menambah buah, biskut, mentega kacang atau coklat ke dalam susu. Cipta resepi istimewa anda sendiri!

Intoleransi laktosa?

Kanak-kanak yang intoleransi laktosa selalunya boleh mengambil sedikit susu (sekitar ½ cawan, diambil secara berkala sepanjang hari). Cara lain ialah dengan memberi anak anda produk susu yang difermentasi seperti yogurt atau keju.

Tambah ke dalam resipi anda!

Cari resipi yang menggunakan susu dalam ramuannya dan tambahkannya ke dalam koleksi hidangan untuk keluarga anda. Susu boleh digunakan dalam biskut, untuk membuat puding dan juga ditambahkan ke dalam sup cendawan atau sup ayam untuk mejadikannya lebih berkrim. Anda juga boleh menambah susu ke dalam telur hancur untuk hidangan yang lebih enak. Sebagai alternatif, gunakan susu untuk menggantikan santan.

‘Penyegar’ hebat!

Selepas sehari suntuk di sekolah atau pagi yang meletihkan atau petang yang sibuk dengan aktiviti (contohnya, bola sepak, badminton, atau berenang), secawan susu sejuk dapat menyegarkan semula anak anda. Susu berperisa juga boleh diminum dengan syarat anak anda tidak minum terlalu banyak. Terdapat bukti saintifik yang menunjukkan bahawa susu merupakan minuman yang lebih baik untuk memulihkan imbangan cecair tubuh selepas senaman berat.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen