Menari boleh dianggap sebagai satu bentuk pembelajaran yang bukan sahaja digemari oleh kebanyakan kanak-kanak, malah adalah seronok untuk belajar sambil mempraktikkan (pembelajaran kinestesis). Baik sekali, dengan peningkatan statistik obesiti dalam kalangan kanak-kanak, tarian boleh menjadi satu bentuk senaman yang sangat baik!
Malahan, ia merupakan sebahagian daripada saranan Kementerian Kesihatan bahawa kanak-kanak harus mendapat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana setiap hari dan mengambil bahagian dalam aktiviti lebih lasak bagi meningkatkan kekuatan otot dan tulang, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Tambahan lagi, menari bukan sahaja membantu anak anda membakar tenaga berlebihan, ia juga membantu mengekalkan kesihatan dan memberi banyak manfaat lain. Sebenarnya, menari melibatkan beberapa fungsi otak secara serentak. Menari terbukti membantu bentuk lebih banyak laluan dan hubungan saraf di dalam otak lantas meningkatkan kecerdasan kita.
Bermula Awal
Bermula dari umur sebulan atau dua bulan, anak kecil anda sudah boleh memberi respon kepada muzik. Anda dapati anak anda tersenyum pada anda atau meniru tarian dengan caranya tersendiri atau mungkin menggoyang-goyangkan tangan atau kaki.
Ingatlah bahawa walaupun sebelum mereka dilahirkan, bayi memberi perhatian kepada bunyi dan nada, contohnya intonasi percakapan dan denyutan jantung ibu. Apabila mereka boleh mula berjalan, kemahiran motor kasar anak kecil anda telah meningkat secukupnya untuk ‘menari’ dengan mengerak-gerakkan tubuhnya ke atas dan ke bawah.
Bagaimana Menari Boleh Membantu
Menari merupakan satu pendekatan yang sangat baik dalam membantu memupuk pelbagai aspek perkembangan anak anda yang sedang membesar dan tidak terhad kepada perkembangan fizikal sahaja. Menari membantu mengintegrasikan beberapa fungsi otak secara serentak, khususnya kinestesis, pemikiran rasional, muzik, dan emosi. Ini meningkatkan lagi hubungan dan laluan saraf anak anda.
Mari lihat secara ringkas setiap kebaikan menari:
-
- Perkembangan Fizikal:
Dibandingkan dengan aktiviti fizikal lain, menari adalah lebih mencabar dan melibatkan lebih banyak jenis pergerakan, daya ketahanan fizikal, stamina dan koordinasi. Menari boleh memperbaiki tona otot, memperbetulkan postur yang kurang baik, meningkatkan imbangan dan memperbaiki kesihatan kardiovaskular. Apa yang menarik tentang menari ialah seluruh tubuh digunakan. Ini merupakan satu senaman yang sangat baik. Antara manfaat lain termasuklah kepadatan tulang yang lebih baik dan jantung serta paru-paru yang lebih sihat.
-
- Kematangan Emosi:
Dengan memberi peluang kepada anak-anak kecil untuk meluahkan emosi melalui tarian, mereka mendapat kesedaran diri, keyakinan diri dan harga diri. Ini membantu menggalakkan kesihatan psikologi yang lebih baik dan kematangan, selain daripada ruang untuk melegakan fizikal mereka.
-
- Perkembangan Kognitif:
Menari membantu meningkatkan kemahiran kognitif anak anda. Menari ialah aktiviti lasak yang membantu meningkat bekalan darah sekaligus memastikan otak berfungsi dengan baik. Sifat dinamik membuat keputusan (contohnya, langkah tarian seterusnya yang perlu diambil) membantu memperbaiki fungsi otak, maka meningkatkan kapasiti mentalnya kerana tubuh dan proses kognitif juga akan bersenam.
-
- Minda Berdisiplin:
Tarian sering melibatkan menghafal rutin yang rapi atau aturan pergerakan. Ini memperbaiki keseimbangan, kesedaran ruang dan paling penting sekali, menggalakkan pemikiran yang berorientasikan keterperincian.
-
- Kesedaran Sosial:
Kelas tarian memberi anak-anak kecil peluang untuk bertemu dan menari bersama rakan sebaya mereka. Keseronokan dan sering kali aspek mencabar bekerja secara berkumpulan, akan memberi kebaikan kepada anak anda apabila dia belajar tentang interaksi sosial dan kerjasama.
Mari Menari!
Dengan begitu, banyak faedah yang boleh diperolehi, tarian merupakan sesuatu yang anda harus mempertimbangkan secara serius untuk anak anda. Ingat, faedah-faedahnya menjangkaui jantina – tidak kira lelaki atau perempuan, kedua-duanya akan mendapat manfaat daripada tarian.
Oleh itu, bagaimanakah untuk bermula? Cara yang mudah adalah dengan mendaftarkan dia ke kelas tarian. Terdapat banyak gaya menari yang boleh dipilih, seperti balet, tarian tap, tarian sosial (contohnya, jaz, foxtrot, cha-cha, dll.) atau tarian tradisional/budaya/etnik (contohnya Mak Yong, Kuda Kepang, Joget, tarian naga/singa, Bharata Natyam, Bhangra, dll).
Sekiranya pilihan-pilihan ini tidak menarik buat anak anda, terdapat tarian kontemporari lain yang boleh dipilih seperti hip-hop, Zumba, atau tarian jalanan. Tiada sebab langsung untuk dia tidak menari!
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen