Pengasuhan Positif

Menjayakan Penyusuan Susu Ibu secara Eklusif Selama 6 bulan

Mudah. Semulajadi. Indah. Sumber khasiat dan penawar yang diberikan penuh dengan kasih sayang. Itulah yang sering diperkatakan kepada kita dan apa yang kebanyakan ibu percaya. Walaupun kesemuanya benar, ia tidak memberi gambaran keseluruhan tentang penyusuan susu ibu.

Realitinya, ibu-ibu hari ini melalui kehidupan yang sangat sibuk. Kerjaya, kerja-kerja rumah dan komitmen keluarga semuanya terkumpul dan boleh memberi tekanan kepada ibu dari segi fizikal dan mental – mempunyai seorang bayi untuk disusukan akan menambah kepada komitmen seorang ibu bekerjaya.

Berapa Lama Harus Anda Menyusukan Bayi?

Ibu-ibu disarankan untuk menyusukan bayi secara eksklusif bagi tempoh enam bulan pertama kehidupan bayi, diikuti dengan penyusuan susu ibu yang digabungkan dengan makanan pelengkap sehingga berusia dua tahun.

Tahukah anda!

Secara puratanya, penyusuan susu ibu memerlukan 400-600 kalori sehari. Seorang ibu yang memberi susu formula kepada bayinya perlu berenang sekurang-kurangnya 30 pusingan atau berbasikal naik bukit selama sejam sehari untuk membuang jumlah kalori yang sama.

Menyusukan bayi dengan susu ibu secara eksklusif dengan jayanya memberi banyak manfaat:

Mother

  • membakar kalori yang berlebihan
  • mempercepatkan pengurangan berat badan
  • membantu mengembalikan rahim kepada saiz sebelum hamil
  • mengurangkan pendarahan rahim selepas bersalin
  • mengurangkan risiko diabetes pada masa akan datang
  • memperbaiki kawalan gula dalam darah, dan profil kolesterol
  • mengurangkan risiko penyakit jantung
  • mengurangkan risiko kanser payudara
  • mengurangkan risiko osteoporosis

Baby

  • mengurangkan risiko bayi anda mendapat asma atau alahan
  • lebih rintang terhadap penyakit dan jangkitan pada awal kehidupan
  • kurang kaviti gigi apabila semakin banyak gigi tumbuh
  • kurang cenderung menjadi obes apabila besar
  • IQ yang lebih tinggi

Walau bagaimanapun, menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan bukanlah perkara paling mudah untuk dilakukan dan ramai ibu mungkin tidak akan dapat melakukannya. Malah, di Malaysia, kurang daripada 15% bayi disusukan secara eksklusif selama enam bulan pertama kehidupan mereka. Ini mungkin kerana ibu-ibu berhadapan dengan banyak cabaran:

  1. Ramai ibu yang baru melahirkan bayi tawar hati dan ada kalanya menyerah kalah kerana mereka fikir bahawa mereka telah gagal kerana tidak dapat menghasilkan susu secukupnya untuk bayi mereka.
  2. Terdapat ibu-ibu yang takut untuk memulakan penyusuan kerana menjangka bahawa penyusuan susu ibu menyakitkan dan tidak selesa.
  3. Ada pula yang terlalu sibuk di tempat kerja dan terlalu penat apabila sampai di rumah. Lebih mudah memberi susu formula.
  4. Kurang sokongan (daripada pasangan, ahli keluarga) dan kurang pendidikan tentang aspek-aspek praktikal menyusukan bayi boleh menyebabkan kebimbangan dan besar kemungkinan memberhentikan penyusuan.
  5. Perahan susu ibu terlalu sedikit. Ibu-ibu berasa bahawa tidak berbaloi menghabiskan masa dan tenaga mengepam susu dan akhirnya memberhentikan penyusuan.
  6. Rasa kurang selesa apabila menyusukan bayi di tempat awam.

Tip-tip menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan:

  1. Lengkapkan diri anda dengan maklumat relevan tentang peyusuan susu ibu (teknik menyusukan bayi, posisi, dll) dan bersedia secara mental. Ikuti kelas penyusuan susu ibu jika anda mempunyai masa atau sertai kumpulan sokongan penyusuan susu ibu – mereka dapat memberi banyak nasihat.
  2. Alah bisa, tegal biasa – tiada siapa dapat lakukannya dengan sempurna pada kali pertama. Mencuba posisi pelekapan yang berbeza boleh membantu anda mencari posisi terbaik yang selesa untuk anda dan bayi anda.
  3. Mulakan penyusuan susu ibu sejurus selepas melahirkan bayi dan bina bekalan susu anda untuk memenuhi keperluan bayi dengan menyusukannya berulang kali atau apabila dia lapar.
  4. Belajar memerah susu anda dan ketahui cara untuk menyimpannya dengan baik.
  5. Berbincang dengan majikan anda tentang cara untuk memudahkan anda memerah susu di pejabat dan sama ada waktu bekerja anda boleh lebih fleksibel. Mereka mungkin mempunyai polisi penyusuan susu ibu di tempat kerja yang baik dan mengetahui bagaimana untuk memenuhi keperluan anda kerana mereka sendiri mungkin telah melaluinya.
  6. Dapatkan cukup hidrasi, makan diet yang sihat dan berkhasiat, jangan memberi tekanan kepada diri sendiri dan berehat secukupnya.
  7. Jangan rahsiakan masalah anda. Berbincang dengan pasangan anda dan ahli keluarga yang boleh dipercayai. Dapatkan sokongan dan galakan daripada mereka. Memang anda yang akan bekerja keras tetapi tidak bermakna orang lain tidak boleh membantu anda melaluinya – jadikan ia satu usaha berpasukan dan kongsikan beban anda.
  8. Jangan pedulikan mereka yang tidak menyokong; keutamaan anda adalah anak anda. untuk keluar berjalan. Lebih baik lagi jika anda dapat menyediakan kit menyusukan bayi di luar dengan menyediakan semua keperluan anda (iaitu pakaian yang sesuai untuk menyusukan bayi, tuala, salap).

Anda mungkin tergoda untuk memberi susu formula di peringkat awal apabila anda terlalu letih dan adakalanya kecewa. Namun, susu ibu adalah yang terbaik dan sumber pemakanan paling holistik yang tiada tandingannya untuk anak anda.

Jangan menyerah kalah, ikuti tip-tip tersebut dan himpunkan semangat dan kekuatan – yang anda akan dapat setiap kali anda melihat muka si kecil anda yang comel dan suci – untuk meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi enam bulan pertama. Teruskan penyusuan susu ibu walaupun setelah anda mula memberi bayi anda makanan pelengkap. Anda tidak akan menyesal!

Kumpulan-Kumpulan Sokongan & Advokaasi Penyusuan Susu Ibu di Malaysia

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen