Pengasuhan Positif

Adakah Anda Bersedia untuk Menyambut Bayi?

Keputusan untuk memulakan sebuah keluarga atau menimang cahaya mata merupakan sesuatu yang penting dan walaupun terdapat banyak cabaran yang menunggu anda, ganjarannya sangat memuaskan. Sebagai lelaki, anda harus mengambil berat dan mempelajari mengenai keadaan isteri anda yang hamil.

Langkah-langkah berikut hendaklah melibatkan banyak komunikasi di antara pasangan – duduk dan berbincanglah bersama mengenai apa yang bakal anda hadapi bersama untuk mencegah sebarang masalah di kemudian hari disebabkan perselisihan faham.

Peranan suami dan isteri harus dibincang dan dipersetujui lebih awal dan langkah ini sangat penting. Ingatlah bahawa tiada perkara yang tidak penting; lagipun kehidupan hari ke hari anda akan banyak berubah!

Masalah peringkat permulaan

Tubuh pasangan anda akan melalui beberapa perubahan semasa kehamilan dan perubahan paling ketara ialah perutnya yang membesar dan peningkatan berat badan. Namun, terdapat banyak perubahan lain yang berlaku tanpa disedari dan apabila dilihat keseluruhannya terdapat kesan yang tidak dijangka atau mengejutkan, seperti payudara yang lebih besar, rambut lebih berkilat, kuku tumbuh dengan lebih cepat, ‘seri kehamilan’ atau jerawat keluar secara tiba-tiba, kesan regang (stretch marks) di kulit, atau kaki bengkak.

Perubahan-perubahan tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh hormon korionik gonadotropin manusia (HCG) atau lebih dikenali sebagai hormon kehamilan. Jika anda pernah menggunakan kit ujian kehamilan, hormon inilah yang dicari di dalam ujian tersebut. Selain HCG, terdapat hormon lain yang juga akan memberi kesan kepadanya, contohnya seperti hormon peluteinan (LH) dan hormon perangsang folikel (FSH). Perubahan hormon ini adalah penyebab kepada perubahan emosi yang dilalui oleh pasangan anda semasa hamil.

Gabungan hormon-hormon yang kuat ini bermakna pasangan anda mungkin mengalami perubahan emosi yang turun naik, maka bersabarlah dengan segala tingkah lakunya semasa dalam kehamilan. Dia mungkin mengalami masa-masa di mana dia berasa amat letih, mabuk hamil, fikiran yang keliru, atau lesu. Dia juga mungkin murung dan menunjukkan emosi yang tidak rasional iaitu dari perasaan sangat gembira hingga menangis secara tiba-tiba. Anda perlu berikan sedikit ruang kepadanya dalam tempoh yang mencabar dan meletihkan ini. Perhati jika terjadi kemurungan kerana 1 dalam setiap 10 wanita hamil mengalami kemurungan. Pastikan anda berbincang dengan doktor pasangan anda tentang sebarang kebimbangan.

Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi

Agihkan beban kerja – bakal bapa harus memainkan peranan lebih aktif semasa kehamilan pasangannya seperti menemannya berjumpa doktor, membeli-belah barangan bayi, membantu mempersiapkan rumah untuk bayi, dll.

Lebihkan usaha anda membantu di rumah kerana kehamilannya akan membataskan apa yang dia boleh lakukan dari segi kerja-kerja rumah. Beri lebih sokongan kepada pasangan anda – jika anda merokok, inilah masa yang sesuai untuk berhenti. Juga adalah baik untuk mengambil hidangan yang menyihatkan dan bersenam bersama semasa kehamilan pasangan anda.

man-with-mop

Bagi ibu hamil, ketahui batasan anda – kehamilan tidak menjadikan anda seorang yang uzur, tetapi anda harus juga mula menugaskan kerja-kerja rumah kepada pasangan anda. Selain itu, anda perlu lebih mengambil berat tentang kesihatan anda – sekarang anda perlu fikirkan tentang kesihatan bayi anda yang belum lahir. Ini bermakna anda tidak boleh merokok, minum alkohol, atau melakukan sebarang aktiviti fizikal yang boleh menjejaskan kehamilan anda.

Tahukah anda?

Pepatah lama ‘makan untuk dua orang’ kerap disalahtafsir. Memang benar anda perlu meningkatkan pengambilan vitamin, mineral, serat, kalsium, protein, zat besi, dll. Namun, anda tidak semestinya makan dua kali ganda sukatan yang biasa anda ambil. Pemakanan anda semasa hamil adalah penting, oleh itu dapatkan nasihat pakar – berbincang dengan doktor atau pakar pemakanan untuk mendapat pemahaman tentang apa dan banyak mana yang anda perlu makan.

Jangan abaikan emosi anda

Sebagai bakal ibu bapa, adalah penting untuk menyediakan diri anda dari segi emosi untuk menerima seorang bayi. Anda mempunyai sembilan bulan dari masa anda mendapat tahu tentang kehamilan anda untuk menerima hakikat bahawa keluarga anda akan berkembang dan bersedia untuknya. Pelajari seberapa banyak yang boleh dan jangan lupa untuk bekerjasama antara satu sama lain.

Kuncinya ialah komunikasi, maka ambillah masa untuk duduk dan berbincang bersama mengenai harapan, kebimbangan, keresahan, dll. Ini juga adalah masa untuk meneliti semula kerja-kerja rumah dan tanggung jawab. Buat perancangan awal untuk mengelakkan ketidaktentuan apabila tiba masanya untuk melahirkan bayi. Ini termasuk tempat dan cara anda melahirkan bayi (kelahiran biasa, pembedahan caesarean, dll).

Ambil sedikit masa untuk berehat

Semua orang memerlukan sedikit masa untuk bersendirian, oleh itu sediakan masa dalam jadual anda yang sibuk untuk melakukan perkara yang anda gemar. Sekali-sekala, mengambil masa untuk berehat adalah cara yang baik untuk mengatasi stres dan memastikan anda tidak terlalu letih. Dengan berehat, tubuh dan minda anda dapat berehat daripada rutin kehidupan harian yang sama dan membosankan, maka menyegarkan semula anda untuk hari-hari akan datang.

Walau bagaimanapun, aturkan juga masa untuk keluar bersama pasangan anda. Adalah penting untuk mengekalkan hubungan rapat di antara satu sama lain, maka berusahalah untuk meluangkan masa untuk berdua. Keluar makan malam bersama, menonton wayang, atau keluar berjalan pada waktu petang untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen