Apabila si kecil anda mencapai umur enam bulan, dia sudah bersedia untuk diperkenalkan kepada makanan pelengkap. Semasa anda memperkenalkan makanan pelengkap, pastikan anda mulakan dengan makanan yang lembut, cair atau dipuri. Pada ketika ini, susu ibu harus masih menjadi sumber utama pemakanan anak anda – makanan pelengkap adalah untuk melengkapkan pengambilan pemakanannya, yang mana di peringkat awal sebahagian besarnya masih susu ibu.
Sebelum anda mula memberi bayi anda makanan pelengkap, perhatikan tanda-tanda berikut yang menunjukkan bahawa bayi anda bersedia untuk makan makanan pejal:
- Bayi tidak lagi mempunyai refleks extrusion (iaitu dia tidak menolak makanan keluar dari mulut menggunakan lidah).
- Bayi menunjukkan kawalan kepala dan leher yang baik.
- Bayi boleh duduk tegak dengan sedikit sokongan.
- Berat badannya dua kali ganda (berbanding berat lahirnya).
- Bayi menunjukkan minat terhadap makanan anda (contohnya, dia cuba untuk mengambil makanan anda).
- Bayi menunjukkan tanda-tanda masih lapar atau mahu menyusu kerap walaupun diberi susu ibu secara tetap.
Memulakan makanan pelengkap
Jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda dia bersedia, bolehlah anda mula berikan makanan pelengkap! Anda boleh mengambil peluang ini untuk memperkenalkan pelbagai jenis makanan agar bayi dapat belajar mengambil pelbagai jenis makanan. Anda juga boleh menggunakan jadual berikut sebagai panduan tentang jumlah yang diperlukan setiap hari, tetapi perhatikan keperluan bayi anda dan sesuaikan kekerapan dan jumlah makanan mengikut keperluannya.
Sebarang makanan keras (cth: lobak merah, kentang, dll) haruslah dikukus atau dimasak. Amnya, bayi berumur di antara 6-8 bulan hendaklah diberi makanan yang dipuri, lecek, dan separa pejal dan apabila menjelang umur 8 bulan, mereka boleh makan makanan jejari. Apabila mereka berumur di antara 9-11 bulan, mereka sudah mempunyai kemahiran mengunyah dan boleh mengambil makanan yang dicincang kasar. Apabila mencapai umur 12 bulan, mereka seharusnya sudah mampu makan makanan seperti ahli keluarga lain.
Pastikan anda memantau makanan yang anda beri kepadanya dengan memperkenalkan makanan baharu setiap dua atau tiga hari. Ini membolehkan anda mengenalpasti sebarang tanda reaksi alahan terhadap sesuatu makanan. Jika anda tidak pasti, dapatkan nasihat doktor. Anda boleh mulakan dengan bijirin berasaskan beras, kemudian beralih ke satu jenis buah (contohnya, epal, pisang, atau betik) diikuti dengan satu jenis sayur (contohnya, bayam, atau lobak merah). Apabila anda perhatikan bayi anda boleh makan semua jenis makanan tanpa masalah alahan, anda boleh menghidangkan dua atau lebih jenis makanan sekali.
Awasi bahaya tercekik
Sesetengah makanan memerlukan lebih perhatian memandangkan ia boleh menyebabkan bayi anda tercekik. Ini termasuk makanan seperti anggur, kismis, rambutan, gula-gula keras, bertih jagung, kacang tanah, kekacang, jeli dalam cawan kecil, sayur mentah yang keras, dan roti yang tidak dibakar (terutamanya roti putih yang melekat).
Amalkan SSP
Prinsip keseimbangan, kesederhanaan, dan kepelbagaian atau SSP juga diguna pakai untuk bayi seperti bagi orang dewasa. SSP bermaksud mengamalkan:
- diet seimbang yang mengandungi makanan daripada kesemua lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia,
- memberi bayi anda hidangan dalam saiz sajian yang sederhana (dihidang mengikut jumlah sajian yang disarankan bagi setiap kumpulan makanan), dan
- terdiri daripada pelbagai makanan yang memenuhi keperluan pemakanannya.
Jangan bimbang jika anda rasa makanan bayi anda tawar; memandangkan bayi masih baharu mencuba pelbagai jenis makanan, sebenarnya dia akan rasa setiap jenis makanan adalah berperisa! Anda juga boleh tambah nutrien dan perisa ke dalam makanan bayi dengan menggunakan sup yang dimasak sendiri (tanpa menambah garam atau aditif lain!).
Akhir sekali, ingatlah bahawa bahan yang segar adalah pilihan yang terbaik. Anda tidak akan salah jika menyediakan sendiri hidangan yang sihat bagi bayi anda kerana anda tahu apa yang dimasukkan ke dalam hidangan tersebut – anda boleh yakin dengan kualiti ramuan yang digunakan, dan paling penting, ia tidak mengandungi aditif!
Amaran!
Jangan sekali-kali menambah bahan perisa (contohnya, garam, kicap soya atau gula) ke dalam makanan yang anda sediakan untuk bayi anda. Terlalu banyak garam boleh merosakkan buah pinggang bayi yang belum matang manakala terlalu banyak gula boleh menyebabkan kerosakan gigi dan mengganggu selera makan mereka.
Kesuntukan masa?
Walaupun pilihan terbaik adalah untuk anda memasak sendiri makanan pelengkap bayi anda, ramai ibu bapa masa kini tidak mempunyai masa untuk ke dapur. Kemungkinan anda sedang pergi bercuti ke tempat lain dan sukar untuk menyediakan hidangan sendiri.
Salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan membuat sedikit penyesuaian – terdapat banyak makanan bayi komersial yang boleh digunakan terus atau dijadikan sebagai asas bagi menyediakan makanan pelengkap anda sendiri. Walaupun kini terdapat banyak pilihan di pasaran, pastikan anda membaca label dengan teliti dan membuat pilihan yang bijak.
Mula-mula lihat kategori umur, tekstur dan jenis makanan pelengkap. Terdapat produk makanan yang berasaskan satu jenis makanan (contohnya, berasaskan bijirin), manakala terdapat produk lain yang menawarkan kombinasi kumpulan makanan atau hidangan yang lengkap, dan terdapat juga yang sesuai sebagai snek.
Pilihlah yang sesuai untuk bayi anda dan paling penting, jangan lupa membaca senarai ramuan serta panel maklumat pemakanan. Seeloknya, pastikan agar pilihan anda tidak mengandungi sebarang bahan tambahan (contohnya, pengawet, agen pemekat, garam, dan gula).
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen