Pengasuhan Positif

Kesan Malnutrisi Terhadap Pertumbuhan

Apabila seorang kanak-kanak tidak mendapat pemakanan yang mencukupi atau berlebihan, dia dikatakan sebagai menghidap malnutrisi. Malnutrisi menyebabkan kanak-kanak berisiko tinggi menghadapi kematian akibat jangkitan-jangkitan biasa, meningkatkan kekerapan dan tahap keparahan jangkitan tersebut, dan menyumbang kepada penyembuhan yang lambat.

Ramai orang berpendapat bahawa malnutrisi bermaksud ‘kurang zat makanan’ atau ‘tidak mendapat makanan secukupnya’. Ini tidak benar kerana seseorang yang mendapat cukup makanan masih boleh menghidap malnutrisi atau ‘terlebih nutrisi’.

Aspek-aspek malnutrisi termasuk:

Kurang berat badan

Statistik kurang berat badan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia ialah 13.2% dan merupakan risiko utama bagi penyakit di seluruh dunia dan faktor risiko bagi kematian kanak-kanak disebabkan oleh penyakit cirit-birit, campak, malaria dan pneumonia.

Berlebihan berat badan

Statistik berlebihan berat badan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia ialah 8%, dan merupakan risiko global bagi kematian serta bertanggungjawab bagi peningkatan risiko terhadap penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi (hipertensi).

Terbantut

Statistik terbantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia dalam tahun 2006 ialah 15.8%. Pemakanan tidak sempurna dalam tempoh 1000 hari pertama kehidupan kanak-kanak terbukti menyebabkan pertumbuhan terbantut yang kekal dan dikaitkan dengan keupayaan kognitif yang terjejas dan pencapaian di sekolah dan tempat kerja yang rendah.

Susut

Malnutrisi akut, atau susut, terjadi akibat kegagalan peningkatan berat badan. Berat badan kanak-kanak susut adalah lebih rendah daripada berat badan yang sesuai untuk ketinggian mereka. Susut adalah indikasi penyakit-penyakit seperti tuberkulosis, penyakit Lou Gehrig, sklerosis berganda, dan juga kanser.

Kekurangan mikronutrien

Juga dinamakan ‘kelaparan tersembunyi’, ia berpunca daripada kekurangan vitamin dan mineral penting (seperti, vitamin A, zink, zat besi, magnesium) dalam diet. Ia boleh menyebabkan penyakit, kurang penglihatan, kematian pramatang, produktiviti rendah, dan perkembangan mental yang terjejas.

cartoon-boy-eating-fast-food

Simptom-simptom malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak termasuk:

  • Kegagalan membesar dengan normal, dari segi berat dan tinggi
  • Perubahan tingkah laku seperti kelihatan lebih rengsa daripada biasa, lesu atau resah
  • Perubahan warna rambut dan kulit
  • Mengambil masa lama untuk sembuh daripada jangkitan atau luka
  • Kurang daya tumpuan
  • Cirit-birit yang berulang
  • Kemurungan

Berat badan dan pertumbuhan fizikal anak anda boleh memberikan anda indikasi sama ada anak anda menghidapi malnutrisi. Oleh itu, anak-anak anda harus dipantau dengan kerap dalam tempoh beberapa tahun pertama kehidupan mereka oleh seorang doktor. Kemudiannya, anda pula boleh mengawasi pertumbuhan mereka sendiri dengan mengukur indeks jisim tubuh atau body mass index (BMI) menggunakan carta pertumbuhan (lihat artikel Adakah Anak Anda Membesar dengan Sempurna?).

Memandangkan pemakanan memainkan peranan penting dalam kesihatan dan keseluruhan pertumbuhan serta perkembangan anak anda, maka anda bertanggung jawab untuk menyediakan pemakanan secukupnya. Menyediakan makanan yang seimbang dan pelbagai daripada jenis kumpulan makanan yang berbeza pada setiap waktu makanan merupakan cara terbaik untuk memastikan anak anda mendapat nutrien-nutrien dalam gabungan yang sihat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen