Pengasuhan Positif

Vitamin D dan Anak Anda

Kajian yang dijalankan baru-baru ini di Malaysia telah mendedahkan sesuatu yang tidak dijangka – hampir separuh daripada kanak-kanak (47.5%) yang ditinjau kekurangan vitamin D. Survei Pemakanan Kanak-Kanak Malaysia merupakan sebahagian daripada Survei Pemakanan Asia Tenggara atau South East Asian Nutrition Surveys (SEANUTS), yang merupakan kajian multi-pusat yang dilaksanakan di empat buah negara, khususnya Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam. SEANUTS dilaksanakan untuk menilai secara komprehensif taraf pemakanan kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga 12 tahun.

Keadaan di mana hampir separuh daripada kanak-kanak Malaysia kekurangan vitamin D adalah amat membimbangkan memandangkan vitamin D mempunyai beberapa peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan anak anda. Peranan paling penting yang dimainkan oleh vitamin D ialah ia mengawal paras kalsium dan fosfat dalam tubuh, yang mana kedua-duanya penting untuk tulang dan gigi yang sihat. Kanak-kanak yang kekurangan vitamin D menghadapi risiko kecacatan seperti rikets, manakala orang dewasa berisiko mendapat osteomalasia, iaitu keadaan yang bercirikan kesakitan dan kelembutan tulang.

Vitamin D juga memainkan peranan dalam mengawal sistem imun dan neuromuskular. Kajian menunjukkan bahawa vitamin D meningkatkan sistem imun tubuh anda dengan rintangan yang lebih baik terhadap penyakit-penyakit kronik dan tindak balas imun yang lebih baik. Sebaliknya, kajian terkini menunjukkan bahawa kekurangan vitamin D dikaitkan dengan peningkatan kerentanan kepada jangkitan dan penyakit-penyakit autoimun seperti sklerosis multipel (MS), artritis reumatoid (RA), diabetes mellitus (DM) dan sistemik lupus eritematosus (SLE).

Terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi kandungan nutrien yang boleh digunakan, disimpan atau dikumuh, iaitu:

  • Komponen nutrien makanan, iaitu struktur kimianya.
  • Jantina, umur, status nutrien dan peringkat hidup (kadar pengambilan yang tinggi > 90%).
  • Makronutrien – Karbohidrat, protein, lemak (pemakanan tinggi > 90%).
  • Mikronutrien – Vitamin dan mineral (Berbeza-beza dalam jumlah yang diserap dan digunakan).
  • Pengambilan ber lebihan satu jenis mineral boleh mempengaruhi penyerapan dan metabolism mineral lain.

Sumber-sumber Vitamin D

Di mana anda boleh mendapat vitamin yang penting ini? Sebagai permulaan, tubuh anda boleh menghasilkan vitamin D-nya sendiri! Ia berlaku apabila kulit anda terdedah kepada cahaya matahari secukupnya, tetapi hanya jika pelindung tidak digunakan. Lazimnya, pendedahan matahari sekitar 30 minit pada muka dan tangan akan memenuhi keperluan harian vitamin D anda.

cartoon-sun

Namun, hanya pendedahan kepada sinar UVB yang khusus pada jarak gelombang 290–320 nanometer akan berkesan. Jumlah vitamin D yang dihasilkan juga sangat bergantung kepada faktor-faktor seperti:

  • luas permukaan kulit yang terdedah kepada matahari.
  • warna kulit (iaitu kulit cerah memerlukan sedikit pendedahan matahari berbanding kulit gelap, yang memerlukan lebih pendedahan matahari)
  • keadaan matahari (iaitu jika matahari diselubungi sepenuhnya dengan awan, hanya separuh UVB didapati, manakala berteduh menggunakan sebarang pelindung mengurangkan UVB yang didapati sebanyak 60%).

Ambil perhatian bahawa sinaran UVB yang diperlukan oleh kulit anda untuk menghasilkan vitamin D tidak boleh menebusi kaca – terdedah kepada sinaran matahari melalui tingkap semasa berada di dalam kereta/rumah tidak akan berkesan.

Malangnya, risiko kesihatan yang lain akibat pendedahan kepada sinaran UVB bermakna ia bukanlah satu penyelesaian yang baik, kebanyakan kita tidak mendapat cukup pendedahan kepada sinaran matahari untuk menghasilkan jumlah vitamin D yang mencukupi. Maka pengambilan makanan yang tinggi vitamin D adalah penting. Sumber makanan semula jadi vitamin D termasuk:

sumber-vitamin-d

Selain daripada sumber semula jadi vitamin D, kini terdapat banyak makanan yang diperkayakan dengan vitamin D seperti bijirin, roti, marjerin, dan minuman seperti susu dan jus oren.

‘Penyelesaian Pantas’ Tidak Semestinya Penyelesaian yang Betul

Pilihan lain untuk mendapatkan vitamin D secukupnya ialah daripada suplemen. Namun, dapatkan nasihat doktor anda dahulu sebelum mengambil suplemen kerana pengambilan vitamin D berlebihan boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan. Juga dipanggil ‘keracunan vitamin D’, keadaan ini dikaitkan dengan anoreksia, penurunan berat badan, poliuria, dan aritmia jantung. Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh menyebabkan peningkatan aras kalsium dalam darah anda – ini boleh menyebabkan kalsifikasi vaskular/tisu, yang merosakkan sistem kardiovaskular dan buah pinggang anda.

Pengguna Suplemen – Berwaspada!

Satu lagi faktor yang perlu difikirkan ialah kemungkinan berlakunya interaksi di antara suplemen vitamin D dan sebarang ubat-ubatan yang mungkin diambil oleh anak anda. Beberapa ubat kortikosteroid (contohnya prednisone, yang diberi untuk mengurangkan inflamasi) boleh mengurangkan penyerapan kalsium dan mengurangkan metabolisme vitamin D dalam tubuh.

Vitamin D daripada pendedahan kepada sinaran matahari secukupnya masih merupakan pilihan terbaik. Cara yang baik adalah untuk bersukan atau bermain di luar rumah. Jika anak anda tidak boleh mendapat pendedahan matahari secukupnya, pastikan dia mengambil makanan yang berkhasiat. Lebih baik untuk mengambil lebih banyak makanan yang kaya dengan vitamin D bagi memastikan tubuh anda mendapat bekalan vitamin D yang mencukupi daripada bergantung kepada suplemen.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen