Pengasuhan Positif

Makanan Pelengkap 101- Keselamatan dan Kebersihan

Pemberian makanan pelengkap merupakan masa yang mengujakan untuk ibu bapa, tetapi ia juga tempoh di mana si kecil anda menghidapi sakit perut, cirit-birit atau jangkitan lain seperti Escherichia coli yang boleh membawa maut. Jangkitan lazim berlaku apabila makanan pelengkap tercemar atau sekiranya anda tidak mengamalkan cara penyediaan dan penyimpanan makanan dengan sempurna.

Tahukah anda?

Elak daripada menyimpan makanan anak anda dalam bekas yang besar di dalam peti sejuk/penyejuk beku. Berbuat demikian bermakna anda terpaksa menyahsejuk beku atau memanaskan semula keseluruhan bekas. Ini akan meningkatkan risiko makanan menjadi rosak. Tambahan pula, bakteria membiak dengan cepat dalam cuaca kita, dan menyimpan makanan di dalam peti sejuk atau menyejuk beku hanya melengahkan proses pembiakan kuman.

Bagaimana anda boleh mengekalkan keselamatan makanan

A) Cegah pencemaran makanan pelengkap

Ini mengurangkan risiko penyakit cirit-birit. Walaupun makanan pelengkap paling baik disediakan dan dihidangkan secara individu, kebanyakan ibu bapa kini tidak mampu berbuat demikian. Anda juga boleh menyediakan makanan pelengkap dalam kuantiti yang banyak dan hidangkan apabila si kecil anda memerlukannya. Namun, bagi mencegah sebarang pencemaran, terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian, khususnya:

1) Cara penyediaan yang selamat – kekalkan tabiat menyediakan makanan secara bersih dengan cara:

  • Jangan mencampurkan makanan mentah dengan makanan yang telah dimasak.
  • Jangan guna peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan mentah dengan makanan yang telah dimasak sehingga peralatan tersebut dibasuh dengan bersih terlebih dahulu.
  • Guna bahan-bahan yang segar tetapi sentiasa periksa untuk memastikan makanan tidak rosak.
  • Bagi makanan tin atau sebarang jenis makanan yang tersedia dibungkus, sentiasa periksa tarikh luput untuk memastikan anda tidak membeli dan/atau menggunakannya selepas tarikh luput kerana makanan tersebut mungkin telah rosak.
  • Menyahsejuk beku makanan sejuk beku (mentah atau dimasak) dengan sempurna – jangan tinggalkan pada suhu bilik kerana ia meningkatkan kemungkinan bakteria membiak. Gunakan semua makanan yang telah dinyahsejuk beku. Menyejukbekukan semula hanya akan meningkatkan kemungkinan pencemaran. Pada asasnya terdapat tiga cara menyahsejuk beku makanan sejuk beku dengan selamat:
    • tinggalkan makanan sejuk beku di dalam peti sejuk
    • rendam makanan sejuk beku di dalam air paip yang sejuk
    • guna setting ‘cair beku’ (‘defrost’) dalam ketuhar mikro

2) Amalan penyimpanan selamat – berikut adalah beberapa tabiat baik yang anda harus ikuti:

  • Sentiasa hidangkan makanan sejurus selepas disediakan. Jika terdapat makanan yang ditinggalkan pada suhu bilik melebihi dua jam, jangan beri kepada anak anda kerana ia mungkin tercemar.
  • Sentiasa gunakan bekas kecil yang bersih untuk menyimpan makanan yang berlebihan. Dengan cara ini, anda boleh menggunakannya dengan mudah untuk waktu makan berikutnya tanpa perlu menyahsejuk beku/memanas semula lebihan makanan.
  • Sukatan yang akan digunakan dalam seminggu boleh disimpan di dalam peti sejuk, atau disejuk beku untuk disimpan selama sebulan. Labelkan setiap bekas dengan tarikh disimpan di dalam peti sejuk atau disejuk bekukan agar memudahkan anda mengawasinya.

B) Pastikan dapur anda bersih

Sediakan makanan di tempat yang bersih, gunakan peralatan yang bersih (contohnya, cawan, mangkuk, pinggan, sudu, kayu pemotong, dll) yang telah dibasuh dengan sempurna.

C) Sentiasa gunakan air yang dimasak apabila menyediakan makanan

Menggunakan air terus daripada paip adalah berisiko (terutamanya jika anda tidak mendidihnya terlebih dahulu atau menggunakannya untuk memasak) kerana ia mungkin tercemar.

D) Buang sisa makanan

Jika si kecil anda tidak boleh menghabiskan makanannya, jangan simpan untuk waktu makan berikutnya kerana ia mungkin basi.

E) Beri makanan pelengkap yang sesuai

Jangan beri si kecil anda makanan yang keras, kecil dan bulat. Makanan lain yang harus anda elakkan ialah makanan yang licin dan melekit. Makanan sedemikian boleh menyebabkan aspirasi atau tercekik. Beberapa contoh termasuk gula-gula, gula-gula getah, bertih jagung, gula-gula marshmallow, sebarang jenis kacang, biji-bijian, ikan bertulang, dan sebarang jenis snek yang dicucuk pada lidi atau pencucuk. Jangan lupa buah bersaiz kecil seperti anggur, biji-bijian dan kekacang. Jangan tinggalkan si kecil anda berseorangan tanpa diawasi semasa makan.

Bagaimana anda boleh mengekalkan amalan bersih

a) Bersihkan peti sejuk anda secara tetap – pastikan peti sejuk anda bersih dan tidak terdapat makanan yang rosak atau basi di dalamnya.

b) Basuh tangan anda menggunakan sabun dan air – sentiasa jadikan tabiat untuk membasuh tangan anda sebelum menyediakan makanan/minuman anak anda dan sebelum mula memasak. Selain itu, tabiat membasuh tangan selepas menggunakan tandas, menukar lampin, atau mencuci punggung si kecil anda juga penting.

Ini boleh dilakukan dalam enam langkah yang mudah:

cara-bersihkan-tangan

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen