Pengasuhan Positif

Kerja Rumah dan Anak Anda

Mendapatkan anak anda untuk membantu dengan kerja-kerja rumah secara tetap memberi manfaat kepadanya untuk membesar sebagai orang dewasa yang berjaya disebabkan perasaan harga diri dan kecekapan, serta lebih bertanggungjawab dalam aspek-aspek lain dalam kehidupannya. Selain itu, dia akan mempunyai harga diri yang tinggi dan juga merasai dirinya sebagai sebahagian daripada keluarga. Secara tidak langsung, membuat kerja rumah akan mengajar anak anda tentang kepentingan keluarga dan tanggungjawab.

Untuk memulakannya

Sebelum bermula, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, khususnya;

  • Kepentingan kerja rumah (sebagai ibu bapa, anda perlu mengambil inisiatif dan berusaha untuk mengajar anak anda cara melakukan kerja-kerja tersebut).
  • Kerja rumah haruslah bersesuaian dengan umur/keupayaannya.
  • Anak anda harus terlibat dalam memilih kerja rumah yang dipertanggungjawabkan.
  • Lebih awal anda memulakan anak anda dengan kerja-kerja rumah, lebih mudah bagi dia untuk terus melakukannya apabila dia besar.
  • Kerja rumah memberi anda peluang untuk meluangkan masa dengan anak anda dan merapatkan hubungan.
  • Membuat kerja rumah memberi anak anda asas untuk menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab.
  • Ia memberi anak anda perasaan harga diri, pencapaian, kemahiran hidup dan kecekapan.
  • Ia mengajar anak anda untuk bertanggungjawab (melakukan kerja rumah tanpa disuruh/diingatkan).

Anda boleh bermula memujuk anda anda dengan membahagikan kerja rumah kepada tugasan-tugasan yang mudah. Biarkan dia cuba melakukannya dan perhatikan tugasan yang mana yang lebih disukai. Ingat, kemungkinan besar dia akan terus melakukan kerja rumah jika ia dilakukan bersama sebagai sebuah keluarga – berganding bahu bersama adalah lebih menyeronokkan dan kurang membebankan. Sudah tentu kegagalan melaksanakan kerja yang ditugaskan kepadanya juga akan menyebabkan akibat yang berpatutan, dan pada masa yang sama berikannya pujian apabila dia melakukan kerja dengan baik (jangan takut untuk lebih spesifik).

Kesulitan yang perlu dielakkan

Cuba untuk menjadikan kerja rumah menyeronokkan dan berikan anak anda galakkan dengan komen-komen positif (seperti “Saya suka membasuh pinggan bersama anda. Seronok rasanya apabila dapur bersih.”)

Anda juga harus menunjukkan kepadanya bagaimana anda ingin kerja rumah tersebut dilakukan tanpa merendah-rendah atau mengecil-gecilkan dia. Contohnya, jika dia tidak mengemas tilamnya dengan sempurna, anda boleh berkata “Cara anda mengemas tilam sangat menarik. Anda hendak tengok bagaimana saya melicinkan tilam saya?”

Sebagai ibu bapa, anda harus memberi galakan terhadap usaha-usaha anak anda. Pada permulaannya, anda harus fokus kepada proses dan bukan kualiti kerja. Pujian dan penghargaan anda terhadap usahanya akan membantu anak anda rasa bahawa dia memberi sumbangan yang penting kepada keluarga.

Untuk menggalakkan anak anda melakukan kerja rumahnya secara berterusan, terdapat beberapa kesilapan yang tidak diduga yang perlu anda elakkan, termasuk:

  • Tiada apa yang sempurna – ambil pendekatan yang lebih relaks dalam cara anda menilai anak anda melakukan kerja rumah. Mendesak anak anda untuk melakukan kerja rumah dengan sempurna akan mematahkan semangatnya, menjadikan kerja rumah satu tanggungjawab yang cuba dielakkan.
  • Tiada alasan untuk berlengah – anak anda tidak terlalu kecil untuk mula! Kebanyakan kanak-kanak lebih berupaya daripada anda sangkakan. Namun, pastikan anda mulakan anak anda dengan kerja yang mudah dan bertambah kepada tugasan yang lebih kompleks. Malah, cara terbaik untuk belajar adalah dengan melakukannya.
  • Jangan gunakan kerja rumah sebagai hukuman – ini selalunya akan menyebabkan kesan negatif kerana akan membuat anak anda berasa marah dan/atau benci akan kerja rumahnya.

Mengekalkan momentum

Kini sesudah anda ketahui perkara yang perlu dielakkan, adalah membantu jika anda juga mengambil beberapa langkah proaktif dan berikan galakan kepada anak anda.

Ini termasuk:

  • Ingat untuk memuji usahanya – jangan tunggu sehingga dia selesai melakukannya, puji dan berikan galakan ketika dia sedang melakukan kerja rumah. Ini akan membantu membina momentum positif, terutamanya jika anak anda masih kecil.
  • Kekal konsisten! – pastikan anak anda menyempurnakan kerjanya dan jangan lakukan kerja rumah tersebut untuk mereka, jika tidak, dia akan mempelajari perkara yang salah (iaitu orang lain akan melakukan kerja rumahnya jika dia tidak lakukannya).
  • Beri arahan spesifik – contohnya, jika anda menyuruh anak anda untuk membersihkan biliknya, arahan ini mungkin ditafsirkan lain oleh orang yang berbeza. Berikan arahan yang spesifik, contohnya, minta dia menyimpan pakaiannya ke dalam almari, bukunya di atas rak-rak, dan simpan balik permainan di tempat asalnya.
  • Ambil langkah-langkah kecil – tunjukkan anak anda bagaimana anda mahu dia lakukan kerja rumah langkah demi langkah, kemudian berikan dia peluang melakukannya. Sentiasa bantu dia dengan sebarang kerja baharu. Di peringkat permulaan, anda mungkin perlu menyelia buat beberapa kali, tetapi apabia dia sudah dapat melakukannya dengan betul, anda tidak perlu mengawasinya lagi.
  • Bertenang – berleter boleh memberi kesan negatif, oleh itu cuba menggunakan teknik “apabila/kemudian’ (contohnya, beritahu anak anda bahawa apabila dia selesai menyimpan permainannya, kemudian dia boleh menonton kartun).
  • Beri dia pilihan – senaraikan kesemua kerja rumah dan biar dia pilih kerja mana satu yang dia suka lakukan.

Patutkah kerja rumah diberi upah?

Perkara penting yang perlu diutamakan ialah kerja rumah sebagai satu tanggungjawab dan juga untuk mengajar anak anda kemahiran kerja rumah yang mudah. Secara amnya anda tidak digalakkan memberi anak anda upah untuk membuat kerja rumah kerana berbuat demikian akan memberi konotasi yang negatif.

Jika diberi upah, fokus anak anda adalah terhadap bayaran bagi membuat kerja rumah dan bukan sumbangannya kepada keluarga. Ini akan mengajar anak anda satu pengajaran yang negatif kerana dia tidak memahami tujuan melakukan kerja rumah dan sebaliknya akan bertanya “Apa saya dapat?”

Bila boleh diberi upah

Memang penting bagi anak anda mempelajari bagaimana untuk menguruskan wang. Anda boleh memberi anak anda upah untuk mengajar dia kemahiran pengurusan kewangan yang mudah, namun jangan mencampuradukkan kedua-duanya (upah dan kerja rumah), kerana akan mengeruhkan keadaan.

Jangan samakan kerja rumah dengan ‘mendapat’ wang, terutamanya dengan anak-anak kecil. Namun, konsep ini mungkin tidak boleh digunakan bagi anak-anak dewasa kerana mendapat upah bagi kerja rumah tambahan (selain daripada tugasan biasa) boleh menjadi satu faktor penggalak.

Kerja rumah haruslah bersesuaian dengan umur

Jika anda tidak pasti jenis kerja rumah yang anda harus berikan, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh anda gunakan:

kerja-rumah-bersesuaian-dengan-umur

Ingatlah bahawa ini adalah proses pembelajaran bagi anak anda. Sentiasa galakkan inisiatifnya dan berikan dia galakan untuk menjadi lebih bertanggungjawab.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen