Pengasuhan Positif

Menyediakan Makanan Bayi Di Rumah

Makanan pelengkap harus dimulakan apabila si kecil anda mencapai umur enam bulan. Ini adalah masa paling sesuai untuk memupuk tabiat makan yang sihat si kecil memandangkan anda mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap ramuan yang dimasukkan ke dalam hidangannya. Di sini, kami ingin menunjukkan beberapa tip mudah dan cepat yang anda boleh gunakan untuk menyediakan beberapa hidangan berkhasiat bagi bayi anda tanpa bersusah-payah.

Kebersihan Amat Penting

Sentiasa pastikan peralatan dapur anda, tempat persediaan dan tempat memasak, dan sudah tentu, bahan makanan itu sendiri adalah bersih. Sebagai panduan am, amalkan tabiat berikut:

  • Basuh tangan anda sebelum dan selepas menyedia atau memasak makanan.
  • Asingkan bahan mentah daripada yang telah dimasak. Jangan sekali-kali membiarkan makanan mentah bercampur dengan makanan yang telah dimasak.
  • Jangan sekali-kali biarkan makanan pada suhu bilik melebihi dua jam.
  • Apabila memanaskan semula makanan yang telah disejuk beku, pastikan ia dipanaskan sehingga mendidih rata. Sejukkan secukupnya sebelum diberi kepada si kecil anda.

Memulakannya

Sebaik sahaja anda pasti apa yang akan dimasak untuk si kecil, anda perlu menyediakan ramuannya terlebih dahulu. Anda boleh memasak dalam kuantiti banyak untuk bekalan seminggu; berikan si kecil rasa sedikit dahulu dan pastikan dia menggemarinya sebelum anda masak dengan lebih banyak. Apabila anda menyediakan bekalan makanan pelengkap untuk seminggu, anda boleh menyejuk bekunya. Makanan tersebut boleh disimpan di dalam penyejuk beku sehingga seminggu (untuk mengelakkan daripada rosak, jangan cair dan sejuk bekukan semula).

Tip!

Tiada pengisar? Guna saja cara lama iaitu garpu untuk melecek sayur atau buah. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit perahan susu ibu dan bukan air untuk menambah perisa hidangan!

Untuk Sajian Mudah…

Guna bekas kiub ais (disimpan di dalam beg sejuk beku untuk menjaga kebersihan) untuk menyejuk beku makanan dalam saiz sajian kecil yang boleh dihidangkan dengan mudah. Cara ini memastikan anda tidak perlu mencairkan seluruh bekalan setiap kali waktu makan.

baby-food-small-portions

Apabila selera si kecil semakin meningkat, anda mungkin perlu menambah saiz sajiannya; guna acuan kek cawan yang dilapik dengan plastik balut lekat (cling wrap). Ini membolehkan anda membungkusnya dalam jumlah yang tepat (anda boleh ukur semasa mengisinya) dan anda boleh cairkannya secara berasingan apabila perlu.

Menyediakan Buah/Sayurnya

Buah yang sesuai adalah seperti pir, mangga, pisang, betik, dan tembikai. Sentiasa basuh dan buang kulit, biji, dan/atau empulur.

fruit-and-veggie

Apabila anda mula memberi dia sayur, mulakan dengan sayur berdaun dahulu kerana si kecil anda mungkin menolak jika anda mulakan dengan sayur yang mempunyai rasa yang kuat seperti pis, keledek, atau lobak merah. Sayur harus dipotong kecil-kecil atau dalam bentuk kiub.

Kemudian, anda harus kukus, rebus (guna air secukupnya untuk menutup sayur dan simpan sedikit air rebusan untuk mencairkan puri anda), masak dalam ketuhar gelombang mikro, atau bakar sehingga lembut. Untuk membuat puri, pastikan puri kelihatan licin, dan likat seperti yogurt (puri hendaklah cukup likat untuk boleh membumbung di dalam sudu).

Menyediakan Stok Sendiri

Stok merupakan bahan asas yang baik untuk memasak stu (stew), bubur, bijirin, dan sup. Mula dengan membasuh sayur dengan bersih, kemudian dipotong kecil. Masukkan sayur ke dalam periuk dan tambah air secukupnya. Rebus sehingga sayur menjadi lembut sebelum direneh selama setengah jam. Anda boleh pilih untuk menggunakan satu jenis sayur, atau gabungkan beberapa jenis sayur (pastikan anda tahu si kecil tidak alah kepada mana-mana satu daripada sayur tersebut).

Jika mula-mula anda tidak berjaya…

Si kecil anda mungkin tidak akan terus menerima makanan baru; anda perlu cuba memberinya sebanyak 15 kali sebelum dia akan menerima sesetengah makanan, oleh itu jangan cepat putus asa!

Bubur Yang Lebih Enak

Sebagai alternatif, anda boleh kisar/lecek stok dengan sedikit bubur untuk hidangan yang lebih berperisa. Jika terlalu cair, tambahkan sahaja sedikit bijirin untuk memekatkannya.

pear

Keperluan yang Berubah-Ubah

Adalah baik jika anda memberi peluang kepada si kecil untuk merasa pelbagai jenis makanan. Ini boleh dilakukan dengan menyedia dan memberi makanan kepada si kecil anda dalam pelbagai warna, tekstur, perisa, dan bentuk yang sesuai bagi tahap perkembangannya. Contohnya, hanya makanan yang dilecek/kisar harus diberi pada umur enam bulan.

Jangan Lupa!

Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu anda ingat apabila memperkenalkan makanan pelengkap:

  • Sentiasa mulakan dengan beras (bubur sudah mencukupi).
  • Apabila memperkenalkan sayur, mulakan dengan sayur berdaun hijau memandangkan rasanya lebih tawar; jika anda mulakan dengan sayur yang berperisa semula jadi seperti lobak merah, dia mungkin tidak mahu menerima langsung sayur hijau yang lain.
  • Sayur-sayuran lain seperti pis, keledek, dan lobak merah perlu dikukus, rebus, atau lecur sehingga lembut secukupnya. Kemudian anda boleh melecek/kisar untuk mendapatkan kelikatan yang sesuai untuk bayi anda yang berumur enam bulan. Apabila dia semakin besar, anda boleh menyesuaikan tekstur makanan perlahan-lahan dan dipadankan dengan tahap perkembangannya.
  • Bagi buah, mulakan dengan buah yang lembut seperti pisang, betik, mangga, atau tembikai. Anda boleh lecek/kisarnya untuk mudah dimakan oleh si kecil anda. Buah keras seperti epal perlu dimasak sedikit (dikukus/rebus) untuk melembutkannya terlebih dahulu.
  • Menyediakan jus buah? Guna nisbah 1:1 jus buah yang diperah segar dan air minum yang bersih serta JANGAN tambah gula.
  • Berhati-hati dengan ramuan yang pedas! Pastikan anda tidak memberi si kecil cili atau makanan lain yang pedas kerana dia mungkin tidak tahan dengannya.
  • Jangan cuba untuk jimatkan makanan bayi dengan menyimpan baki untuk diberi kemudian jika anda telahpun mencairkannya – anda tidak mahu memberinya makanan basi!

watermelon

Waspada Dengan Alahan Makanan!

Beri si kecil anda makanan yang sama selama seminggu (atau sekurang-kurangnya tiga hari) sebelum memperkenalkan makanan baru. Ini membolehkan anda mengenal pasti dengan mudah sebarang alahan makanan yang mungkin dialami bayi anda. Jika anda perhatikan dia mula mendapat sebarang reaksi teruk terhadap sesuatu makanan baru, berhenti memberi makanan tersebut.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen