Kemerahan mendadak ekzema atopik mungkin tiada sebab yang jelas. Oleh itu, adalah sangat penting bagi anda mengajar anak anda tabiat penjagaan kulit yang baik sebagai sebahagian daripada rutin hariannya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah berjaga-jaga tambahan yang perlu diambil apabila anda membawanya bercuti. Walaupun langkah berjaga-jaga ini mungkin tidak menghentikan ekzema daripada keradangan kulit, setidaknya ia membantu mengurangkan kesan dan kekerapan keradangan kulit.
Tahukah anda?
Ekzema atopik atau dermatitis atopik ialah keadaan kulit yang kronik. Jika anak mengalami ekzema atopik, kulitnya menjadi kegatalan, kemerahan, merekah dan kering. Ekzema atopik biasanya dialami oleh kanak-kanak, tetapi boleh kekal ada sehingga dewasa atau bermula lambat.
Perkataan ‘eczema’ berasal daripada perkataan Yunani ‘ekzema’ (daripada ‘ekzein’, bermakna ‘mendidih keluar’). Ini merupakan kesimpulan yang dilakukan pengamal perubatan kuno terhadap mana-mana tompokan merah pada kulit.
Mencegah keradangan kulit
Langkah berjaga-jaga yang boleh diambil bagi mengurangkan potensi keradangan kulit adalah seperti berikut:
-
- Pilih tempat penginapan yang sesuai. Elakkan hotel dengan permaidani, tilam, langsir berhabuk dan tidak terjaga dengan baik.
- Emolien. Dalam cuaca panas, anda akan mendapati krim yang kurang bergris lebih baik pada waktu siang kerana ada sesetengah kanak-kanak berasa panas dan gatal akibat kandungan emolien dalam krim bergris yang tebal. Jika digunakan sebagai penjagaan kulit setiap hari, emolien akan menjadi ‘rawatan aktif’ yang berkesan.
- Pastikan anak anda meminum air mencukupi. Bawa air bersama setiap hari melakukan perjalanan supaya anak anda sentiasa hidrat.
- Bawa tuala anda sendiri. Tuala hotel yang disediakan mungkin dicuci dengan detergen kuat yang boleh memudaratkan kulit sensitif anak anda.
- Bawa alas tilam sendiri atau dapatkan alas tilam perjalanan anti-alergi untuk diletakkan di atas katil hotel. Langkah ini mengurangkan kemungkinan kemudaratan kulit sensitif daripada detergen kasar, pepijat atau alergen lain.
- Hadkan mandian kepada 10 minit. Bawa dan gunakan sabun/pencuci anda sendiri kerana kelengkapan sama disediakan oleh hotel mungkin tidak sesuai dengan kulit sensitif anak anda.
- Ketahui jenis makanan tersedia di destinasi anda. Ini amat penting jika anak anda mengalami alahan terhadap sesetengah makanan (contoh kerang, makanan laut) kerana ia boleh menyebabkan keradangan kulit secara mendadak.
- Pelajari lebih lanjut mengenai faktor persekitaran. Amat bagus untuk mengetahui mengenai suhu dan kelembapan. Elakkan tempat yang terlalu kering atau panas yang boleh mengakibatkan keradangan kulit. Selain itu, pendedahan kepada pendingin hawa terlalu sejuk untuk keselesaan boleh mengeringkan kulit anak anda dan seterusnya menggalakkan ekzema atopik.
- Sentiasa pastikan kulit lembap sepanjang masa. Gunakan pelembap tanpa wangian bagi mengelakkan kulit anak anda daripada kerengsaan dan merekah. Sapukan dengan kerap jika perlu.
- Pastikan keadaan kulit anak anda sebelum dan selepas berenang. Air berklorin boleh mengeringkan kulit dan mengakibatkan kerengsaan. Pastikan anda menyapu lapisan tebal emolien sebelum anak anda memasuki kolam renang bagi membentuk ‘sempadan klorin’. Mandikan anak anda sebaik saja naik dari kolamrenang bagi membilas klorin dari badan dan sapukan lebih emolien sesudah kering.
- Gunakan jenis pelindung matahari yang betul. Banyak krim pelindung matahari yang boleh mengakibatkan kerengsaan kulit. Membaca bahan aktif pada label produk juga penting. Anda hendaklah mendapatkan produk yang bebas wangian, melindungi daripada UVA dan UVB serta dilabelkan sebagai hipoalergenik dan bebas paraben.
Menguji krim pelindung matahari perlu dilakukan secara berperingkat sebelum bercuti. Sapukan sedikit pada kawasan kulit yang bebas ekzema dan luaskan kawasan sapuan jika tiada sebarang reaksi dalam masa beberapa jam. Kebiasaannya krim dengan SPF 30 atau lebih disyorkan untuk kanak-kanak. Sapukan emolien dan pelindung matahari selepas setengah jam kemudian sebelum anak anda keluar. Sapukan semula setiap dua jam.
Periksa dengan pakar dermatologi/ pediatrik berkenaan jenis yang sesuai untuk digunakan.
Mengendalikan radang kulit
Kebanyakan kerengsaan kulit berlaku akibat ekzema yang tidak dirawat, bukan diburukkan oleh penggunaan krim pelindung matahari atau faktor persekitaran. Jika usaha anda untuk mencegah keradangan kulit tidak berjaya, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan masalah ini. Pertama sekali, pastikan kulit anak anda sentiasa lembap dengan sempurna. Ini akan membantu mengurangkan kegatalan kulit.
- Pastikan ubat ekzema berhampiran anda. Penuhkan botol kecil kembara khas dengan ubat ekzema anak anda, jika perlu.
- Sapukan ubat apabila perlu. Sentiasa bawa ubat ekzema anak anda ketika bercuti. Jika kehabisan, pastikan anda mengetahui jenis ubat yang digunakan supaya mudah untuk anda dapatnya di farmasi berhampiran.
- Gunakan tuala/tisu basah untuk legakan kulit gatal pada waktu malam. Mandikan anak anda dalam air suam selama 10 minit, kemudian keringkan dengan menekap badannya sebelum menyapu pelembap atau ubat. Lembapkan sedikit balutan kapas dengan air dan balutkan ke kawasan yang teruk. Kemudian, balutkan balutan tadi dengan tuala atau kain bagi mengekalkan kelembapan.
- Gunakan mampatan sejuk untuk kelegaan kegatalan. Untuk melakukan mampatan sejuk, gunakan kain yang lembap dan sejuk, atau balutkana pek ais atau tin/botol minuman sejuk dengan tuala lembut.
- Gunakan pakaian longgar dan selesa. Pilih dan gunakan pakaian kapas atau kapas campuran.
Kekal dalam keadaan terkawal
Anda tidak perlu terlalu fikirkan kemungkinan ekzema anak anda menjadi semakin teruk ketika bercuti. Yang penting, anda telah membuat persediaan menyeluruh, bukan sahaja dari segi mental, malah anda perlu membawa kelengkapan yang cukup untuk menangani sebarang perkara di luar jangkaan. Dengan cara ini, anda akan dapat menikmati percutian dengan sepenuhnya tanpa sebarang kebimbangan.
Dengan kerjasama Persatuan Dermatologi Malaysia.
Komen