Pengasuhan Positif

Mengguna Makanan Terproses dengan Bijak

Makanan terproses telah mendapat reputasi buruk dan sering dianggap tidak berkhasiat. Hal ini kerana ia telah melalui beberapa bentuk pemprosesan dan tambahan ramuan lain seperti aditif untuk melanjutkan jangka simpanannya atau untuk tujuan teknologi yang lain. Namun, dalam gaya hidup kini yang moden dan serba pantas, makanan terproses menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Ia sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada diet harian kita, tetapi dengan syarat ia dipilih dan digunakan dengan bersesuaian.

21552689_ss

Amnya, bukan kaedah pemprosesan yang menjadikan makanan terproses itu kurang berkhasiat. Sebaliknya, ia bergantung juga kepada bahan-bahan yang ditambah oleh pengeluar dan/atau kekerapan anda mengambil makanan terproses tersebut. Oleh itu, kita harus sedar bahawa makanan terproses tidak semestinya tidak berkhasiat. Malah, terdapat banyak makanan terproses yang biasa terdapat di dapur seperti tepung, roti, bijirin sarapan pagi, pasta, biskut, susu, sardin atau tuna dalam tin, sos pasta, kacang pis sejuk beku, dan daging sejuk beku.

Jadual di bawah dapat membantu anda memahami dengan lanjut tentang makanan terproses dan cara mengambilnya mengikut kesesuaian diet harian keluarga anda.

APA?

Secara amnya, makanan terproses merupakan makanan mentah yang telah melalui suatu tahap pemprosesan. Ia merangkumi:

  1. Makanan terproses secara minimum (contohnya, bayam yang siap dipek di dalam beg, sayur yang sudah dipotong)
  2. Makanan terproses separa (contohnya, kacang tin, sayuran sejuk beku)
  3. Makanan yang ditambah bahan perisa dan untuk memperbaiki tekstur (contohnya, sos pasta segera, yoghurt berperisa)
  4. Makanan yang sedia dimakan (contohnya, biskut, daging salai)
  5. Makanan yang terlalu diproses (contohnya, tepung, roti putih, jejari ikan, sosej, nuget)

nuggets_B

KENAPA?

Makanan diproses untuk beberapa tujuan:

  • Untuk mengekalkan kualiti khasiat dan kesegaran
  • Untuk mengurangkan risiko kerosakan kerana makanan mula rosak apabila dituai/sembelih
  • Untuk membolehkannya sampai kepada pengguna pada bila-bila masa
  • Untuk mengubah atau menstabilkan tekstur makanan
  • Untuk memperbaiki rasa dan memudahkannya

sausage

BAGAIMANA?

  • Sejuk beku (contohnya pis, karot, jagung)
  • Pengeringan (contohnya, kismis, kurma kering)
  • Penapaian (contohnya, keju, belacan)
  • Penyalaian (contohnya, ikan salai, sosej)
  • Menjeruk atau mengasin (contohnya, jeruk Cina, kimchi)
  • Pengetinan (contohnya, kacang tin, sardin tin)
  • Pengawetan mengguna gula atau madu (contohnya, buah-buahan tin)
  • Membersihkan bahagian makanan yang mudah rosak (contohnya beras putih, tepung putih)
  • Menambah bahan pengawet kimia (contohnya, sesetengah produk ikan dan daging proses)
  • Pemanasan (pempasteuran, pemanasan suhu ultra tinggi, UHT) (contohnya, susu, jus buah-buahan)

Memahami aditif makanan

Aditif makanan mungkin diguna dalam pemprosesan makanan. Ia merupakan bahan kimia yang ditambah ke dalam makanan untuk menghasilkan kesan teknologi yang khusus. Kesan-kesan tersebut termasuk untuk 1) mengekalkan kualiti khasiat 2) memanjangkan hayat simpanan 3) menjadikan lebih menarik 4) membantu dalam pemprosesan, pembungkusan atau penyimpanan makanan. Bahan-bahan tersebut telah diuji keselamatannya dan dikawal oleh undang-undang makanan. Aditif makanan yang lazim termasuk agen pengawet, antioksidan, pewarna dan perisa.

Pengguna terlalu bimbang mengenai penggunaan pengawet dalam makanan terproses. Pengawet makanan ditambah ke dalam makanan untuk merencat atau melambatkan kerosakan makanan. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerbitkan satu senarai pengawet (dan aditif makanan lain) yang boleh digunakan. Jumlah dan jenis makanan yang boleh mengandungi pengawet tambahan juga dikawal.

Peranan Makanan Terproses Dalam Diet Harian

Anda tidak semestinya mengeluarkan kesemua makanan terproses daripada senarai barang runcit anda. Ia bukan bermaksud yang makanan terproses mesti dihindari sepenuhnya hanya kerana ia telah melalui sesuatu bentuk pemprosesan atau ditambah pengawet makanan atau aditif lain. Ramuan dan kandungan nutrien di dalam makanan perlu diperhatikan untuk menentukan samada sesuatu makanan terproses boleh dimasukkan ke dalam diet harian. Ambil lebih makanan yang tinggi kandungan protein, vitamin dan mineral serta serat. Kurangkan pengambilan makanan terproses yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak. Namun demikian, anda harus mengawal kekerapan dan jumlah pengambilan makanan terproses tersebut.

Buat Pilihan Bijak!

Pada zaman sekarang, agak mustahil untuk menyediakan hidangan tanpa sebarang makanan terproses kecuali jika anda mempunyai ladang, kebun sayur, dusun, sawah padi sendiri atau laut di belakang rumah. Anda tidak boleh lari daripada makanan terproses, namun anda mampu untuk membuat pilihan lebih bijak apabila membelinya.

Guna maklumat pemakanan (panel maklumat makanan dan tuntutan pemakanan) dan senarai ramuan pada bungkusan makanan sebagai panduan untuk memilih makanan terproses.

9887012_l

  1. Pastikan anda membaca Panel Maklumat Pemakanan (NIP) untuk mengetahui kandungan tenaga dan nutrien (karbohidrat, protein dan lemak) dalam makanan. Kandungan gula juga dipaparkan bagi minuman sedia diminum. Sesetengah pengeluar juga menyatakan jumlah vitamin dan mineral di dalam makanan. Guna maklumat sedemikian yang terdapat pada NIP sebagai panduan memilih sesuatu makanan terproses daripada pelbagai jenama yang anda ingin beli.
  2. Pengeluar-pengeluar dibenarkan untuk membuat tuntutan kandungan nutrien khusus pada label. Anda boleh memilih label yang menyatakan “rendah natrium/garam”, “rendah gula”; atau produk dengan “sumber kalsium” atau “kaya dengan vitamin A”.
  3. Satu lagi jenis maklumat pemakanan yang dibenarkan ialah tuntutan fungsi nutrien Contohnya, jika sesuatu produk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh undang-undang, ia boleh diperakukan sebagai: Kalsium penting untuk tulang dan gigi yang sihat. Walau bagaimanapun, penting bagi anda membeli sesuatu produk bukan sahaja berdasarkan tuntutan pemakanannya, tetapi juga melihat kandungan nutrien yang dinyatakan pada NIP.
  4. Teliti senarai ramuan memandangkan undang-undang memestikan ramuan -ramuan di dalam produk makanan disenaraikan pada label. Dan ia hendaklah disenaraikan mengikut jumlah yang digunakan daripada yang terbanyak hingga ke yang paling sedikit. Anda boleh guna senarai tersebut untuk mengetahui ramuan utama di dalam sesuatu produk. Jika gula disenaraikan sebagai item pertama, ini menunjukkan bahawa produk makanan tersebut mempunyai kandungan gula yang tinggi. Jadi pengguna bijak dan berwaspada dengan nama-nama lain bagi gula seperti sukrosa, maltosa, sirap jagung, sirap jagung tinggi fruktosa dan pati jus buah.

Walaupun anda tidak semestinya menghindarkan kesemua jenis makanan terproses, penting bagi anda untuk memilih dengan bijak. Berhati-hati ketika anda pergi membeli-belah barangan runcit! Kita harus berwaspada dengan ramuan yang digunakan, bagaimana makanan diproses dan paling penting kandungan nutrien di dalam makanan. Namun, lebih baik untuk menghidangkan lebih banyak makanan segar dalam hidangan anda seperti sayur, buah, daging dan makanan laut yang segar serta hadkan kekerapan makanan terproses. Ingat prinsip asas “Keseimbangan–Kesederhanaan–Kepelbagaian” dalam amalan pemakanan harian anda. Pengambilan berlebihan sebarang jenis makanan akan membawa akibat yang buruk kepada anda dan keluarga anda.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen