Biarpun ekzema (dermatitis) adalah penyakit yang menyusahkan, ia boleh dikawal. Dengan rawatan dan penjagaan yang sesuai, penghidap ekzema boleh menikmati kehidupan berkualiti dan menyertai sebarang aktiviti, baik bersama keluarga, di sekolah atau di pejabat.
Ekzema adalah keradangan kulit yang muncul dari semasa ke samasa. Dermatitis atopik adalah jenis ekzema yang paling biasa dan ia selalunya bermula pada zaman kanak-kanak sebelum usia 5 tahun.
Bagi penghidap ekzema, kelembapan boleh hilang dengan mudah dari kulit, ia menyebabkan kulit mengering dan mengelupas. Antara simptomnya ialah tompok merah atau keperangan, kegatalan, bonjolan kecil dan vesikel yang mengeluarkan cecair dan membentuk kerak, kulit yang menebal serta bersisik.
Penjagaan kulit dan pengurusan keradangan yang baik biasanya dapat mengurangkan simptom dan mengawal masalah kulit yang timbul.
Kelembapan amat penting
Penjagaan kulit yang baik adalah elemen utama di dalam mengawal ekzema. Bagi mereka yang mengalamai ekzema pada tahap sederhana, pastikan kulit lembut dan lembap menerusi pengunaan emolien yang kerap biasanya sudah memadai untuk mengawal simptom.
Emolien adalah pelembap bukan kosmetik yang boleh didapati dalam bentuk krim, salap dan losen. Fungsinya ialah untuk melembapkan kulit dan mencegah rekahan pada kulit ekzema, ini akan menjadikan kulit rasa lebih selesa dan kurang gatal.
Pilihan emolien bergantung kepada keadaan ekzema, bahagian tubuh yang terlibat dan reaksinya terhadap pengawet atau ramuan yang digunakan dalam emolien tersebut. Krim mengandungi campuran lemak dan air yang menyamankan kulit. Oleh disebabkan itu, ramai yang mengalami ekzema memilih krim bagi penggunaan pada waktu siang. Walau bagaimanapun, adakala segelintir orang boleh mengalami reaksi terhadap bahan pengawet yang terdapat dalam krim emolien, tetapi ianya agak jarang berlaku.
Salap tidak mengandungi bahan pengawet, ia agak berminyak dan mungkin tidak digemari jika dinilai dari segi kosmetik. Salap amat berkesan dalam mengekalkan kelembapan di dalam kulit. Ia amat berguna untuk kulit yang tebal dan kering.
Losen memiliki kandungan air yang tinggi dan lemak yang kurang berbanding krim. Ia juga tersejat dengan mudah; fakta ini menjadikan ia kurang berkesan di dalam mengekalkan kelembapan. Ia mudah untuk digunakan, terutama pada bahagian tubuh yang berbulu.
Pengunaan emolien yang kerap boleh membantu anda mengawal simptom ekzema pada tahap sederhana. Bagaimanapun, mereka yang menghidap ekzema pada tahap teruk memerlukan ubat-ubatan yang sesuai untuk mengawal keradangan yang timbul.
Ubat-ubatan bagi mengawal eczema
Guna krim kortikosteroid untuk salap Preskripsi krim atau salap kortikosteroid boleh meredakan keradangan dan kegatalan. Sesetengah krim kortikosteroid berpotensi rendah boleh didapati di kaunter, namun perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan sebarang kortikosteroid topikal. Ia berkesan dan selamat jika digunakan dengan cara yang betul.
Ada ramai orang masih risau akan kesan sampingan akibat penggunaan steroid topikal. Sebagai panduan, gunakan steroid topikal yang sesuai mengikut tahap keterukan ekzema. Tukarkan atau berhenti penggunaan steroid apabila tahap keterukan ekzema berubah.
Rawatan steroid topikal boleh diberhentikan sebaik saja simptom hilang, dan disambung balik jika tompok ekzema baru mula kelihatan. Penggunaan steroid topikal adalah selamat jika digunakan mengikut kadar yang berpatutan. Antara kesan sampingan akibat penggunaan jangka panjang kortikosteroid topikal ialah kerengsaan atau perubahan warna kulit, penipisan kulit, jangkitan dan kesan regangan.
Antibiotik. Anda mungkin perlukan antibiotik jika mengalami jangkitan kulit bakteria dan tanda jangkitan bakteria ialah ‘weeping’ kebasahan, kerak, jerawat atau bengkak yang menyakitkan. Doktor anda akan mengesyorkan pengambilan antibiotik untuk tempoh yang pendek bagi merawat jangkitan. Untuk sesetengah situasi, anda mungkin dimasukkan di wad untuk rawatan antibiotik secara intravena.
Antihistamin secara oral. Ia membantu meredakan kegatalan yang teruk. Walau bagaimanapun, antihistamin seperti Diphenylhydramine (Benadryl, lain-lain) boleh menyebabkan anda mengantuk. Jika kulit anda merekah, doktor anda akan memberi preskripsi membasmi kuman (antiseptik) untuk mengelakkan jangkitan.
Kortikosteroid. Bagi kes ekzema yang amat teruk, doktor anda akan memberi preskripsi kortikosteroid secara oral seperti prednisone. Ia bertujuan untuk mengurangkan keradangan dan mengawal simptom. Ubat-ubat ini berkesan, tetapi hanya boleh digunakan untuk jangka masa pendek sahaja. Ia tidak boleh digunakan melebihi tempoh beberapa minggu tanpa kesan sampingan yang ketara.
Mengawal gaya hidup
Kemunculan dan tahap keterukan ekzema boleh dikaitkan dengan gaya hidup seseorang. Tekanan, aktiviti fizikal, alahan sentuhan dan perubahan suhu antara penyebab utama.
Pengurusan tekanan adalah penting di dalam pengawalan ekzema. Pada kebiasaannya, ia membabitkan rehat yang mencukupi dan penukaran reaksi jika berhadapan situasi yang tidak dapat dielakkan. Tidur yang mencukupi juga antara faktor terpenting.
Elakkan allergen yang dikenal pasti seperti hama, debunga, bulu haiwan dan bahan pakaian seperti bulu dan sintetik. Alahan berasaskan makanan boleh menjejaskan satu pertiga daripada kanak-kanak yang menghidap ekzema. Ia menjadi penyebab keradangan dalam kalangan kanak-kanak yang berumur kurang dua tahun.
Dengan kerjasama Persatuan Dermatologi Malaysia.
Komen