Pengasuhan Positif

Dunia Digital: Kebaikan dan Keburukan Terhadap Perkembangan Kanak-kanak

Terdapat banyak kajian dan perdebatan di kalangan pendidik, pembuat dasar, pakar kanak-kanak dan ibubapa mengenai kebaikan dan keburukan teknologi sejak bertahun lamanya. Berikut adalah beberapa daripadanya:

Kebaikan:

  1. Menjadikan komunikasi jarak jauh satu kenyataan: kanak-kanak dapat bercakap dengan rakan-rakan dan keluarga yang jauh.
  2. Mengajar sebab dan akibat: menarik rasa ingin tahu anak anda dan menggalakkannya untuk meneroka walaupun dari rumah.
  3. Menekan kekunci dan menggunakan tetikus membantu dalam membaiki kemahiran motor anak anda dengan meningkatkan koordinasi mata dan tangan mereka.
  4. Kajian-kajian yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik bebas mendapati penggunaan teknologi boleh menyokong pembelajaran di rumah dalam:

    • Pembelajaran Operasi: ibubapa boleh mengajar anak-anak mereka bagaimana untuk mengawal dan menggunakan teknologi; dan ini merupakan satu peluang bagi ibubapa untuk menggalakkan anak-anak memberi maklumbalas menggunakan input mereka sendiri.
    • Meluaskan pengetahuan dan kefahaman mengenai dunia: kanak-kanak boleh mengetahui lebih mengenai masyarakat, tempat dan alam semulajadi.
    • Kecenderungan untuk belajar: menggalakkan tumpuan dan ketekunan, membantu mereka untuk membina keyakinan diri dan nilai kendiri serta meningkatkan kecekapan mereka dalam menggunakan teknologi.
    • Peranan teknologi dalam kehidupan seharian: dengan pemerhatian ibubapa, anak anda akan belajar bagaimana teknologi boleh membantu dalam hal-hal seharian seperti mengkaji destinasi yang akan dilawati, memesan barangan, menghantar teks, berkomunikasi dengan orang yang jauh dan lain-lain.

Keburukan:

  1. Pada tahun 2010, Akademi Pediatrik Amerika (AAP) memberi amaran bahawa teknologi boleh memberi kesan kepada perkembangan kemahiran kognitif dan sosial kanak-kanak prasekolah.
  2. Mainan untuk pembelajaran akan menjejaskan potensi pendidikan kerana kebanyakan mainan interaktif telah dicipta berdasarkan tugasan pendidikan yang biasa. Pada mulanya, mainan ini akan memberikan motivasi untuk belajar tetapi kanak-kanak yang masih muda akan bosan dan berhenti mempelajarinya jika mereka tidak menguasai aspek operasi klik, skrol atau tindakan menekan.
  3. Masalah operasi boleh diselesaikan dengan menggunakan komputer tablet tetapi penggunaan komputer tablet yang keterlaluan tidak akan menggalakkan pembelajaran secara inovatif kerana beberapa aplikasi yang dimuatnaik adalah merupakan satu salinan asal semata-mata contohnya buku elektronik.
  4. Tiada rangsangan perbualan antara orang dewasa dan kanak-kanak: interaktiviti teknologi sama sekali tidak boleh menggantikan interaksi sesama manusia kerana teknologi terkini tidak boleh menggantikan elemen manusia dalam interaksi antara ibubapa dan anak.
  5. Meningkatkan tindakbalas agresif hasil daripada bermain permainan video yang ganas.
  6. Berpotensi untuk mengganggu waktu tidur: kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam waktu tidur setiap hari untuk mereka membesar secara sihat.
  7. Membawa kepada ketagihan teknologi.
Akademi Pediatrik Amerika (AAP) menyarankan agar kanak-kanak di bawah umur 2 tahun untuk tidak terdedah kepada sebarang bentuk aktiviti di skrin. Kanak-kanak berumur lebih 2 tahun harus dihadkan daripada menggunakan aktiviti yang melibatkan paparan skrin hanya 2 jam setiap hari. Dalam masa 2 jam ini, kandungan yang ditonton harus diperkaya dan ditapis oleh ibubapa dan penjaga dengan sewajarnya.

Capai Keseimbangan

children-drawing-art

Seperti yang dapat kita lihat, teknologi mempunyai kebaikan dan keburukan terhadap perkembangan kanak-kanak. Adalah mustahil untuk penggunaan teknologi ini disekat sepenuhnya. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memastikan keseimbangan dalam penggunaan teknologi ini dapat dicapai. Berikut adalah beberapa tip-tip:

  1. Matikan TV dan simpan telefon anda semasa waktu makan dan galakkan perbualan antara satu sama lain.
  2. Keluarkan apa-apa gajet, terutamanya TV dan computer riba dari bilik tidur.
  3. Keluar dan gerakkan badan anda dalam sukan seperti badminton, berjoging atau berkebun (anak-anak muda gemar bermain dengan kotoran dan lumpur).
  4. Simpan semua gajet 30 minit sebelum tidur, membaca kisah dongeng atau menyanyikan lagu sebelum tidur kepada mereka.
  5. Menetapkan jadual kira-kira 1 jam masa bebas daripada teknologi setiap hari.
  6. Memperkenal semula permainan tradisional dalam waktu bermain anak-anak anda seperti sorok-sorok, Scrabble, catur, congkak dan lain-lain.
  7. Kembali ke alam semulajad. Bawa keluarga untuk memancing atau mendaki gunung.
  8. Cuba hobi-hobi baharu seperti membaca, melukis, memasak, membina model daripada tanah liat dan lain-lain.
  9. Terlibat secara aktif dengan anak anda apabila mereka menggunakan teknologi-teknologi interaktif untuk belajar.
  10. Sertai kumpulan sukarelawan – ini menggalakkan interaksi sosial dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Memetik kata-kata daripada Dr Marjorie Hogan, salah seorang daripada pakar kanak-kanak yang telah membantu merangka garis panduan AAP mengenai masa menonton untuk anak-anak, “penggunaan media boleh dilihat sebagai cara yang sama seperti pengambilan makanan”. Semuanya mengenai kesederhanaan dan pemilihan kandungan yang betul. Jangan khuatir untuk menggunakan teknologi kerana kini tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak gajet dan aplikasi baharu yang berguna untuk anak-anak anda. Anda harus sedar dan tahu bila masa yang sesuai untuk berhenti menggunakannya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen