Pengasuhan Positif

Bukanlah Begitu Manis

Pernahkah anda terfikir mengapa anak anda gemarkan makanan manis dan makanan segera? Misteri tersebut sudah terlerai. Para saintis menyatakan bahawa kuncinya terletak di dalam gen kita! Memang sejak lahir, kanakkanak secara semulajadinya boleh merasai manis dan masin berbanding rasa lain. Malah, mereka lebih sensitif kepada rasa pahit. Kanak-kanak menyukai rasa manis untuk memastikan mereka mendapat cukup kalori untuk tubuh yang sedang membesar. Kecenderungan terhadap gula akan berkurangan selepas baligh.

Satu lagi sebab keinginan terhadap gula adalah kerana ia menyebabkan pembebasan hormon“ gembira” dopamin otak yang memberikan perasaan seronok. Pengambilan gula yang tidak dikawal semasa kecil boleh menyebabkan ketagihan gula apabila dewasa.

Apakah itu gula?

Gula hadir secara semula jadi di dalam makanan atau boleh ditambah. Gula ada secara semulajadi dalam buah-buahan (fruktosa) dan susu (laktosa). Fruktosa dan laktosa adalah karbohidrat. Namun sumber makanan yang mengandungi fruktosa dan laktosa juga mengandungi banyak nutrien penting seperti protein, vitamin D, kalsium dan serat. Oleh itu, pengambilan makanan yang mengandungi gula semula jadi seperti susu, buah dan sayur adalah baik apabila dimakan secara sederhana. Begitu juga makanan berkanji dan berkarbohidrat seperti nasi, mi, bijirin, roti dan ubi-ubian yang dihadam menjadi glukosa apabila dimakan.

Serbuk putih yang biasa digunakan di rumah iaitu gula pasir adalah gula kilang yang diperolehi daripada gula tebu dan gula bit. Gula tambahan juga didapati di dalam produk separa tapis seperti sirap jagung, molases, madu, gula perang, karamel, dan gula Melaka. Selain itu, pelbagai jenis gula lain juga ditambah ke dalam minuman ringan, minuman buah-buahan, kordial, minuman dan makanan proses. Jenis gula yang digunakan dalam makanan proses akan tertera atas label bungkusan makanan, contohnya sukrosa, fruktosa, galaktosa, laktosa, maltosa, dekstrosa, sirap jagung berfruktosa tinggi, molases, jus tebu, jus buah sejat, malt barli, madu, sirap mapel dan lain-lain. Gula tambahan digunakan sebagai penambah perisa, pemanis, atau pengawet. Ia juga boleh mengubah tekstur dan warna makanan.

Berapa banyakkah yang dikatakan banyak?

Gula tambahan adalah punca utama kebimbangan dalam diet anak anda. Dalam aspek pemakanan, anak anda tidak memerlukan tenaga daripada sebarang gula tambahan dan boleh mendapat gula semula jadi secukupnya daripada makanan yang mengandungi karbohidrat seperti beras, roti, bijirin, susu, legum dan buah-buahan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2003) menyarankan agar pengambilan gula tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Maka, pengambilan gula tambahan harian yang maksimum dalam diet anak anda tidak seharusnya melebihi 5 sudu teh sehari bagi kanak-kanak berumur 1-3 tahun dan tidak melebihi 7 sudu teh sehari bagi kanak-kanak berumur 4-6 tahun.

Sebagai panduan am, kalori daripada gula tidak seharusnya melebihi 160 kalori iaitu bersamaan dengan 8 sudu teh gula sehari. Ambil perhatian bahawa adalah lebih baik mengambil kurang daripada jumlah yang disarankan sehari. Pengambilan gula mudah melebihi saranan minimum ini jika tidak berhatihati dengan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi gula tambahan.

Makanan Kandungan gula (sudu teh; 1 sudu teh rata = 5g)
Sirap Ros* 3 1/2 sudu teh
1 Tin Minuman Ringan** 6 3/5 sudu teh
1 Cawan Susu Coklat Malta** 4 4/5 sudu teh
Ais krim Coklat (100gm)** 5 sudu teh
Sundae ais krim dengan krim putar** 6 3/5 sudu teh
1 Kek cawan** 5 sudu teh
1 Potong Kek Coklat dengan aising (64g, 1/8 daripada kek 18oz)** 5 1/5 sudu teh
1 Keping Kuih Seri Muka* 2 1/4 sudu teh
1 Keping Donut kosong* 1 1/4 sudu teh

Sumber:
*National Coordinating Committee on Food and Nutrition (NCCFN), 1999;
**USDA Nutrient Database SR18

Terlalu banyak gula tidak begitu manis untuk kesihatan anda

Pengambilan gula berlebihan dikaitkan dengan penyakit seperti obesiti, diabetes, dan kerosakan gigi.

Obesiti – apabila anak anda mengambil terlalu banyak gula, ini meningkatkan pengambilan tenaga (kalori). Sekiranya anak anda tidak melakukan aktiviti fizikal, kalori yang berlebihan tadi akan bertukar menjadi lemak yang disimpan di dalam tubuh. Ini akan menyebabkan berlebihan berat badan serta obesiti. Kajian menunjukkan bahawa peratus kanak-kanak yang berlebihan berat badan dan obes di Malaysia telah meningkat pada kadar yang berbahaya. Ini jelas dilihat melalui peratusan kanak-kanak berumur di bawah lima tahun yang berlebihan berat badan yang sudah mencapai 6.4%. Obesiti juga merupakan faktor risiko kepada penyakit tidak berjangkit lain seperti hipertensi, penyakit kardiovaskular, dan juga kanser.

Diabetes – walaupun gula itu sendiri tidak menyebabkan diabetes, ia boleh meningkatkan glukosa di dalam darah. Tubuh akan menghasilkan insulin untuk menyingkir glukosa yang berlebihan ini. Sekiranya insulin tidak dihasilkan dalam jumlah yang mencukupi untuk mengawal paras glukosa, ini boleh menyebabkan diabetes.

Kerosakan gigi – bakteria di dalam mulut menggunakan gula untuk menghasilkan bahan yang dipanggil glukan. Glukan membantu bakteria melekat pada gigi dan menghasilkan asid yang menghakis enamel yang membantu melindungi gigi.

Kurangkan separuh daripada pengambilan gula

Makanan yang tinggi kandungan gula dipenuhi dengan kalori kosong dan selalunya menggantikan makanan berkhasiat yang diperlukan oleh kanak-kanak. Para pakar mengatakan bahawa pengambilan makanan yang tinggi kandungan gulanya semasa kecil membuatkan kanak-kanak mempunyai keinginan kuat terhadap gula apabila dewasa. Oleh itu, mulalah melatih anak anda dari kecil untuk mengurangkan keinginan mereka terhadap makanan manis. Berikut adalah beberapa tip:

Here are some tips:

  • Simpan manisan, madu, minuman manis jauh dari pandangan dan pastikan snek-snek sihat seperti buah dan kekacang mudah didapati.
  • Hadkan pengambilan minuman manis dan kordial anak anda dan hanya benarkan mereka minum sekali sekala semasa menghadiri jamuan atau apabila keluar berjalan. Di rumah, berikan jus buah 100%, susu dan air kosong sahaja.
  • Sediakan kuih-muih manis yang dimasak sendiri berbanding membeli kuih-muih yang diproses. Cuba kurangkan kandungan gula di dalam resepi sebanyak satu pertiga hingga separuh. Selalunya anda tidak akan rasa perbezaannya.
  • Guna ekstrak seperti badam, oren, vanila atau lemon untuk menggantikan gula.
  • Hadkan pengambilan manisan seminggu sekali dan patuhi jadual ini dengan tegas. Anak anda akan mula menerimanya sebagai rutin di rumah dan ia akan menjadi satu tabiat.
  • Jangan gunakan manisan sebagai ganjaran kepada anak anda.
  • Gunakan masa membeli makanan di pasaraya sebagai satu pengalaman pembelajaran dengan mendidik anak anda membaca label makanan dan mengenalpasti ramuan yang tidak berkhasiat. Jika gula disenaraikan paling atas di dalam senarai ramuan – ia menunjukkan bahawa makanan tersebut mengandungi gula sebagai ramuan utama.
  • Anak anda memerhatikan apa yang anda makan. Jadilah contoh kepada anak anda dengan memilih makanan berkhasiat untuk menggantikan manisan dan hadkan pengambilan gula anda.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen