Pengasuhan Positif

Senaman untuk Meningkatkan Keyakinan Diri

Kesejahteraan psikososial adalah penting dalam perkembangan kesihatan kanak-kanak. Kanak-kanak merasa stres apabila keluar dari persekitaran yang selesa dan selamat seperti rumah sendiri. Bagi kebanyakan kanak-kanak, pengalaman ini bermula apabila mereka meninggalkan rumah untuk ke prasekolah. Seorang kanak-kanak yang yakin dengan dirinya boleh menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran dalam kehidupannya. Dia akan gembira apabila mendapat kawan baru, mengambil bahagian dalam aktiviti sosial dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Apa itu keyakinan diri?

Keyakinan diri adalah seperti “harga diri” (bagaimana seseorang menilai dirinya), ianya berkembang secara berterusan sejak bayi hingga dewasa. Ia boleh ditakrifkan sebagai merasakan diri berkemampuan dan pada masa yang sama disayangi. Seorang kanak-kanak yang gembira dengan pencapaiannya tetapi tidak rasa disayangi oleh keluarga lambatlaun akan berasa kurang keyakinan diri. Sebaliknya, kanak-kanak yang sentiasa disayangi tetapi ragu-ragu dengan kebolehannya juga akhirnya akan berasa kurang keyakinan diri. Keyakinan diri yang tinggi akan wujud apabila imbangan yang baik dapat dikekalkan.

Penampilan dan keyakinan diri

Remaja dan anak-anak muda terlalu mementingkan penampilan mereka. Ramai di antara mereka bergelut dengan penampilan dan keyakinan diri, terutamanya apabila mereka mencapai akil baligh dan terpaksa berdepan dengan perubahan yang berlaku pada tubuh mereka.

Mereka mungkin mula membandingkan diri mereka dengan rakanrakan sebaya atau imej-imej selebriti media yang mengelilingi mereka. Masalahnya, tidak semua orang membesar atau berkembang dengan cara atau masa yang sama. Orang-orang muda mungkin tidak menyukai dengan penampilan mereka sendiri atau berasa tidak sempurna apabila mereka membandingkan diri mereka dengan imej-imej di media yang telah diperkemaskan berulangkali sehingga menjadi sempurna. Mereka mungkin mempunyai cita-cita yang tidak realistik tentang kecantikan atau penerimaan seseorang. Kesemua ini akan mempengaruhi penampilan dan keyakinan diri seorang anak muda kerana tubuh mereka sedang membesar dan berkembang.

Kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang berlebihan berat badan atau obes berhadapan dengan kadar penganiayaan yang lebih tinggi. Penganiayaan oleh rakan sebaya boleh terjadi dalam bentuk buli dan kata-kata cemuhan, serta lebih cenderung berfokus kepada berat badan dan penampilan diri berbanding dengan ciri-ciri lain. Penganiayaan oleh rakan sebaya juga boleh terjadi dalam senario yang terselindung, contohnya kanak-kanak berlebihan berat badan atau obes dipulau atau diketepikan.

Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berlebihan berat badan atau obes cenderung untuk menjadi orang dewasa yang obes. Penyebab utamanya ialah amalan gaya hidup seperti diet yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal, namun predisposisi genetik boleh juga menyebabkan masalah berat badan. Usaha untuk membendung masalah obesiti dan mempromosi pengendalian berat badan yang berkesan harus bermula sejak kecil.

Aktiviti fizikal dan keyakinan diri

Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal yang kerap dilakukan memberi manfaat kepada kanak-kanak dari segi fizikal dan psikologikal. Ia dikaitkan dengan peningkatan keyakinan diri dan konsep diri serta pengurangan keresahan dan kemurungan. Perhatian juga telah banyak diberi kepada kaitan di antara senaman dan kesejahteraan mental.

Menurut sebuah kajian pada 1986 yang dilakukan terhadap kanak-kanak di antara umur 9 dan 12 tahun, didapati keyakinan diri meningkat dengan senaman aerobik, sekaligus membuktikan kaitan di antara kedua-duanya. Hasil penemuan lain juga mendapati terdapatnya peningkatan keadaan emosi.

Di dalam kajian lain yang dijalankan pada 2009 terhadap kanak-kanak sedentari di antara umur 7 dan 11 tahun, mendapati senaman aerobik yang dilakukan dengan penuh bertenaga dan kerap bersama rakan sebaya di dalam suasana yang teratur akan mengurangkan simptom-simptom kemurungan di kalangan kanak-kanak berlebihan berat badan. Aktiviti-aktiviti tersebut bertumpu kepada intensiti, keseronokan, serta keselamatan, dan bukannya persaingan atau peningkatan kemahiran.

Aktiviti-aktiviti ini dipilih berdasarkan kefahaman yang mudah, keseronokan, dan kebolehan untuk meningkatkan kadar denyutan jantung melebihi 150 denyutan seminit. Contoh-contoh aktiviti ini termasuklah permainan berlari, lompat tali, bola keranjang, dan bola sepak. Didapati bahawa peningkatan dalam aktiviti fizikal akan meningkatkan faedah kesihatan. Ini menunjukkan terdapatnya hubungkait sebab dan kesan. Penemuan-penemuan ini, beserta dengan kajian-kajian lain, memperkukuhkan tanggapan bahawa senaman berjaya meningkatkan keyakinan diri.

Membina asas bagi kesejahteraan masa depan

Anda boleh membantu anak anda membina keyakinan diri yang sihat dengan menggabungkan senaman di dalam aktiviti harian mereka. Panduan Diet Malaysia menyarankan agar kanak-kanak dan remaja menjadi aktif secara fizikal sekurang-kurangnya 60 minit sehari. Aktiviti ini boleh dilakukan sekaligus atau dikumpul sepanjang hari.

Senaman yang dilakukan haruslah berintensiti sederhana dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada sukan, riadah, pengangkutan, kerja rumah, tugasan, senaman yang dirancang dan kelas pendidikan jasmani di sekolah.

Menjadi aktif secara fizikal boleh meningkatkan paras endorfins, sejenis bahan kimia di dalam otak yang meningkatkan rasa riang dan merangsang keadaan emosi serta menggalakkan rasa kesejahteraan.

Ibu bapa harus menghadkan masa anak-anak melakukan aktiviti-aktiviti sedentari seperti menonton televisyen dan bermain permainan komputer/konsol.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerap tabiat bersenam di kalangan anak-anak. Ingatlah, aktiviti fizikal merupakan sebahagian daripada formula kesihatan dan kesejahteraan. Sama penting juga adalah mengamalkan diet yang berkhasiat dan sihat. Akhirnya, zaman kanak-kanak yang gembira dan sihat memupuk asas yang kukuh bagi pertumbuhan dan perkembangan optimum seorang kanak-kanak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen