Apa yang dikatakan sebagai “the terrible twos” atau “dua tahun yang dahsyat” biasanya berlaku apabila anak kecil berumur dalam lingkungan 18 bulan dan sekali lagi pada umur 30 bulan. Bercirikan perubahan mood secara tiba-tiba dan membuat perangai, ia merupakan tempoh perkembangan yang selalu diperkatakan dengan perasaan gerun dan cemas oleh ibu bapa. Ia disebabkan oleh konflik di antara keperluan seorang anak kecil untuk bergantung pada orang dewasa dan keinginannya untuk berdikari. Ia berlaku kerana dia sedang cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang individu.
Menghadapinya bersama anak anda
Daripada anda melawan, adalah lebih baik jika dia dibenarkan untuk menunjukkan yang dia berdikari dengan cara-cara yang diterima dari segi sosial dan moral. Ini akan membantu memudahkan peralihannya melalui peringkat ini, dan berkembang menjadi kanak-kanak prasekolah yang lebih bekerjasama dan bertimbang rasa.
Berikut adalah beberapa panduan bagaimana ibu bapa boleh menghadapi “the terrible twos”:
- Bersabar dan ada rasa kelucuan. Ia penting apabila menghadapi anak kecil anda kerana ia akan membuat pengalaman ini kurang stres bagi anda berdua.
- Elakkan soalan yang boleh dijawab dengan “ya” atau “tidak”. Pada peringkat ini, kemungkinan besar dia akan menjawab “TIDAK!” dengan jelas jika anda bertanya “Anda nak makan bubur?” (atau soalan yang serupa). Sebaliknya, cuba berikan dia pilihan dengan bertanya, “Anda nak makan bubur atau sandwic untuk makan tengahari?”
- Fokus kepada aspek-aspek tingkah lakunya yang positif dan bukan menghukum kelakuannya yang tidak baik. Berbuat demikian akan membantu dia fokus kepada sifat-sifatnya yang positif juga. Ambil sebuah buku nota kecil dan tulis sekurang-kurangnya lima perkara yang dia lakukan betul setiap hari (contohnya, dia makan sarapan sendiri; dia memberus giginya, dll). Kongsi senarai ini bersamanya setiap malam sebelum masuk tidur. Ini akan memberinya pengukuhan positif setiap malam dan membantu anda mengalihkan fokus anda kepada tingkah lakunya yang positif daripada melihat tingkah lakunya yang negatif sahaja
- Fokus kepada tingkah laku yang anda mahu daripadanya dan bukan memberi perhatian kepada tingkah laku yang tidak diingini. Contohnya, daripada anda memberitahu dia agar jangan berlari di merata-rata tempat di pusat membeli belah, katakan kepadanya sesuatu seperti, “Saya suka apabila anda berjalan dekat dengan saya di pusat membeli belah”.
- Cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada merebut kuasa. Biarkan anak kecil anda berdikari untuk membuat keputusannya sendiri jika ianya tidak memudaratkan sesiapa atau sesuatu. Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu bertegas dalam keadaan yang melibatkan kesihatan dan keselamatan anak kecil anda atau orang lain. Contohnya, dia mesti ditempatkan di kerusi keselamatan keretanya, tetapi benarkan dia memilih pakaiannya sendiri.
- Belajar untuk menjadi lebih fleksibel apabila menghadapi anak kecil anda. Walaupun nampak seolah-olah anak kecil anda “berkuasa”, apa sebenarnya yang anda harus lakukan ialah menilai situasi dan membuat satu keputusan yang memanfaatkan semua orang, terutamanya anak kecil anda. Contohnya, jika dia enggan menyimpan permainannya, anda mungkin boleh membantu dia daripada anda berkeras dan memaksa dia mengemas sendiri.
- Sentiasa beri anak kecil anda seberapa banyak pilihan yang mungkin. Ini selalunya memudahkan dia menerima pada masa-masa dia tiada pilihan. Contohnya, jika anda pergi ke sesuatu tempat dan terpaksa beredar, tanyalah kepada anak kecil anda sama ada dia ingin menaiki kereta dengan sendiri atau perlukan bantuan anda.
- Sekali sekala, jangan takut untuk menjadi seorang badut. Menggunakan lawak jenaka dan bersemberono sebagai cara untuk mencairkan pertahanan dan kedegilan anak kecil anda boleh membuat perbezaan besar di antara memaksa dia melakukan sesuatu yang anda mahu dengan mengurangkan kerenah menjerit dan memekik.
- Elak daripada menuntut kepatuhan daripada anak kecil anda. Daripada anda mengarahkan dia untuk menyimpan permainannya, cuba katakan sesuatu seperti, “Bolehkah anda bantu saya pulangkan permainan comel ini ke rumah mereka yang selesa?”
Kekal fokus
Tempoh membuat perangai ini tidak akan kekal selama-lamanya. Kanak-kanak perlu melalui tempoh “the terible twos” ini untuk membolehkan dia membesar menjadi individu yang bertanggungjawab, yang tahu apa mereka mahukan dan boleh berfikir dengan baik untuk dirinya. Jangan bersikap terlalu tegar dalam jangkaan anda terhadap anak anda. Berilah sedikit kelonggaran atau ruang untuk kesilapan, asalkan ia tidak menyimpang daripada kebiasaan. Akhirnya, anak-anak kecil masih memerlukan ibu bapa untuk meletakkan batasan demi pelindungan dan keselamatan mereka.
Komen