Pengasuhan Positif

Kenal Pasti Tanda-Tanda Penderaan

Laporan Dunia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai keganasan terhadap kanak-kanak telah menyatakan bahawa ramai kanak-kanak di seluruh dunia mengalami keganasan di rumah, sekolah dan dalam pelbagai lapisan masyarakat. Keganasan boleh membahayakan kehidupan kanak-kanak, merosakkan kesihatan fizikal serta mengganggu pertumbuhan dan perkembangan mereka. Ia juga boleh menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan mental kanak-kanak terbabit dengan meninggalkan kesan parut yang mendalam terhadap emosi seumur hidup mereka.

Malangnya, kadang-kadang berlaku kesilapan apabila orang dewasa bertindak secara tidak wajar sama ada kerana kejahilan, tekanan, jangkaan yang tidak realistik atau ketidakupayaan untuk mengawal tingkah laku mereka. Kebanyakan masalah ini kekal tersembunyi kerana kanak-kanak tidak mampu untuk bersuara sendiri dan orang dewasa mungkin tidak mahu bercakap mengenai masalah tersebut.

Penderaan Fizikal

Mana-mana kanak-kanak dengan kecederaan yang berulang dan tidak dapat dijelaskan mungkin mengalami penderaan fizikal. Kecederaankecederaan ini termasuklah lebam, luka, terbakar dan patah tulang. Berikut adalah beberapa garis panduan bagi membantu mengenalpasti tindakan yang jelas mengasari dan tidak boleh dianggap sebagai cara yang diterima untuk mendisiplinkan anak anda:

  • Mana-mana pukulan yang menyebabkan kecederaan dengan lebam dan pendarahan
  • Memukul bayi atau anak kecil yang terlalu muda untuk memahami apa yang betul dan apa yang salah
  • Menendang, menumbuk dan menolak mereka dengan menggunakan sesuatu benda yang keras
  • Menyebabkan luka kebakaran atau melecur dengan menggunakan objek panas, cecair panas atau menyapu bahan-bahan lain yang boleh menyebabkan melecur contohnya menggosok cili pada kulit, bibir atau mulut
  • Memukul mereka semasa bertengkar dengan orang lain
  • Memukul mereka akibat kemarahan atau kekecewaan ke atas sesuatu perkara yang tidak melibatkan mereka
  • Menghukum mereka dengan alasan yang tidak munasabah contohnya memukul kanak-kanak berusia dua tahun kerana kencing dalam seluar
  • Memukul mereka ketika berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol
  • Menghalang mereka daripada makan atau minum atau mendedahkan mereka kepada cahaya matahari dan hujan tanpa perlindungan
  • Mengunci mereka di dalam ruang yang sempit
  • Menarik rambut mereka

Jaga dengan cermat…

dan perhatian. Mereka kadang-kadang akan mempunyai episod menangis tanpa henti yang boleh menguji kesabaran ibu bapa dan penjaga. Jangan sekali-kali menggoncang, menumbuk atau memukul bayi tersebut bagi menghentikan tangisan mereka kerana ini adalah satu perkara yang sangat berbahaya. Ia boleh menyebabkan kecederaan teruk di kepala, pendarahan dalam mata dan lain-lain kecederaan dalaman yang mungkin akan membahayakan nyawa mereka.

Jika anda mempunyai kesukaran untuk mengawal tingkah laku anak anda, minta pertolongan daripada ahli keluarga atau rakan anda dan dapatkan bantuan profesional.

Penderaan emosi

Penderaan emosi berlaku apabila wujud interaksi negatif antara ibu bapa/penjaga dan anak anda. Ini boleh menyebabkan mereka sentiasa berasa tidak yakin, menpunyai imej diri dan psikologi yang rendah serta masalah tingkah laku.

21173867

Contoh penderaan emosi

  • Memarahi dan mengkritik setiap kali anda bercakap dengan mereka
  • Perbandingan yang berterusan dengan orang lain yang “lebih baik” atau “lebih bijak”
  • Selalu mengabaikan dan menghalang mereka daripada mendapatkan kasih sayang dan perhatian
  • Menyisihkan mereka daripada mendapat layanan dengan memberikan hadiah kepada kanak-kanak lain
  • Merujuk kepada mereka dengan menggunakan panggilan seperti “tidak berguna” atau “bodoh”
  • Membenarkan mereka untuk menyaksikan adegan yang menakutkan contohnya pergaduhan antara orang dewasa

Kanak-kanak belajar melalui tauladan. Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda perlu memberi contoh yang baik. Tambahan pula, kanak-kanak yang sentiasa menerima galakan untuk mengembangkan bakat dan menerima maklum balas positif bagi perkara-perkara yang telah dilakukan mereka dengan betul akan membesar menjadi orang dewasa dengan harga diri yang baik dan berkeyakinan.

Penderaan seksual

Jangan sekali-kali mengabaikan anak anda jika mereka memberitahu bahawa seseorang telah menyentuh kemaluannya. Kanak-kanak biasanya tidak akan mereka-reka cerita tanpa mempunyai pengalaman langsung berkenaan perkara tersebut. Terangkan kepada mereka bahawa mereka mempunyai hak untuk mengatakan “Tidak!” sekiranya ada seseorang meminta mereka untuk melakukan sesuatu atau menyentuh dengan cara yang boleh membuatkan mereka berasa tidak selesa.

Sentiasa menggalakkan anak anda untuk memberitahu sekiranya terdapat sebarang masalah dan pastikan anda mendengar apa yang dikatakan oleh mereka. Kanak-kanak mungkin enggan atau takut untuk bersuara kerana pendera mungkin telah mengancam atau memberitahu bahawa tidak ada orang yang akan percaya kepada cerita mereka. Pertahankan anak anda dan beri jaminan kepadanya bahawa anda akan melindungi mereka daripada sesiapa sahaja yang cuba untuk menyakitinya. Dapatkan bantuan professional sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan bahawa anak anda mungkin telah didera secara seksual.

Tanda-tanda amaran kemungkinan penderaan seksual:

  • Sakit di sekitar kemaluan
  • Darah atau lelehan di sekitar kemaluan atau seluar dalam
  • Tingkah laku seksual terhadap orang lain
  • Tingkah laku yang memberontak atau agresif secara tiba-tiba
  • Merokok, mengambil dadah atau alkohol
  • Bersedih, tertekan atau membunuh diri
  • Kehamilan
  • Ponteng sekolah dan melarikan diri
  • Kemerosotan gred pelajaran di sekolah
  • Kesukaran untuk tidur, mimpi ngeri dan kurang selera makan

Pengabaian

Pengabaian berlaku apabila keluarga kanak-kanak tersebut gagal untuk menyediakan keperluannya walaupun mereka mampu berbuat demikian. Sungguhpun kebanyakan keluarga menyedari akan keperluan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, penjagaan kesihatan dan pendidikan, mereka kadang-kadang terlepas pandang terhadap pengawasan. Pengawasan yang tidak mencukupi boleh mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai jenis bahaya seperti lemas, dilanggar oleh kenderaan, mati kerana kepanasan dan sesak nafas akibat terperangkap dalam ruang yang tertutup atau diculik.

Bantuan untuk melindungi kanak-kanak

Kanak-kanak bergantung kepada orang dewasa di sekeliling mereka untuk membantu apabila mereka mempunyai masalah. Jangan berlengah jika anda bimbang bahawa kanak-kanak tersebut mungkin telah didera. Anda boleh menghubungi mana-mana agensi berikut:

  • Talian hotline kebangsaan iaitu Talian Nur 15999 atau pejabat kebajikan yang terdekat
  • Balai polis di kawasan anda
  • Hospital yang berhampiran dengan anda

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen