Pengasuhan Positif

Makna Keremajaan

Daripada Perspektif Seorang Pakar: Jiwa Remaja

daripada Datuk Dr Zulkifli Ismail, Consultant Paediatrician & Paediatric Cardiologist

Keremajaan – fasa dalam kehidupan apabila anak kesayangan anda bukan lagi seorang kanak-kanak, tetapi belum lagi mencapai kedewasaan sepenuhnya. Ia merupakan masa di mana dia sedang bergelut dengan pelbagai perubahan perkembangan – fizikal, emosional, psikologikal dan intelektual, kesemuanya berlaku serentak. Menurut pakar-pakar, terdapat tiga fasa keremajaan – keremajaan awal dari umur 11 hingga 14 tahun; keremajaan pertengahan dari umur 15 hingga 17 tahun dan keremajaan lewat merentangi umur 18 hingga 21 tahun. Setiap individu melalui fasa-fasa ini mengikut masa dan kadar tersendiri, oleh itu tidak terdapat corak yang sterotaip. Anak anda akan berasa teruja untuk berubah daripada dipanggil sebagai seorang kanak-kanak dan menjadi seorang remaja dengan rasminya. Namun, kehidupan akan tetap berterusan tanpa menghiraukan yang mereka masih cuba memahami apa yang sedang berlaku pada minda dan tubuh mereka serta menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan di dalam diri mereka. Apakah keinginan remaja?; bahawa kehidupan ini akan berhenti, walaupun seketika, untuk memberi mereka peluang mengejarnya. Sebagai ibu bapa, perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah untuk bersabar dan cuba untuk menerima serta memahaminya, langkah demi langkah.

Dalam tempoh keremajaan, ada masanya anak remaja anda berasa gembira apabila mereka mendapat keyakinan baru dalam kebolehan mereka untuk berfikir dan bertindak secara rasional dan diperlakukan dengan berbeza oleh orang di sekelilingnya. Namun, terdapat masa-masa lain di mana mereka berasa seolah-olah semua yang dilakukan mereka adalah salah. Perasaan kekurangan dan sensitiviti yang tidak pernah dirasai mula menjelma.

Daripada Perspektif Seorang Remaja:

daripada Zaim Zhafri

Dalam sekelip mata sahaja, hubungan anda dengan ibu bapa seakan-akan berubah. Mereka mempunyai harapan agar anda berkelakuan seperti seorang dewasa dan mempunyai azam untuk mencapai masa depan yang terjamin. Anda dikehendaki mempunyai cita-cita kerjaya masa depan yang berpendapatan tinggi dan mula berusaha untuk mendapatkan gred-gred tinggi agar membolehkan anda mendapat tempat di universiti yang berprestij. Sifat asas lanjutan pendidikan universiti di zaman moden ini bermakna orang muda terpaksa bergantung pada ibu bapa sehingga awal usia dua puluhan. Kebergantungan kewangan ini akan menimbulkan percanggahan pendapat mengenai gaya hidup dan cita-cita masa depan menjadi semakin buruk. Anda perlu menghadapi tekanan-tekanan ini sementara anda masih sedang menentukan cita-cita anda apabila dewasa kelak!

Kalaulah ibu bapa boleh memahami bahawa anda terlalu keliru untuk mengetahui apa yang anda mahukan dalam kehidupan. Bahawa anda masih tercari-cari siapa diri anda dan tempat anda di dunia ini. Anda ingin memberitahu mereka agar memberi anda masa untuk berfikir sendiri dan tidak terburu-buru membuat keputusan atau membuat keputusan untuk anda. Alangkah baiknya jika anda dibenarkan membuat pilihan kerjaya dan masa depan sendiri. Kemudian memberitahu mereka keputusan anda.

Kepercayaan dan Kebebasan

Dari satu segi, ibu bapa inginkan anda bertanggungjawab seperti orang dewasa dan memikul tanggungjawab orang dewasa. Anda diharapkan untuk melakukan kerja-kerja rumah atau menjaga adik-adik – mereka memanggilnya menunjukkan “kuasa” anda di rumah. Namun, anda belum cukup matang untuk diberi kebebasan. Memanglah anda tidak hiraukan syarat-syarat dan perintah berkurung yang ditetapkan asalkan ianya berpatutan. Dan sudah pasti dalam tempoh kebebasan yang pantas, ada ketikanya terjadi kejadian yang tidak sengajakan yang menguji sempadan-sempadan kebebasan tersebut. Sudah pasti anda menyedari bahawa satu tindakan melulu sahaja boleh melenyapkan kepercayaan mereka. Ibu bapa mempunyai kepercayaan yang tersirat dan yakin bahawa anda tidak melupakan nilai-nilai yang telah disemai di dalam anda. Oleh itu, memperoleh dan mengekalkan kepercayaan pastinya merupakan detik penting dalam hubungan ibu bapa-remaja dan pendulumnya boleh berhayun ke hadapan dan ke belakang sehingga anda mencapai imbangan yang tepat. Harap-harap anda berjaya mencapai satu kompromi yang menggembirakan tanpa sebarang perbalahan, kemarahan, naik angin dan pemberontakan!

Rakan-rakan

Rakan-rakan semakin menjadi kehadiran yang kekal dan tetap dalam pandangan hidup remaja. Menjadi sebahagian daripada kumpulan rakan sebaya membantu remaja untuk membentuk identiti mereka, mencari personaliti mereka yang sedang bertumbuh, membina perwatakan, membendung kesunyian dan mencuba kembara yang gila-gila. Rakan-rakan memberi semangat kekitaan yang penting. Ibu bapa tidak seharusnya berasa marah dengan masa yang lama yang diluangkan bersama rakan sebaya dan kelebihan serta kepentingan yang diberi kepada rakan-rakan. Ia tidak harus dianggap seolaholah mereka tidak ingin untuk bersama ibu bapa atau luangkan masa bersama keluarga. Malah, dalam peringkat kehidupan mereka ini, remaja tidak ingin dilihat bersama ibu bapa dan akan menolak jemputan ke acara-acara yang dihadiri ibu bapa dengan alasan ia membosankan. Ini tidak seharusnya disalah tafsirkan sebagai remaja ingin menjauhkan diri daripada ibu bapa atau mengetepikan mereka. Ini hanyalah satu lagi cara mereka menunjukkan kemerdekaan mereka dan inginkan masa tanpa kawalan ibu bapa, pengawasan dan daripada menemani ibu bapa. Masih akan terdapat masa yang akan diluangkan bersama keluarga. Oleh itu tidak perlulah berasa marah pada masa yang mereka luangkan dengan rakan-rakan. Remaja mempunyai banyak perkara yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan yang mereka tidak akan memberitahu ibu bapa. Ini adalah hakikat yang ibu bapa perlu terima walaupun dengan berat hati!

Privasi

Ibu bapa dan remaja mempunyai latar privasi yang berbeza. Ibu bapa ingin memahami minda dan kehidupan anda serta mengetahui segala-galanya mengenai apa yang sedang berlaku pada anda. Mereka ingin mengetahui dengan siapa anda bercakap; tentang perkara yang dibualkan berjam-jam di dalam telefon; mereka hendak menghadkan masa internet anda; mereka ingin anda memberitahu segala perasaan anda! Dahulu, ia adalah baik tetapi sekarang anda sudah dewasa, anda mula menghargai masa-masa untuk bersendirian atau bersama rakan-rakan dan ingin dibiarkan untuk membuat sesuka hati anda. Anda ingin ibu bapa anda memahami bahawa anda adalah seorang individu yang mempunyai keperluan sendiri, perkara yang anda suka dan tidak suka dan bukan setakat kesinambungan diri mereka. Mereka perlu menghormati privasi anda sebagaimana mereka mengekalkan anda di luar sempadan dunia dewasa mereka. Mereka harus yakin bahawa jika terdapat sesuatu yang anda ingin berkongsi dengan mereka, anda akan berbuat demikian. Atau, jika berlaku sesuatu yang penting di dalam kehidupan anda atau anda mempunyai masalah yang serius, anda akan memberitahu dan mendapatkan nasihat mereka. Ibu bapa sentiasa boleh mengesan jika terdapat sesuatu yang tidak kena dan pastinya akan terdapat tanda-tanda amaran seperti keresahan, reaksi keterlaluan atau tingkah laku yang tidak normal. Mereka akan menggunakan tanda-tanda ini untuk mengambil masa untuk mendengar keluhan anda dan membantu mengatasinya.

Satu Tempat Yang Dipanggil Rumah

Remaja tidak akan merayau jauh dari rumah selagi mereka tahu dan rasa yang ia adalah tempat berlindung yang selamat. Ibu bapa perlu memastikan adanya kasih sayang dan perlindungan untuk remaja mereka pulang ke rumah. Tiada hukuman dan tuduh menuduh apabila terjadi sesuatu yang pasti akan berlaku apabila remaja sedang menguji dan menjelajahi kebebasan yang mereka baru kecapi. Malah, ibu bapa pun pernah menjadi seorang remaja dan mengalami perkara yang sama; tidak kira sama ada tercekik kerana cuba menghisap rokok, minum alkohol buat pertama kalinya dan mabuk, pergi berdating, melanggar kereta, mendapat saman trafik kerana memecut, ponteng kelas, keluar sehingga lewat malam, dan memain muzik kuat sehingga mendapat aduan jiran, dan segala kenakalan yang dilakukan oleh orang muda sebagai upacara mereka ke arah alam dewasa!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen