Pengasuhan Positif

Tip Makanan Untuk Ibu Yang Sibuk

p>Panduan Piramid Makanan (daripada artikel sebelum ini) memberikan gambaran diet yang seimbang untuk anak-anak kecil. Bagaimanapun, ia tidak semudah yang digambarkan dan mungkin menjadi suatu cabaran. Prinsip berikut dapat membantu anda ke arah yang betul.

  • Pilih makanan berkhasiat Kita pasti tahu keperluan makanan berkhasiat. Jadi, pastikan pilih makanan yang penuh khasiat. Pilih makanan yang kurang diproses di mana keadaan dan kandungan nutriennya masih kekal dan segar apabila dijual di pasaraya.
  • Tambahkan nilai pemakanan Kanak-kanak prasekolah hanya boleh makan sedikit. Jadi, lakukan apa sahaja untuk memastikan setiap sajian makanannya berkhasiat. Sebagai contoh, tambahkan sayur ke dalam bubur ayam atau gunakan kedua-dua roti mil penuh dan roti putih untuk sandwic. Apabila membeli barangan makanan, pilih jenis yang padat nutrien seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan susu.
  • Hadkan penggunaan minyak Elakkan penggunaan minyak yang banyak bila memasak dan menggoreng. Masak makanan secara rebus, panggang, kukus atau tumis.
  • Lebih susu Susu penting untuk tumbesaran dan pembentukan gigi dan tulang, maka galakkan pengambilan susu dengan menyediakan pelbagai sajian diperbuat daripada susu. Selang selikan susu biasa dengan susu berperisa strawberi atau coklat. Hidangkan pelbagai jenis keju, tairu atau dadih, biskut susu dan produk susu lain.
  • Ceriakan dengan warna Satu panduan mudah bila menyediakan jenis sajian makanan untuk anak anda: jadikan sajian berwarna-warni. Sebagai contoh, hidangkan pelbagai sayuran dan buah-buahan yang beraneka warna! Gabungkan bayam hijau, lobak merah, kubis bunga, ikan, nasi putih dan epal merah sebagai pencuci mulut.
  • Keseronokan dalam kepelbagaian Rancangkan menu setiap minggu. Pilih makanan daripada kumpulan makanan yang berlainan, dalam jumlah yang berpatutan. Pilih jenis makanan berlainan daripada setiap kumpulan untuk semua sajian. Sebagai contoh, roti untuk sarapan, mi untuk tengah hari dan nasi untuk malam dapat membekalkan karbohidrat secukupnya. Simpan rekod untuk pastikan kepelbagaian sajian makanan untuk si manja sepanjang minggu!
Jangan Sesekali Tidak Bersarapan
  • Sediakan sarapan pagi yang berkhasiat dan mengenyangkan untuk anak anda setiap pagi untuk meningkatkan daya ingatan, kecerdasan dan prestasi akademik.
  • Bangunkan anak anda lebih awal supaya dia mempunyai masa untuk bersarapan dan bersiap untuk ke tadika. Berikan minuman berkhasiat yang kaya dengan protein, vitamin dan mineral seperti susu, jus buah-buahan dan susu soya. Makanan daripada bijirin penuh yang berserat seperti oat boleh menjadi sajian yang lazat dan berkhasiat bila disajikan dengan potongan buahbuahan segar.
  • Sebaik-baiknya, jangan berikan makanan manis seperti kek, kuih atau gula-gula pada waktu pagi kerana ia cepat hadam dan tidak memberi tenaga yang diperlukan sepanjang hari.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen