Pengasuhan Positif

Membesar Dengan Betul

Sebagai ibu bapa, memang sukar untuk kita menahan diri daripada membuat perbandingan antara anak-anak kita yang mencecah usia pra-sekolah dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Biasanya, perasaan bimbang akan menghantui kita jika anak kita tidak setinggi, atau sebesar atau sekuat kanak-kanak lain.

Usah bimbang. Selagi mereka aktif, cerdas dan mendapat pemakanan yang betul, kita tidak perlu khuatirkan tentang tumbesarannya. Semua tandatanda tersebut menunjukkan mereka sedang membesar dengan sihat. Akan tetapi jika berat badannya kian susut atau mereka cepat letih dan lesu, atau sering jatuh sakit, bawalah mereka berjumpa doktor dengan seberapa segera.

Dalam usia antara 1 hingga 10 tahun, kadar tumbesaran anak-anak memang perlahan jika dibandingkan dengan zaman bayi atau remaja.

Secara purata, berat badan mereka bertambah 2 hingga 3 kg, manakala ketinggian mereka meningkat 6 hingga 8 sm setahun. Di peringkat pra-sekolah, kadar tumbesaran tidak menentu. Ada kalanya mereka seolah-olah berhenti membesar, manakala pada waktu-waktu tertentu, berat badan dan ketinggian mereka bertambah secara mendadak. Keadaan ini tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.

Walaubagaimanapun, tumbesaran anak kita tidak boleh dilihat dari segi peningkatan berat badan dan ketinggian semata-mata. Pertumbuhan tulang, gigi, otot dan darah juga penting dalam proses tumbesaran kanak-kanak.

Sebagai contoh, pertumbuhan tulang bukan sahaja mempengaruhi ketinggian kanak-kanak tetapi juga potongan badannya. Dari usia setahun, kaki dan tangan mereka mula memanjang. Kaki akan menjadi lurus sambil otot abdomen dan belakang mengetat untuk memberikan sokongan yang lebih kuat. Ini membuat mereka kelihatan lebih matang.

Gigi biasanya mula tumbuh apabila bayi mencecah usia 6 bulan. Menjelang usia 3 tahun, gigi susu akan tumbuh penuh (sepuluh di rahang atas dan sepuluh di rahang bawah), membolehkan mereka mengunyah makanan pejal. Pertumbuhan gigi susu juga merangsangkan pembesaran rahang dan memudahkan pertumbuhan gigi kekal yang akan menggantikan gigi susu kelak.

Pertumbuhan otot juga mesti selaras dengan pergerakan kanak-kanak yang semakin tangkas. Di samping itu, lemak badan mereka akan berkurangan, hingga mencapai tahap minimum apabila mereka mencecah usia 6 tahun. Itulah sebabnya ramai kanak-kanak dalam usia ini nampak ‘kurus’ walaupun mereka sebenarnya tidak lemah atau sakit.

Sebagai pengangkut zat makanan dan oksigen ke sel, darah memainkan peranan penting untuk membolehkan anak-anak membesar, bermain dan belajar dengan cergas. Kekurangan darah atau keadaan-keadaan yang boleh menjejaskan kualiti darah (seperti anemia) boleh dielakkan dengan memberi anak-anak kita makanan yang berkhasiat dan seimbang.

TENAGA & ZAT MAKANAN UNTUK TUMBESARAN

Pemakanan yang betul dapat memastikan anakanak kita membesar dengan sihat. Namun, kadar tumbesaran dan selera makan anak-anak yang baru bertatih dan mencapai usia prasekolah akan berkurangan. Tabiat makan mereka tidak teratur. Sesetengahnya terlalu memilih; sebagai contoh, mereka mudah bosan dengan makanan yang sama atau mahukan makanan yang sama sehingga berminggu-minggu.

Ini semua adalah perkara biasa. Yang penting, kita perlu memastikan anakanak kita mendapat pemakanan yang betul, sebagaimana yang mereka perlukan.

Anak-anak kecil sangat aktif. Oleh itu, mereka memerlukan tenaga yang cukup untuk bermain dan belajar. Tenaga juga amat penting untuk membolehkan sel mereka tumbuh dan organ dalaman mereka melakukan fungsi-fungsi asas (termasuk menghadam dan memecahkan makanan). Itulah sebabnya anak-anak kecil mesti diberi cukup makanan yang membekalkan tenaga (seperti bijirin, bijian, ubi-ubian dan susu).

Protein daripada susu, produk tenusu, daging, ayam, ikan dan kekacang (seperti kacang panjang dan kacang soya) adalah diperlukan untuk membina tisu. Namun, tubuh badan kanak-kanak akan menukar protein menjadi tenaga sekiranya kekurangan makanan yang membekalkan tenaga. Keadaan ini boleh menyebabkan anak-anak mengalami masalah pemakanan disebabkan oleh kekurangan tenaga dan protein.

Anak-anak yang sedang membesar juga memerlukan vitamin dan zat galian untuk melakukan beratus-ratus fungsi dalaman. Khasiat ini terdapat dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan pelbagai jenis makanan. Misalnya, daging membekalkan vitamin B yang membantu badan mengeluarkan tenaga dan menggunakannya dengan lebih baik.

Kalsium pula boleh didapati di dalam susu, sayursayuran berdaun hijau dan ikan bertulang yang ditinkan (seperti sardin). Antara sumber-sumber ini, susu membekalkan kalsium bermutu paling tinggi yang boleh diserap oleh badan. Di samping itu, susu juga mengandungi vitamin Adan D yang membantu kalsium membina tulang dan gigi menjadi kuat dan sihat.

Kanak-kanak memerlukan zat besi untuk menghasilkan sel darah merah dan mengangkut oksigen. Kekurangan mineral surih ini boleh menyebabkan kanak-kanak lesu, gelisah, pening, kekurangan tenaga dan mengalami masalah anemia (kekurangan zat besi yang boleh dikenalpastikan melalui tanda-tanda seperti kepucatan muka dan bawah kelopak mata). Untuk memastikan anak-anak kita mendapat cukup zat besi, kita boleh memberi mereka daging, ayam, susu, bijirin sarapan yang diperkuat dengan zat besi, kekacang dan buah-buahan kering. Elakkan daripada memberi supplemen zat besi, melainkan dinasihatkan oleh doktor; ini adalah kerana kelebihan zat besi boleh menimbulkan masalah serius.

Zink merupakan satu lagi mineral surih yang penting untuk tumbesaran kanak-kanak. Kekurangan zink boleh membantutkan pertumbuhan, mengurangkan selera makanan dan melambatkan penyembuhan luka. Daging dan makanan laut kaya dengan zink.

Cara paling baik untuk memastikan anak-anak mendapat makanan yang betul ialah dengan memberi mereka makanan seimbang yang meliputi pelbagai jenis. Ini boleh termasuk susu, bijirin sarapan dan snek yang diperkaya atau ditambah zat serta vitamin untuk pertumbuhan optimal, mengikut piawaian seperti Sukatan Pemakanan Yang Disyorkan di Amerika Syarikat (USRDA).

MENGAWASI TUMBESARAN

Bawalah anak-anak berjumpa doktor dalam jangka masa yang tetap untuk membolehkan kadar tumbesaran dan pembangunannya diawasi. Doktor akan mencatat berat badan dan ketinggian mereka setiap kali kita membawa mereka ke klinik, untuk memudahkan kita mengesan sebarang kelainan atau masalah.

Antara tanda-tanda masalah yang boleh dikesan termasuk kehilangan berat badan (ataupun tiadanya peningkatan berat badan) dalam tempoh beberapa bulan. Ini mungkin menunjukkan kekurangan zat makanan, penyakit kronik, masalah emosional atau masalah keluarga.

Berat badan berlebihan juga boleh menimbulkan masalah kesihatan. Mungkin kerana terlalu sayangkan anak-anak, ibu bapa membiarkan mereka makan secara berlebihan dan tidak menggalakkan mereka melakukan kegiatan fizikal atau bersenam. Ini mengakibatkan berat badan anak-anak bertambah, malah menyebabkan sesetengahnya menjadi gemuk atau obes. Berat badan berlebihan boleh meningkatkan kemungkinan anak-anak membesar menjadi orang dewasa yang gemuk dan mudah mendapat penyakit-penyakit kronik (seperti diabetis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung).

Jika tumbesaran anak-anak terbantut disebabkan sakit teruk, dapatkan nasihat doktor atau ahli pemakanan tentang cara memulangkan pertumbuhan mereka seperti sediakala apabila sembuh.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen