Pengasuhan Positif

Kebimbangan Pada Masa Makan!

Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati 50-60% daripada ibu bapa sebenarnya melaporkan bahawa anak-anak mereka susah makan. Bagaimanapun, penyelidikan selanjutnya terhadap hasil kajian itu menunjukkan hanya 25-35% daripada kanak-kanak tersebut yang benar-benar susah makan. Mungkin terdapat banyak faktor lain yang boleh menjejaskan selera kanakkanak, tetapi kebanyakan ibu bapa lebih cenderung membuat andaian sendiri.

Masa makan ibu bapa ini diselubungi kebimbangan yang selalunya diperlihatkan dalam cara mereka memberi anak-anak mereka makan. Lebih kuat ibu bapa mendesak atau mencuba untuk memaksa anak-anak makan, lebih kuat mereka menolaknya. Justeru, ibu bapa perlu sedar bahawa selain kesukaran untuk memberi makan, terdapat banyak lagi faktor yang boleh menjejaskan selera anak-anak.

Apakah faktor-faktornya?

Perkembangan oral-motor – Minat untuk makan banyak bergantung pada kesediaan kanak-kanak dan kemahiran oralmotor yang secukupnya seperti kemahiran menghisap, menggigit dan mengunyah. Ibu bapa perlu menyedari perkembangan ini untuk mengelakkan kesukaran apabila menyuap makanan.

Takut mencuba makanan baru – Ini adalah masalah di peringkat perkembangan yang juga dikenali sebagai neofobia. Memang biasa bagi kanak-kanak berusia antara dua dan tiga tahun menolak makanan baru. Jika tidak diuruskan dengan baik, si manja akan menunjukkan tanda kebimbangan dan ketakutan terhadap makanan baru.

Faktor persekitaran – Kesibukan jadual kerja ibu bapa dan budaya makan adalah antara faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi tabiat makan anak-anak. Sebagai contoh, waktu makan yang tidak tetap atau tidak mengikut jadual boleh menyebabkan tabiat makan yang tidak konsisten.

Malangnya, ramai ibu cepat menyalahkan kesukaran makan sebaik sahaja anak-anak mereka tidak mahu makan atau tidak mengambil makanan yang secukupnya untuk memenuhi keperluan asas pertumbuhan fizikal yang sewajarnya. Ini boleh mempengaruhi reaksi atau tindak-tanduk anda pada masa makan:

  • Tabiat makan anak. Si manja mungkin mengaitkan makan dengan perasaan tertekan akibat tekanan pada masa makan.
  • Hubungan ibu bapa dan anak. Hubungan antara ibu bapa dan anak boleh terjejas apabila kedua-dua pihak menimbulkan kemarahan satu sama lain dan main ‘tarik tali’ pada masa makan.
  • Pertumbuhan dan perkembangan. Potensi si manja untuk membesar dan menjadi individu yang sihat dan serba boleh akan tergugat jika masalah makan berterusan, akibat makan secara paksa.

Untuk mengelakkan semua ini daripada berlaku, ibu bapa seharusnya tidak memberi tekanan kepada si manja pada waktu makan. Perasaan bimbang boleh menyebabkan ibu bapa menggunakan teknik memaksa anak mereka makan. Sebaliknya, anda patut:

  1. Jangan bimbang! Jika anda tidak sabar dan gementar semasa memberi makan, si manja anda akan turut merasa bimbang dan takut. Untuk mengelakkan ini, anda boleh cuba memulakan perbualan dengan si manja dengan memperkatakan tentang rasa, tekstur dan bau makanan.
  2. Sediakan persekitaran yang memberi sokongan dan asuhan. Persekitaran yang selesa akan membuat anak-anak merasa dihormati, disayangi dan dipercayai untuk mencuba dan mempelajari kemahiran makan baru tanpa paksaan atau hukuman. Ini dapat membantu si manja dan juga anda untuk relaks dan lebih berselera.
  3. Menambah sedikit kesabaran. Anda perlu menambah sedikit lagi kesabaran apabila anda memperkenalkan makanan baru kepada si manja. Anda juga patut memberikan pendedahan yang secukupnya kepada makanan baru, dan memastikan ia diberi secara sistematik dan beransur-ansur supaya si manja dapat membiasakan diri dengannya.
  4. Kawal tapi fleksibel. Peranan anda sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab penting kerana anda yang perlu memutuskan bila untuk makan, di mana untuk makan, dan apa yang patut dimakan. Bagaimanapun, biarkan si manja sendiri menentukan berapa banyak yang boleh dimakan kerana tiada siapa boleh memaksanya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen