Pengasuhan Positif

Mulakan Dari Kecil!

Pemakanan yang baik merupakan asas kepada kesihatan sepanjang hayat dan ia bermula semasa si manja anda masih bayi lagi. Makan secara sihat adalah penting untuk membekalkan tenaga, mencerdaskan minda dan mood si manja dalam aktiviti hariannya.

Apakah itu pemakanan yang sihat?

Makan secara sihat bermaksud mengambil diet yang pelbagai, seimbang dan dalam kuantiti yang sederhana. Diet yang seimbang ini membolehkan seseorang itu memperolehi nutrien atau zat makanan penting seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral serta jenis lemak yang betul mengikut keperluan harian. Namun demikian, ia tidak semudah yang disangka. Status pemakanan kanak-kanak kecil terkini sememangnya sangat membimbangkan kerana ramai yang didapati kekurangan zat.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III yang telah dijalankan ke atas 22,032 kanak-kanak Malaysia berusia antara 0-18 tahun, 13.2% daripada kanak-kanak yang dikaji kekurangan berat badan dan 15.8% pula terbantut. Kedua-dua keadaan ini paling lazim di kalangan kanak-kanak prasekolah.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam tahun 2008, sebanyak 25% kanak-kanak sekolah rendah didapati berlebihan berat badan dan obes!

Mengapa ia berlaku?

Malpemakanan boleh berpunca daripada beberapa sebab. Antara sebab yang penting termasuk diet dan tabiat makan yang tidak baik, biasanya kerana ibu bapa kurang pengetahuan dan kesedaran tentang pemakanan kanak-kanak. Kanak-kanak tidak dilahirkan dengan kebolehan memilih diet yang lebih sihat, jadi ibu bapa merupakan punca mereka berbuat demikian.

Ramai ibu bapa gagal menyediakan hidangan yang pelbagai jenis dan seimbang, dan mereka juga jarang memastikan anak mereka makan secara kerap serta mengikut waktu. Kajian UKM 2008 turut menunjukkan bahawa hampir 30% kanak-kanak sekolah rendah didapati tidak bersarapan pagi. Ini agak mengejutkan kerana sarapan pagi adalah waktu makan yang paling penting.

Membentuk tabiat makan secara sihat

Kanak-kanak boleh dipupuk dengan mudah semasa kecil, terutama sekali antara usia 2-7 tahun. Mereka akan membentuk cita rasa terhadap makanan yang mereka suka dan lebih kerap dimakan. Sebagai contoh, kekerapan memberi buah-buahan sebagai snek akan membantu mereka gemar makan buah-buahan berbanding snek tidak sihat seperti biskut manis atau kuih-muih.

Tambahan lagi, kanak-kanak memang mengikut konsep “bapa borek anak rintik”, jadi ibu bapa perlu berusaha menjadi model peranan yang baik. Tiada gunanya menyuruh anak anda makan buah-buahan dan sayur-sayuran apabila anda sendiri menggemari karipap atau pisang goreng!

Sesuaikan dengan jadual anda

Kebanyakan ibu bapa yang bekerja sepenuh masa akan merasa beban menyediakan hidangan harian. Tidak semua hidangan perlu disediakan dari mula; anda boleh gunakan apa jua cara bagi menyediakan hidangan yang ringkas dan cepat.

Cuba sediakan hidangan dalam kuantiti besar dan bekukan dalam sajian-sajian kecil secara berasingan untuk dihidang kemudian. Bagi menjimatkan masa, anda boleh menyediakan ramuan-ramuan tertentu pada malam sebelumnya.

Makan secara sihat tidak boleh dicapai dalam sehari, dan kanak-kanak perlukan masa untuk menerima tabiat yang sihat ini. Beri dan gantikan snek dan makanan tidak sihat dengan alternatif yang lebih sihat.

Mulakan tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil!

Latih anak anda untuk makan secara sihat!
  • Masak di rumah. Pada lazimnya, hidangan yang dimasak di rumah adalah lebih berkhasiat untuk seisi keluarga dan merupakan cara terbaik untuk memupuk selera yang sihat dalam kalangan kanak-kanak. Hidangan yang disediakan di restoran sering mengandungi lebih banyak lemak, garam dan gula.
  • Libatkan anak anda. Kanak-kanak suka membeli-belah untuk barangan rumah, memilih makanan untuk bekalan snek mereka, dan ada juga yang suka menyediakan hidangan keluarga mereka. Gunakan peluang ini untuk mengajar anak anda tentang nilai-nilai pemakanan makanan berbeza, dan membaca label makanan! (untuk kanak-kanak lebih besar)
  • Pastikan sentiasa sediakan snek yang berkhasiat. Snek seperti buah-buahan, yogurt atau minuman yogurt, roti bun dan minuman sihat seperti susu dan jus buah segar perlu sentiasa ada di rumah anda. Ini adalah supaya anak-anak anda akan biasa makan snek yang berkhasiat dan bukannya kerepek kentang, biskut atau minuman berkarbonat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen