Pengasuhan Positif

Pendakap Gigi untuk Kanak-kanak

Adakah anda perlu memakai pendakap gigi ketika zaman kanak-kanak anda? Bagaimana pula dengan anak anda? Adakah anda rasa mereka juga memerlukan pendakap gigi? Mari belajar lebih lanjut tentang pendakap gigi!

Apa itu pendakap gigi?

Pendakap gigi adalah alat yang dimuatkan ke dalam mulut untuk mengenakan tekanan sederhana dan berterusan pada gigi. Lama-kelamaan, gigi secara beransur-ansur akan bergerak ke posisi yang lebih lurus dan tersusun. Pendakap gigi digunakan untuk merawat pelbagai isu ortodontik (cth. gigi tidak teratur).

Pendakap gigi biasanya dipasang oleh pakar ortodontik (doktor gigi yang mempunyai kepakaran dalam mencegah dan merawat masalah kedudukan rahang dan gigi), tetapi doktor gigi biasa juga menawarkan perkhidmatan ini. Selalunya, pendakap gigi dipakai oleh kanak-kanak dan remaja, namun orang dewasa juga boleh memakainya. Terdapat beberapa jenis pendakap gigi:

  • Pendakap gigi besi
  • Pendakap gigi seramik
  • Pendakap gigi swaikat (self-ligating)
  • Pendakap gigi lingual (dipakai di bahagian belakang gigi)
  • Penjajar gigi (aligner) (alternatif kepada pendakap gigi)

Kenapa kanak-kanak memerlukan pendakap gigi?

Kanak-kanak mungkin memerlukan pendakap gigi kerana pelbagai sebab, biasanya melibatkan isu-isu ortodontik seperti:

  • Gigi senget
  • Gigi bertindih
  • Gigi terlalu sesak
  • Gigi jarang
  • Kehilangan gigi
  • Gigi lebih
  • Masalah gigitan (masalah kedudukan gigi, cth. terlebih gigitan, kurang gigitan)
  • Posisi rahang tidak teratur atau tidak tepat
  • Penyakit sendi rahang

Bila dan berapa lama anak saya perlu memakai pendakap gigi?

Masa yang ideal adalah ketika gigi kekal telah tumbuh semasa berumur 12-14 tahun. Namun, ada masalah yang boleh dikesan seawal umur 7-8 tahun, jadi anda dinasihatkan untuk membawa anak anda berjumpa doktor gigi lebih awal. Pada usia ini, rahang dan tulang muka masih dalam proses perkembangan, jadi ia lebih mudah dibentuk. Orang dewasa juga boleh memakai pendakap gigi, namun ia mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai hasilnya. Tempoh masa bergantung kepada tahap keterukan susunan gigi, tetapi biasanya, ia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk melengkapkan rawatan pendakap gigi.

Apakah manfaat dan kesan sampingan pemakaian pendakap gigi?

Manfaat

  • Mencantikkan penampilan gigi, senyuman lebih tersusun dan cantik
  • Lebih mudah untuk membersihkan gigi
  • Merawat penyakit sendi rahang
  • Memperbaiki fungsi-fungsi yang sepatutnya seperti mengunyah dan bercakap

Kesan sampingan

  • Sedikit ketidakselesaan (biasanya pada hari pertama dan selepas mengetatkan pendakap gigi)
  • Masalah untuk makan (terutamanya selepas mengetatkan pendakap gigi)
  • Kerengsaan pada bahagian lidah, bibir atau dalam pipi
  • Sakit rahang

Plak boleh terbentuk di sekitar pendakap dan wayar pendakap gigi, yang boleh mengakibatkan masalah gigi. Oleh itu, kebersihan mulut yang baik adalah penting bagi sesiapa yang memakai pendakap gigi. Ajar anak anda untuk memberus gigi setiap kali selepas makan dan flos gigi setiap hari. Selalu bawa anak anda ke klinik gigi untuk membersihkan dan memeriksa gigi bagi mengesan lubang pada gigi. Anak anda juga perlu mengelakkan makanan keras, rangup atau melekit. Jika dia rasa tidak selesa, berikan ubat tahan sakit dan makanan lembut.

Langgani surat berita pengasuhan kami.