Pengasuhan Positif

Mengawal Saiz Hidangan Makanan Anda

Sejak beberapa dekad yang lalu, saiz hidangan makanan yang dijual di kedai-kedai makan telah bertambah, dan menyebabkan orang ramai mempunyai tanggapan yang salah tentang saiz hidangan sederhana yang sepatutnya. Malah apabila kita makan di rumah, saiz hidangan makanan juga telah bertambah. Malangnya, peningkatan dalam saiz hidangan juga mempunyai kesan langsung terhadap ukuran lilitan pinggang yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan pada tahun 2006 menunjukkan bahawa dua daripada lima orang dewasa atau 43% daripada orang dewasa adalah berlebihan berat badan ataupun obes. Angka ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan penemuan daripada kajian yang sama 10 tahun sebelumnya!

Hidangan yang seimbang, sederhana dan pelbagai…

Secara umumnya, kunci kepada pemakanan dan pengurusan berat badan yang sihat ialah pengambilan makanan yang pelbagai dan seimbang dalam hidangan yang sederhana. Tetapi, berapa ramai di antara kita yang tahu apakah yang dimaksudkan dengan satu hidangan? Berapa banyak yang perlu kita makan? Berapa banyak makanan yang harus diberikan kepada anakanak kita?

Piramid Makanan Malaysia adalah satu alat yang mudah dan praktikal yang membantu anda untuk memahami berapa banyak makanan daripada setiap lima kumpulan makanan utama yang disyorkan (Aras 1 – 3b sahaja) untuk pengambilan sehari. Piramid tersebut akan membantu anda dan ahli keluarga anda untuk mencapai:

Keseimbangan – Hidangkan makanan daripada semua lima jenis kumpulan makanan setiap hari. Makanan yang terletak di aras bawah piramid makanan harus diambil dengan mencukupi, manakala makanan yang terletak di aras yang lebih tinggi harus diambil dalam jumlah yang lebih kecil. Setiap kumpulan makanan menjalankan fungsi-fungsi utama yang berbeza dan kombinasi makanan yang betul adalah penting untuk kesihatan optimum.

Kesederhanaan – Ikutilah bilangan hidangan yang disarankan untuk mengelakkan daripada makan secara berlebihan yang boleh mengakibatkan berat badan berlebihan dan obesiti. Berjaga-jaga apabila anda menghidangkan sepinggan nasi untuk anak anda supaya saiz hidangannya tidak terlampau banyak (atau terlalu sedikit).

Kepelbagaian – Pastikan bahawa anda menghidangkan gabungan makanan daripada setiap aras piramid kerana tiada satu jenis makanan yang boleh membekalkan anda kesemua nutrien yang anda perlukan.

Fahami apa yang membentuk satu hidangan…

Anda harus menghidangkan makanan daripada setiap kumpulan makanan berdasarkan saiz hidangan yang disyorkan seperti berikut:

keeping_portions_under_control_table_bm

Petua yang Berguna!
  • Kajian telah menunjukkan bahawa kita cenderung untuk makan lebih banyak apabila menggunakan pinggan mangkuk yang lebih besar. Gunakan pinggan salad yang lebih kecil (dan pinggan mangkuk lain yang lebih kecil) daripada menggunakan pinggan makan malam yang lebih besar. Anda akan lebih cenderung untuk kurang makan dengan cara ini!
  • Cuba letakkan makanan pada pinggan dan jangan terus makan dari balang – kita akan cenderung untuk makan dengan lebih banyak jika saiz hidangan tidak dapat dianggarkan!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen