Pengasuhan Positif

Apabila Televisyen Menjejaskan Pemakanan Anak Anda

Sesetengah kanak-kanak menghabiskan masa di hadapan televisyen, walaupun sesetengah rancangan TV adalah sumber pendidikan dan hiburan yang baik bagi kanak-kanak, namun makan ketika menonton televisyen tidak harus digalakkan.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar kesihatan, keputusan menunjukkan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak dipengaruhi oleh rancangan dan iklan TV. Ia menjejaskan pemakanan, menghalang penyertaan aktiviti fizikal, mengurangkan kadar metabolisme rehat, dan menghabiskan kebanyakan masa kanak-kanak yang sepatutnya digunakan untuk berinteraksi dengan ibu bapa, bermain ataupun melakukan kerja sekolah.

Menonton televisyen vs pemakanan

Kanak-kanak yang makan dihadapan televisyen lebih tertumpu pada skrin berbanding makanan mereka. Satu kajian mengenai tabiat pemakanan kanak-kanak pra-sekolah di Amerika Syarikat mendapati bahawa kanak-kanak yang menonton TV semasa makan hanya mengambil separuh sahaja makanan mereka. Apabila menonton pada TV, mereka hanya makan sebahagian kecil sahaja makanan mereka.

Situasi sebaliknya juga boleh berlaku, di mana kanak-kanak terlebih makan kerana leka walaupun perut sebenarnya sudah penuh. Masalah makan berlebihan juga boleh menyebabkan berlebihan berat badan atau obes serta mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit kronik yang berkaitan seperti kencing manis dan penyakit sakit jantung.

Makanan ringan

Satu lagi kebimbangan ialah menonton TV memberi ruang untuk kanak-kanak memakan makanan yang kurang berkhasiat atau meminta produk makanan yang seringkali diiklankan. Kanak-kanak telah menjadi pasaran yang penting bagi pengiklan makanan yang menggunakan iklan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada makanan kurang berkhasiat seperti makanan segera, snek atau soda.

Berdasarkan satu kajian di Amerika Syarikat mengenai iklan makanan yang mensasarkan kanak-kanak untuk tempoh 6 bulan, ia mendapati bahawa sejumlah 54,152 iklan telah disiarkan pada waktu perdana kanak-kanak. Daripada jumpah ini, 27.9% terdiri daripada iklan makanan dan yang paling kerap diiklankan adalah makanan ringan yang terdiri daripada 34.5% berbanding keseluruhan. Ini diikuti oleh 20.3% produk tenusu, 13.4% makanan bergula, 6.7% makanan segera dan 6.4% bijirin sarapan. Malah sebahagian besar iklan makanan tersebut juga sering mengiklankan makanan yang tinggi lemak, gula halus dan garam.

Iklan tentang makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sangat kurang dan hal ini mengehadkan pendedahan kanak-kanak terhadap makanan berkhasiat. Berdasarkan kajian yang disebut di atas, dalam setiap jam kanak-kanak menonton TV, 8% mereka adalah kurang berkemungkinan untuk makan buah-buahan dan 18% lebih berkemungkinan untuk makan gula-gula dan 16% lebih berkemungkinan untuk makan makanan segera.

Aktiviti fizikal dan kadar metabolisme rehat

Menonton TV untuk jangka masa yang panjang mengurangkan minat kanak-kanak terhadap aktiviti fizikal. Tabiat tidak aktif ini boleh mengurangkan kadar metabolisme semasa rehat kerana kanak-kanak kurang menggunakan kalori sewaktu duduk menonton TV. Panduan Pemakanan Malaysia menyarankan kanak-kanak bersenaman sekurangkurangnya 30 minit, 5 kali dalam satu minggu.

Mendidik mereka tabiat menonton TV yang baik

Berikut adalah beberapa cara yang mudah dan praktikal untuk menjadikan tontonan TV lebih produktif di rumah anda:

  1. Hadkan masa menonton TV. Anak anda hanya boleh menonton TV selama 2 jam dan ke bawah dalam sehari. Duduk bersama anak anda dan pilih masa serta jenis rancangan yang sesuai untuk ditonton. Kanakkanak di bawah 2 tahun tidak digalakkan menonton TV bersendirian. Tutup TV semasa waktu makan bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan.
  2. Rekod rancangan kegemaran. Ia boleh mengurangkan masa mereka menonton TV dan juga mengehadkan pendedahan terhadap iklan (anda boleh melajukan rancangan iklan). Jika mereka inginkan snek semasa menonton TV, hidangkan snek berkhasiat seperti potongan lobak merah, biskut oat atau buah-buahan dalam capaian untuk mereka mengunyah.
  3. Bincanglah dengan anak-anak anda mengenai iklan. Mendidik anak anda mengenai tujuan iklan; iklan digunakan untuk menjual produk, dan sebagai pembeli, kita perlu memutuskan sama ada kami memerlukan produk yang diiklankan.
  4. Sediakan alternatif aktif. Aktiviti fizikal adalah penting untuk kesihatan fizikal dan mental anak anda, jadi bawalah anak anda berjalan-jalan dan benarkannya untuk menunggang basikal, bermain di luar, atau bermain permainan yang aktif dalam rumah dan bukannya menonton TV.

Televisyen boleh menjadi sumber maklumat dan hiburan yang baik, namun kanak-kanak memerlukan bimbingan apabila menonton TV. Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk anda menilai berapa banyak dan apa yang anak anda tonton serta perhatikan sebarang kesan yang tidak baik terhadap kesejahteraan pemakanan, serta perkembangan mental dan fizikal mereka.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen