Dalam keluaran terdahulu, kami menyentuh tentang tiga asas makanan pelengkap, iaitu keperluan pemakanan (makanan seharusnya mempunyai nilai pemakanan yang sama dengan susu ibu), jadual pemberian (peringkat bila bayi patut menerima makanan pelengkap) dan kecukupan (yang bergantung kepada pelbagai makanan di rumah dan amalan pemberian makanan oleh ibu bapa atau penjaga).
Selain tiga asas ini, anda juga seharusnya memastikan bayi anda diberi makan mengikut prinsip panduan ini:
Cara menyediakan dan menyimpan yang selamat
Makanan pelengkap hendaklah disediakan dan diberikan dengan cara bersih dan selamat untuk mengelakkan pencemaran dan keracunan makanan. Amalkan cara yang betul untuk kebersihan dan pengendalian. Basuh tangan anda setiap kali sebelum menyiapkan makanan. Gunakan peralatan bersih untuk menyediakan, simpan makanan dengan selamat dan suap makanan sebaik sahaja disediakan. Bila perlu, susu ibu boleh disimpan dalam bekas bersih dan diletakkan dalam peti sejuk selama 24-48 jam; dalam iklim negara kita, ia boleh disimpan sehingga 8 jam tanpa penyimpanan peti sejuk.
Menu Bayi
Berikut senarai campuran makanan pelengkap yang baik untuk diberi kepada bayi anda bagi memastikan dia mendapat cukup tenaga, protein dan mikronutrien untuk membesar dengan sihat dan pintar. Campuran makanan pelengkap susu ibu ini boleh membentuk diet yang lengkap untuk bayi.
Pagi: Bubur bijirin
Tengah hari: Bubur nasi + kekacang + betik
Malam: Nasi + ikan + sayuran berdaun hijau
Snek (2): Pisang; roti
Jumlah Makanan
Berikan makanan pelengkap sedikit demi sedikit dan tambah kuantitinya bila bayi anda membesar. Anda boleh mulakan dengan 1 atau 2 sudu kecil makanan, dua kali sehari, dan tingkatkan jumlah dan kepelbagaiannya secara beransur-ansur. Pada usia 9 bulan, bayi anda boleh makan beberapa sudu penuh (atau setengah cawan) campuran makanan keluarga setiap kali waktu makan. Penyusuan susu ibu hendaklah diteruskan hingga si manja berusia dua tahun atau lebih.
Jenis Makanan
Makanan pertama bayi biasanya ialah bubur nasi dan bijirin (beras) segera. Tambah sedikit daging, ayam, ikan atau telur dan juga buah-buahan dan sayuran kaya vitamin A dan C setiap hari.
Pada usia 6 bulan, bayi boleh makan makanan separuh pejal yang ditapis, dihancurkan atau dilecek. Bila umurnya mencecah 8 bulan, si manja boleh diberi makanan kudapan (snek yang boleh dimakan oleh kanak-kanak sahaja) dan pada usia 12 bulan, kebanyakan kanak-kanak boleh mengambil makanan yang sama dengan anda (tetapi ingat mereka memerlukan makanan yang kaya dengan nutrien).
Jangan tambah gula atau garam dalam makanan bayi. Gunakan bawang dan sayuran untuk menambah perisa, dan masak makanan dengan cara mudah dan tidak pedas. Ingatlah, makanan yang disediakan di rumah adalah yang terbaik untuk bayi (dan anda!).
Adakah bayi memerlukan produk makanan tambahan atau diperkuatkan?
Jika anda rasa bayi anda memerlukan makanan pelengkap yang diperkuat atau tambahan vitamin dan mineral, dapatkan nasihat pakar pediatrik terlebih dahulu. Sesetengah ibu yang menyusukan bayi mungkin memerlukannya untuk kesihatan mereka sendiri dan untuk memastikan jumlah nutrien tertentu yang secukupnya dalam susu badan mereka.
Komen