Pengasuhan Positif

Membina Tulang yang Sihat!

Tahukah anda, tulang merupakan tisu hidup yang terdiri daripada gentian kolagen, kalsium dan mineral lain? Tulang bukan sahaja membentuk struktur badan anak anda, ia juga melindungi organ-organ si manja dan mengandungi sum-sum tulang, di mana sel-sel darah dan tulang dibentuk.

Tisu-tisu tulang sentiasa mengalami proses perubahan yang membolehkan mereka bertambah dari segi saiz dan ketumpatan sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja. Tisu-tisu dalam rangka tulang,iaitu jisim tulang, biasanya menjadi mampat pada umur 20-30 tahun. Ini adalah masa anak anda mencapai kekuatan serta ketumpatan tulang yang maksima.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang individu yang semakin tua (bergantung kepada saiz dan jantina), lebih banyak kalsium akan hilang daripada tulang berbanding dengan kalsium yang digantikan, menyebabkan pengurangan dalam ketumpatan atau jisim tulang. Hal ini boleh mengakibatkan tulang menjadi semakin lemah dan meningkatkan risiko tulang patah.

Oleh itu, proses membina dan mengekalkan pertumbuhan serta perkembangan tulang anak anda sejak zaman awal kanak-kanak akan membantu mengurangkan risikonya terhadap osteoporosis (sejenis penyakit yang menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah) dan berlakunya tulang patah pada kemudian hari.

Osteoporosis dalam kalangan kanak-kanak dan wanita

Osteoporosis jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dan ia biasanya berlaku disebabkan oleh masalah perubatan atau ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat masalah tersebut (osteoporosis sekunder). Kadang-kala, osteoporosis pada kanak-kanak tidak dapat dikenalpasti puncanya (osteoporosis idiopatik).

Perempuan yang bersukan atau beraktiviti lasak berisiko terhadap satu masalah yang dikenali sebagai triad atlet wanita. Ia adalah gabungan tiga keadaan: gangguan pemakanan, amenorea, dan osteoporosis. Tahap estrogen yang rendah dan pemakanan yang kurang baik, terutamanya pengambilan kalsium yang rendah boleh mengakibatkan osteoporosis.

Wanita lebih cenderung untuk mendapat puncak jisim tulang yang lebih rendah berbanding lelaki dan perubahan hormone wanita semasa menopaus meningkatkan kesusutan tulang.

Kekalkan tulang yang sihat

Untuk mengelakkan risiko mendapat osteoporosis atau tulang patah pada kemudian hari, pastikan anak anda mengamalkan dua tabiat yang paling penting sepanjang hayat untuk mengekalkan tulang yang sihat: pemakanan yang baik dan senaman yang mencukupi!

Pemakanan yang baik dapat membantu memastikan tubuh anak anda mendapat vitamin dan mineral yang mencukupi untuk membina dan membentuk tulang. Vitamin D,K dan A diperlukan untuk memetabolisme tulang yang normal, manakala kalsium dan vitamin D adalah amat penting untuk kesihatan tulang anak anda.

Kalsium merupakan sebagian daripada struktur tulang dan berfungsi sebagai bank kalsium yang menyediakan bekalan mineral yang sedia ada jika berlakunya penurunan kalsium dalam darah. Kekurangan kalsium dalam diet boleh menyebabkan kalsium dipindah keluar dari tulang dan mengakibatkan tulangnya menjadi lemah.

Kalsium boleh diperolehi daripada susu dan produk tenusu (seperti yogurt dan keju), sayur-sayuran berdaun hijau, produk soya, dan makanan lain yang diperkayakan dengan kalsium. Bincang bersama doktor atau pakar pemakanan anda jika anak anda tidak boleh mengambil susu atau produk tenusu. Mereka boleh merancang satu pelan khas untuk anak anda dengan mencadangkan kaedah lain untuk mendapatkan kalsium (terutamanya daripada sumber makanan yang lain). Suplemen sebaiknya dijadikan sebagai pilihan terakhir dan hanya disyorkan apabila benar-benar diperlukan sahaja.

Vitamin D juga penting untuk perkembangan tulang yang sihat. Anak anda memperolehi vitamin D daripada sinaran matahari, membolehkan badannya menyerap kalsium daripada dietnya dengan lebih berkesan. Jika anak anda tidak mendapat sinaran matahari, berikan anak anda makanan yang kaya dengan (atau diperkayakan dengan) vitamin D seperti kuning telur, sesetengah bijirin, mentega, krim, hati, jus buah-buahan dan susu yang telah diperkayakan dengan vitamin D.

Berbincang dengan pakar pemakanan atau pakar pediatrik terlebih dulu untuk mendapatkan penilaian dan nasihat yang sesuai jika anda rasa anak anda memerlukan suplemen kalsium dan vitamin D.

Senaman dan aktiviti fizikal adalah penting untuk kesihatan tulang kanak-kanak pada semua peringkat. Bagi kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah, aktiviti fizikal yang membantu menguatkan tulang termasuk melompat, melonjat, lompat tali dan berlari. Kanak-kanak sekolah dan remaja boleh melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti seperti lompat tali, berlari, gimnastik, bola keranjang, bola sepak, bola tampar atau badminton. Aktiviti-aktiviti ini membantu mengaktifkan sel-sel yang membentuk tulang dalam badan dan seterusnya menguatkan tulang mereka.

Apabila anak anda semakin membesar, kesihatan tulangnya akan dipengaruhi oleh faktor genetik, kesusutan hormon, pemakanan, dan senaman. Gen-gen anak anda tidak boleh diubah, oleh itu, anda perlu mengawal pemakanan dan tahap aktiviti anak anda. Pastikan anak anda mengambil makanan yang mengandungi nutrien yang penting, makan buah-buahan serta sayur-sayuran setiap hari, dan membuat senaman secara tetap. Masih belum terlambat lagi untuk bermula menjaga tulang anak anda. Tabiat gaya hidup ini boleh melindungi tulang anak anda dan megurangkan risikonya daripada mendapat osteoporosis di kemudian hari.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen