Pengasuhan Positif

Makanan Pejal Pertama Bayi

Susu ibu membekalkan segala nutrien yang penting dalam jumlah yang sesuai sehingga bayi anda berusia enam bulan. Apabila si manja terus membesar dan menjadi lebih aktif, dia memerlukan lebih banyak nutrien dan susu ibu sahaja tidak lagi mencukupi untuk menyokong tumbesaran optimum serta menjamin kesihatannya. Inilah masa yang terbaik untuk mula memberikan makanan pelengkap, iaitu proses menambah makanan pejal ke dalam diet bayi anda yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada susu.

Masa paling sesuai untuk memberi makanan pejal

Bayi biasanya bersedia untuk mengambil makanan pejal apabila usianya mencecah enam bulan. Peralihan daripada diet susu ibu sepenuhnya kepada diet yang ditambah makanan pejal, merupakan tempoh genting dalam hayat bayi. Kelewatan memberi makanan pelengkap boleh menyebabkan kekurangan zat makanan, dan mungkin menjejaskan pertumbuhan serta perkembangan bayi, baik dari segi mental mahupun fizikal. Sebaliknya pula, pemberian makanan pejal terlalu awal juga tidak digalakkan kerana sistem penghadaman si manja masih belum cukup matang dan memerlukan masa untuk bersedia.

Adakah si manja bersedia untuk mengambil makanan pejal?

Tanda berikut menunjukkan si manja bersedia untuk mengambil makanan pejal:

  • Si manja menangis mahu menyusu lagi walaupun baru sahaja menyusu.
  • Meragam dan tidak sabar menunggu masa untuk penyusuan seterusnya.
  • Lebih aktif – meniarap dan bergolek atas lantai, cuba mengangkat dada untuk duduk.
  • Mula bangun malam untuk menyusu.
  • Memasukkan objek ke dalam mulut dan cuba mengunyah.
  • ‘Mengunyah’ walaupun tiada apa-apa di dalam mulutnya.

Dalam usia empat bulan, selera makannya mungkin bertambah; tetapi jangan sangka ini adalah tanda si manja memerlukan makanan pelengkap. Ramai bayi melalui fasa tumbesaran mendadak, menyebabkan mereka lebih cepat lapar daripada biasa!

Memberi makanan pelengkap

Apabila si manja menunjukkan tanda di atas, anda boleh memberikan makanan pelengkap, bermula dengan makanan yang lembut, tawar dan licin. Ramai ibu gemar memberi bijirin nasi yang dicampurkan dengan susu ibu. Ini membantu membiasakan bayi dengan tekstur makanan baru yang mempunyai rasa biasa. Selepas itu, anda boleh memperkenalkan makanan lecek atau puri yang lain seperti pisang, mangga, keledek, lobak merah dan labu. Apabila memperkenalkan makanan pejal kepada bayi, jangan tambah garam, atau gula.

AWAS!

Perkenalkan satu jenis makanan pada satu masa. Jangan campur pelbagai jenis makanan yang berlainan. Ini memudahkan anda mengenalpasti sama ada si manja alah kepada mana-mana jenis makanan.

Kepelbagaian adalah rencah kehidupan!

Apabila si manja anda bertambah besar, tekstur makanan yang anda berikan hendaklah dipelbagaikan, daripada makanan lecek kepada tekstur yang lebih kasar dan akhirnya bentuk cincang, seperti daging atau sayur cincang. Dengan memperkenalkan rasa dan tekstur baru, anda juga membantu si manja membina kemahiran mengunyah dan menelan.

Semakin bayi membesar, adalah juga penting untuk anda merangkumkan pelbagai jenis makanan yang berlainan ke dalam diet si manja, termasuk daging merah, ayam dan ikan, serta pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran, produk susu, bijirin, nasi, pasta dan kentang. Apabila si manja mencapai umur satu tahun, anda boleh mulai memberikannya hidangan keluarga. Ini juga membantu memberi banyak pilihan dan mengelakkan anak menjadi cerewet makan apabila besar!

Teruskan pemberian susu

Meskipun si manja sudah mula mengambil makanan pejal, susu tetap menjadi sebahagian penting daripada dietnya. Ini adalah cara yang paling cepat dan paling mudah untuk memastikan anak anda mendapat segala nutrien yang diperlukan, terutama sekali apabila mereka baru sahaja mula mengambil makanan pejal. Di samping itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan penyusuan ibu sehingga kanak-kanak berusia dua tahun untuk membolehkan mereka mendapat manfaat maksimum daripada susu ibu.

Memperkenalkan makanan pelengkap bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Malah, banyak masa dan usaha diperlukan dalam tempoh peralihan ini. Paling penting, jangan mudah menyerah kalah jika si manja menolak atau meluahkan makanan pejal yang anda suapkan ke dalam mulutnya. Teruskan mencuba sehingga si manja anda dapat membiasakan diri dengan tekstur dan rasa makanan yang pelbagai.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen