Pengasuhan Positif

Kanak-Kanak Tidak Memerlukan Supplemen Kesihatan Tambahan

Memastikan anak anda makan secara sihat adalah penting kerana dia akan mendapatkan semua nutrien yang diperlukan melalui diet yang seimbang, sederhana dan pelbagai. Secara ringkasnya, anak anda tidak memerlukan supplemen kesihatan jika dia makan secara betul. Supplemen kesihatan tidak boleh menggantikan makanan yang berkhasiat dan tidak harus digunakan sebagai pengganti diet yang tidak sihat.

Amalan pemakanan yang seimbang dan sihat disyorkan bagi memenuhi keperluan pemakanan anda. Penekanan kepada kepentingan tabiat pemakanan asas yang baik pada anak anda adalah jauh lebih baik dalam jangka masa yang panjang; ia harus dimulakan sejak kecil supaya ia akan menjadi satu kebiasaan. Nutrien-nutrien yang diperlukan oleh anak anda harus diperolehi daripada makanan.

Fokus kepada pemakanan yang betul

Asas-asas pemakanan yang sihat bermaksud diet anak anda harus merangkumi makanan berikut berdasarkan Piramid Makanan Malaysia:

  • Bijirin penuh dan produk bijirin.
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Ikan, daging tanpa lemak, ayam dan telur.
  • Susu dan produk tenusu.

Berikut adalah jenis-jenis makanan yang harus dihadkan sebanyak mungkin:

  • Minuman yang tinggi kandungan gula seperti minuman berkarbonat, kordial, dan minuman buah-buahan.
  • Makanan yang mengandungi gula yang tinggi seperti kek dan kuih-muih.
  • Makanan yang berlemak seperti sosej dan makanan bergoreng.
  • Hidangan dan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi seperti nasi dan mee goreng, hidangan kari dan mee kari.
  • Makanan yang tinggi garam seperti sos dan perasa makanan, ikan masin dan daging yang telah diproses (sosej, burger, nuget).

Menanam tabiat makanan yang sihat

Dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan tetap berdasarkan cadangan di atas, anak anda akan mendapatkan semua tenaga dan nutrien yang diperlukan, termasuk vitamin dan mineral. Diet yang seimbang dan pelbagai juga akan membekalkan fitonutrien yang berguna untuk anak anda.

Jika anak anda mempunyai selera yang kurang baik, makan pada masa yang tidak tetap, cerewet makan, atau selalu melangkau waktu makan, pastikan bahawa anda mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memperbaiki keadaan ini.

Menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat

Bantu anak anda memahami makanan yang sihat dengan mengajarnya tentang makanan. Tip-tip berikut boleh membantu anak anda untuk lebih memahami tentang makanannya:

  • Galak anak anda membantu anda memasak apabila mereka mula menunjukkan minat. Ajari mereka persediaan hidangan yang mudah dan sihat.
  • Galak anak-anak yang lebih tua untuk membantu anda semasa membeli-belah. Gunakannya sebagai peluang untuk mengajar mereka tentang label pemakanan. Cabar mereka mencari makanan yang mengandungi lemak atau gula yang rendah dengan membaca label makanan.
  • Tunjukkan pelbagai jenis kumpulan makanan yang dihidangkan di atas meja makan. Jadikan penamaan kumpulan makanan ini sebagai satu permainan untuk mendidik anak-anak anda tentang kepentingan kepelbagaian and keperluan pemakanan.
  • Tanam herba atau sayur-sayuran di halaman belakang rumah anda atau dalam pasu di anjung belakang. Galak anak-anak anda menjaga tanaman mereka sendiri.

Berpegang kepada prinsip asas

Daripada bergantung kepada supplemen kesihatan, tumpukan perhatian untuk membantu anak anda makan secara sihat. Sekiranya anda mengamalkan tabiat/amalan makan yang tidak sihat, kemungkinan besar anak anda akan mengikut tabiat anda ini dan akan mengamalkan tabiat ini apabila dia menjadi dewasa.

Nota Penting:

Sebelum memberi supplemen kesihatan kepada anak anda, dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan untuk memastikan kegunaannya; adakah ia betul-betul membantu anak anda? Anak anda tidak perlu makan supplemen multi-vitamin dan multi-mineral setiap hari dengan anggapan bahawa dia mungkin memerlukannya. Bergantung kepada situasi (pemulihan sakit atau selera yang kurang baik semasa sakit), terdapat beberapa keadaan yang jarang berlaku di mana pakar pemakanan anda mungkin mengesyorkan supplemen kesihatan.

Elakkan daripada memberi anak anda supplemen yang berlebihan kerana kesannya mungkin mebahayakan kesihatan. Tiada pil ajaib atau makanan tunggal yang akan membolehkan anak anda membesar dengan lebih sihat atau pandai. Cara yang paling baik ialah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang and tetap.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen