Pengasuhan Positif

Makanan Sempurna Bayi

Susu ibu mengandungi campuran nutrien yang sempurna bagi memenuhi keperluan nutrisi bayi. Anda tidak perlu memberinya makanan lain ataupun air kosong. Perhatikan bayi anda membesar dalam tempoh enam bulan pertama kehidupannya.

Berubah mengikut keperluan bayi yang membesar Komposisi nutrien susu ibu sentiasa berubah untuk memenuhi keperluan bayi yang membesar.

  • Cecair keemasan: Kolostrum
  • Dalam beberapa hari pertama selepas bayi dilahirkan, payudara anda akan menghasilkan kolostrum, sejenis cecair pekat yang berwarna kuning. Kolostrum kaya dengan karbohidrat, protein dan antibodi. Jumlah kolostrum yang dihasilkan mungkin sedikit tetapi ia sangat kaya dengan nutrien dan faktor imun yang akan melindungi bayi daripada jangkitan penyakit..

  • Susu matang
  • Susu matang akan dihasilkan tiga atau empat hari selepas bersalin. Jumlahnya banyak dan kelihatan agak cair.

  • Waktu penyusuan
  • Komposisi susu ibu turut berubah sewaktu bayi menyusu. Kandungan lemak meningkat pada penghujung sesuatu masa penyusuan. Susu akhir ini membuat bayi rasa kenyang dan berhenti menghisap. Ini adalah cara bayi belajar mengawal seleranya.

Melindungi bayi daripada penyakit

Kajian menunjukkan bayi yang disusukan secara eksklusif selama 6 bulan kurang dijangkiti penyakit dalam tempoh 12 bulan pertama usianya. Susu ibu mengandungi nutrien dan bahan-bahan yang melindungi bayi daripada penyakit berjangkit khususnya cirit-birit, selsema, bronkiolitis dan jangkitan telinga tengah.

Makanan untuk perkembangan otak

Beberapa bahan biologi di dalam susu ibu menyebabkan bayi dapat menyerap nutrien dengan berkesan:

  • Enzim penghadam lemak membantu penghadaman dan penyerapan lemak

  • Protein pengikat zat besi membantu bayi menyerap kebanyakan zat besi di dalam susu ibu

  • Kandungan laktosa yang tinggi meningkatkan penyerapan kalsium, magnesium, fosforus dan mineral yang lain

Makanan untuk perkembangan otak

Susu ibu mengandungi asid lemak perlu seperti asid alfa-linolenik (ALA) dan asid linoleik (LA). Kedua-dua asid ini diperlukan untuk menghasilkan asid dokosaheksanoik (DHA) dan asid arakidonik (AA) yang penting untuk pembesaran dan pertumbuhan janin dan bayi, terutamanya untuk pertumbuhan otak dan perangsangan visual yang berkualiti. Perkembangan otak yang sempurna dalam tahun pertama usia bayi akan menyediakan asas kepada keupayaan pembelajarannya pada masa depan..

Mengurangkan kemungkinan mengalami alergi

Kebanyakan simptom alergik yang dikaitkan dengan pengambilan susu formula lazimnya berpunca daripada tindakbalas bertentangan imun bayi terhadap protein susu lembu. Bayi yang menyusu badan kurang mengalami simptom-simptom alergik seperti kolik, muntah, cirit-birit atau najis berdarah, penyerapan, ekzema, rinitis alergik dan asma bronkiol.

Pengikat kasih

Bayi perlu mendengar degupan jantung anda, merasai kehangatan tubuh anda dan berada rapat dengan anda. Kesemua ini adalah sama pentingnya dengan keperluannya terhadap makanan. Tiada aktiviti lain yang dapat memenuhi semua keperluan ini melainkan penyusuan susu ibu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen