Pengasuhan Positif

Persiapan Untuk Ramadan Bersama Dengan Bayi Anda

Bulan Ramadan merupakan bulan kesembilan dalam kalender Islam. Berpuasa di bulan ini adalah salah satu daripada lima rukun Islam. Berpuasa ketika bulan Ramadan adalah wajib bagi semua warga Muslim.

Wanita yang mengandung atau menyusukan bayi boleh dikecualikan daripada kewajipan berpuasa jika mereka merasakan ia akan menjejaskan kesihatan diri atau kesihatan bayi. Namun, si ibu perlu menggantikan puasa yang telah ditinggalkan pada hari yang lain atau membayar fidyah kerana tidak berpuasa.

Badan kita mempunyai satu mekanisme regulasi semula jadi yang akan diaktifkan semasa berpuasa. Lemak badan akan digunakan sepenuhnya dan kadar metabolisme asas menjadi perlahan semasa puasa Ramadan. Kajian menunjukkan bahawa tiada perbezaan yang ketara dalam kandungan makronutrien susu ibu semasa berpuasa dan justeru itu tiada kesan ke atas pertumbuhan bayi.

Tip-tip penyusuan bayi pada bulan Ramadan

Perbezaan yang paling ketara pada bulan Ramadan adalah waktu makan. Bagi ibu-ibu yang biasa makan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, mereka pula harus makan ketika sahur dan selepas berbuka puasa. Kami telah menyenaraikan beberapa petua yang praktikal supaya anda boleh mengikuti untuk membekalkan pemakanan seimbang yang optimum untuk diri anda dan anak anda pada bulan Ramadan:

  1. Banyakkan pengambilan cecair ketika bersahur dan berbuka puasa.
  2. Semasa berpuasa, cecair dalam badan akan berkurangan sebanyak 2-3%. Badan kita akan menyesuaikan diri dengan mengurangkan pengeluaran peluh and air kencing. Minumlah air (bukan minuman berkarbonat) yang mencukupi, terutamanya pada waktu pagi sebelum anda teruskan untuk berpuasa. Ini membantu untuk mengelakkan dehidrasi.

  3. Makanlah diet yang seimbang
  4. Makan makanan yang berkhasiat pada waktu sahur dan iftar adalah penting. Cuba masukkan makanan berikut dalam perancangan makan anda:

    • Daging dan kekacang adalah sumber protein, mineral, dan vitamin-vitamin tertentu yang baik. Kekacang juga adalah sumber serat yang baik.
    • Roti gandum penuh, bijirin oat atau nasi adalah sumber karbohidrat kompleks yang baik, dan membantu menyuburkan badan anda dengan tenaga, protein, mineral dan serat.
    • Buah-buahan segar, jus dan sup sayur-sayuran membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan.
    • Susu dan produk tenusu adalah sumber protein dan kalsium yang baik yang diperlukan untuk pengekalan tisu badan dan untuk beberapa fungsi fisiologi yang lain.
    • Nota: Keperluan langsung badan pada waktu iftar adalah untuk mendapatkan tenaga segera untuk kefungsian badan. Jangan lupa untuk mengambil buah kurma kerana ia adalah sumber gula yang baik. Kira-kira 3-4 biji buah kurma adalah mencukupi untuk mengembalikan tahap gula dalam darah yang rendah kepada paras yang normal.

  5. Rehat secukupnya

    Penghasilan susu tidak akan terjejas selagi anak masih menyusu.
    • Anda boleh meningkatkan kekerapan sesi penyusuan pada waktu malam.
    • Lakukan sesi pengeluaran susu yang kerap di tempat kerja untuk mengekalkan pengeluaran susu.
    • Secara psikologi, kepercayaan bahawa susu ibu masih dihasilkan semasa berpuasa seharusnya kekal. Ini akan mempengaruhi penghasilan susu ibu.

Tip Penting!

Elakkan minuman berkafein seperti minuman berkarbonat, kopi atau teh. Selain bertindak sebagai diuretik, pengurangan kafein secara tiba-tiba juga boleh menyebabkan sakit kepala, perubahan perasaan mood yang tidak stabil dan cepat marah.


Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen