Penyusuan ibu adalah proses semula jadi antara ibu dan bayi; namun ia adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari dan diamalkan oleh ibu dan bayi berulang-ulang kali untuk mengetahui dan memahami proses ini.
Lahir dalam keadaan bersedia sepenuhnya
Bayi belajar menghisap semasa dalam kandungan ibu; justeru, bayi akan lahir dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pemakanan secukupnya. Dengan latihan dan kesabaran, bayi boleh menyelaraskan pergerakannya dengan baik untuk menghisap, menelan dan bernafas dengan cekap apabila menyusu ibu.
Dalam kes seperti bayi dilahirkan tidak cukup bulan, dilahirkan dengan kerencatan seperti sumbing, atau dilahirkan dengan masalah oral motor, keupayaan mereka untuk menyusu ibu dan untuk makan pepejal pada masa hadapan mungkin terjejas. Terdapat juga bayi normal yang menghadapi kesulitan kerana kecederaan semasa lahir, yang seterusnya menyebabkan kesakitan, dan sistem oral (mulut) ‘tertutup’ untuk menggelakkan kesakitan selanjutnya
Bagaimana penyusuan ibu terjejas?
Bayi dengan masalah oral motor mungkin mengalami koordinasi hisap-telan-nafas yang lemah. Keupayaan bayi untuk menyusu turut dikurangkan jika sistem otot oralnya lemah dan pergerakan mulut yang terhad.
Beberapa tanda jelas yang menunjukkan bayi mengalami kesukaran menyusu termasuk kesukaran melekap mulut, susu yang meleleh daripada mulut atau hidungnya, kenaikan berat yang rendah dan kerap berbunyi ketika menyusu. Si ibu akan pula mengalami kesakitan dan kepedihan puting semasa menyusu, masalah duktus tersumbat atau mastitis dan menghasilkan bekalan susu yang rendah..
Selain itu, apa sahaja yang dimakan oleh si ibu boleh memberi kesan terhadap bayi. Maka, pastikan anda memberitahu kepada doktor tentang penyusuan anda. Ini akan mengelakkan kesan sampingan ubatan seperti menyebabkan bayi mengantuk, lalu menjejaskan koordinasi hisapannya. Faktor lain seperti mengasingkan ibu dan bayi (dalam kes kelahiran pramatang), akan menjurus kepada penggunaan awal susu botol. Walaupun biasa, faktor ini mudah diperbetulkan.
Minum atau tidak…?
Ada kalanya terdapat tanda kurang jelas yang menunjukkan bayi anda tidak minum susu dengan betul. Antara tanda yang mungkin menunjukkan bayi anda mengalami masalah oral motor adalah:
- Lebih suka minum susu botol daripada puting ibu, atau enggan menyusu ibu.
- Susu dari botol meleleh ke dagu bayi.
- Menghabiskan botol susu terlalu cepat atau terlalu perlahan.
- Badan menggeliat semasa menyusu ibu.
- Batuk, tersedak atau bertukar warna semasa menyusu ibu atau menyusu botol.
- Lidah berkertik.
- Tidak dapat mengatup bibir dengan baik.
Bayi anda mungkin menunjukkan beberapa tanda di atas, tetapi ini tidak semestinya bermakna dia menghadapi masalah oral motor. Anda perlu mengamatinya secara lebih terperinci dan membawa bayi anda berjumpa pakar pediatrik untuk memastikan jika dia benar-benar mengalami komplikasi.
Apakah rawatan yang boleh didapati?
Sedikit kekurangan sekalipun dalam kemahiran oral motor bayi boleh menggagalkan atau merencatkan usaha anda untuk menyusukan si manja. Antara yang boleh anda lakukan:
- Menyokong mulut bayi dengan meletakkan si manja pada kedudukan yang betul untuk penyusuan.
- Menggunakan teknik kedudukan yang betul semasa bayi menghisap jari anda.
- Meletakkan bayi pada kedudukan yang lebih berkesan untuk menghisap susu ibu.
- Melakukan senaman fizikal untuk otot mulut dan otot muka bayi.
Oleh sebab sistem saraf bayi adalah fleksibel, perubahan berlaku dengan serta-merta. Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik dan kerjasama dengan pakar profesional dapat membantu mengatasi masalah bayi anda dan dengan demikian menjamin kejayaan pemulihannya. Lebih penting lagi, JANGAN putus asa kerana menyusu adalah kemahiran yang perlu diperolehi dan mengambil masa. Berilah masa kepada bayi untuk menyesuaikan diri. Jika tiada sebarang perubahan, rujuk kepada pakar pediatrik atau perunding laktasi.
Kekeliruan Puting?
Penukaran antara botol dan payudara semasa beberapa minggu pertama kehidupan bayi boleh menyebabkan bayi enggan menyusu, atau memilih botol berbanding payudara. Walaupun kedua-dua puting dada dan botol nampak serupa, meminum daripada botol dan menghisap susu ibu sebenarnya memerlukan kemahiran menelan dan pergerakan mulut dan lidah yang berbeza. Ini mempengaruhi kemahiran oral motor – penyusuan ibu memerlukan hisapan dan pengepaman yang berterusan, dan susu dari botol boleh mengalir apabila puting botol diletakkan atas lidah.
Ibu harus elakkan penggunaan botol pada awal minggu untuk mengelakkan kekeliruan ini. Jika perlu, guna sudu atau jarum suntikan untuk menyusu bayi.
Nota: Penulis menyumbang artikel ini kepada Pengasuhan Positif kerana ingin membekalkan maklumat berdasarkan bukti kepada ibu bapa. Namun demikian, oleh kerana sebuah syarikat makanan bayi merupakan salah satu penaja Pengasuhan Positif, maka penulis tidak akan menerima sebarang bentuk bayaran daripada Pengasuhan Positif untuk artikel ini kerana beliau merupakan Pakar Perunding Laktasi Diperakui Badan Antarabangsa yang mematuhi Kod Etika untuk tidak menerima sebarang bentuk sokongan daripada syarikat makanan bayi.
Komen