Pengasuhan Positif

“Mama, Tengoklah! Saya Tak Guna Tangan!”

Main merupakan suatu aktiviti yang penting untuk kanak-kanak. Ia membantu perkembangan kekuatan, koordinasi, imaginasi dan juga kemahiran sosial mereka. Salah satu tempat yang paling menyeronokkan bagi kanak-kanak untuk bermain adalah taman permainan.

Namun begitu, kemalangan juga boleh berlaku di taman permainan. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih kurang 3,000 kes kecederaan berlaku di taman permainan di Malaysia setiap tiga bulan. Sebagai ibu bapa, pastikan bahawa anda perlu tahu bahaya ini dan mengambil langkah keselamatan untuk memastikan si manja dapat bermain dengan gembira dan selamat.

Pendaratan Lembut

Keadaan: Pilih taman permainan yang tanahnya ditutup dengan alas getah atau mempunyai permukaan berumput. Permukaan ini perlu menjangkau sekurang-kurangnya 6 kaki daripada peralatan mainan.

Semasa Bermain:

  • Pastikan tiada serpihan gelas pecah, lopak air atau objek seperti batu atau dahan pokok, yang boleh mengakibatkan kanak-kanak tersandung dan jatuh.
  • Perhatikan lecak di atas rumput yang mungkin licin dan boleh mengakibatkan kanak-kanak jatuh.

Buaian

Keadaan: Buaian dengan tempat duduk lembut adalah lebih baik.

Semasa Bermain:

  • Anak anda perlu duduk di tempat duduk, bukan berdiri atau melutut.
  • Pastikan tiada sesiapa sedang berdiri di hadapan buaian.
  • Pastikan buaian hanya diduduki oleh seorang sahaja pada setiap satu masa.

Gelongsor

Keadaan: Gelongsor mestilah suatu struktur teguh yang lengkap dengan penghadang.

Semasa Bermain:

  • Kanak-kanak perlu menggelongsor turun dengan kaki dahulu, dalam posisi duduk.
  • Jangan benarkan kanak-kanak menggelongsor turun secara berkumpulan.
  • Sentiasa pastikan tiada benda atau orang di hujung gelongsor.

Jongkang-jongket

Keadaan: Pastikan tiada bahagian yang longgar atau pecah. Jika ketinggian bahagian tengah jongkang-jongket melebihi pinggang atau bahu kanak-kanak, ia perlu berada sekurang-kurangnya 9 kaki daripada peralatan lain.

Semasa Bermain:

  • Anak anda perlu memegang kuat menggunakan kedua-dua tangan.
  • Kanak-kanak perlu duduk menghadap satu sama lain.
  • Pastikan orang dewasa dan kanakkanak lain sentiasa berada pada jarak selamat daripada jongkang-jongket yang bergerak.

Peralatan Memanjat

Keadaan: Periksa semua peralatan bagi memastikan tiada bucu tajam yang boleh mengakibatkan kecederaan.

Semasa Bermain:

  • Pastikan kanak-kanak tidak berlumba merentas palang.
  • Peralatan ini tidak sesuai untuk kanakkanak kecil berusia 5 tahun dan ke bawah.
  • Ajar kanak-kanak menggunakan kedua-dua tangan semasa memanjat dan awasi kaki kanak-kanak lain yang berayun.

Di Bawah Pengawasan

Kanak-kanak sememangnya akan lupa tentang keselamatan semasa mereka sibuk bersuka ria. Pastikan ada seorang orang dewasa yang dipercayai untuk memeriksa keselamatan peralatan mainan dan mengawasi anak anda.

  • JANGAN tinggalkan anak anda tanpa pengawasan.
  • Berkawanlah dengan ibu bapa lain di kejiranan anda. Amalkan amalan bantu-membantu antara satu sama lain untuk menjaga kanak-kanak di kejiranan anda.
  • Dapatkan lokasi pengawasan yang baik. Pastikan anda boleh melihat anak anda dengan jelas. Bangku terdekat dengan peralatan yang sedang anak anda gunakan adalah pilihan yang terbaik. Berdiri dan lihat, atau ikut apabila perlu.
  • Haus dan lusuh peralatan taman permainan adalah lazim di kawasan perumahan yang lebih lama. Peralatan yang diperbuat daripada kayu dan besi juga akan mudah keluar selumbar dan berkarat. Periksa peralatan untuk tanda-tanda kerosakan, bucu tajam atau tersembol sebelum membenarkan anak anda bermain.
  • Sebarang peralatan yang dinaikkan seperti gelongsor, perlu mempunyai susur. Jarak antara susur atau anak tangga perlulah kurang daripada 3.5 inci atau lebih daripada 9 inci bagi mengurangkan risiko kanak-kanak terperangkap dalam ruang ini.
  • Perhatikan jika ada yang bermain kasar hingga boleh membahayakan anak anda atau kanak-kanak lain. Ajar anak anda nilai-nilai sosial bermain dengan kanak-kanak lain. Bersedialah untuk mencelah dan menghentikan sesiapa yang bermain kasar.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen