Pengasuhan Positif

Keselamatan Kanak-kanak Di Dapur

Dapur adalah penuh dengan bahaya. Berikut adalah langkah-langkah untuk menjadikan dapur selamat untuk anak anda.

  1. Jangan benarkan anak masuk ke dalam dapur.
  2. Simpan peralatan tajam supaya tidak boleh diambil oleh anak.
  3. Pasangkan kunci atau penghalang pada laci, kabinet dan pintu.
  4. Pasang penghadang di dapur memasak bagi menghalang kanak-kanak dari menyentuh api atau permukaan panas. Gunakan penutup tombol supaya kanak-kanak tidak boleh menyalakan api.
  5. Wayar bergantung dari peralatan elektrik seperti pengisar dan periuk nasi adalah berbahaya. Sorokkan dengan penutup wayar atau pita pelekat.
  6. Biasakan diri supaya memusingkan pemegang atau tangkai periuk ke dalam, berjauhan dari hujung meja. Jangan sekali-kali makan, minum, bawa atau menyediakan makanan atau minuman panas sambil mendukung bayi.
  7. Jauhkan makanan dan minuman panas dari hujung meja.
  8. Buang beg plastik dengan serta merta. Tebuk lubang dan ikat sebelum membuangnya. Atau, simpan beg plastik di tempat yang selamat. Selain lemas, kanak-kanak juga boleh tercekik jika termakan cebisan plastik yang kecil.
  9. Alas meja yang berjuntai boleh ditarik dengan mudah dan apa-apa barang di atas meja boleh jatuh menimpa bayi. Jika anda mahu menggunakan alas meja, kepit dengan penyepit atau klip.
  10. Simpan detergen pembasuh pinggan dan bahan pencuci toksik yang lain dalam bekas asal, jauhkan daripada kanak-kanak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen