Memang biasa untuk seseorang bapa merasa terpinggir sepanjang masa kehamilan. Lagipun, si ibu yang terpaksa mengambil tambahan antenatal, makan dengan betul dan menjalani pemeriksaan doktor dengan kerap serta badannya juga yang akan mengalami segala perubahan yang datang dengan kehamilan.
Walau bagaimanapun, sebagai seorang bapa, anda memainkan peranan yang amat besar dari waktu pasangan anda hamil dan sepanjang kehidupan anak anda. Keibubapaan merupakan suatu perkongsian antara anak dan kedua ibubapanya – oleh itu jangan menganggap bahawa peranan anda ‘kurang penting’ berbanding pasangan anda kerana anda hanya akan bertemu dengan anak anda setelah dia dilahirkan.
Sokongan Emosi
Dalam masa 40 minggu di mana anda berserta pasangan menanti ketibaan bayi anda, akan ada beberapa ketika di mana anda memerlukan banyak kekuatan emosi untuk anda berdua. Perubahan pada tubuh pasangan anda, serta tahap hormon yang sentiasa turun naik, mungkin akan menyebabkannya mengalami pelbagai jenis emosi. Anda tidak semestinya ‘mengikut’ rentaknya; anda hanya perlu mengawal emosi diri sendiri untuk meyakinkannya bahawa anda akan sentiasa berada bersamanya apabila diperlukan. Ini bukan bermakna anda harus menyimpan perasaan di dalam hati. Ceritakan perasaan anda kepadanya dan benarkan dia memberi anda sokongan emosi seperti mana yang anda lakukan untuknya.
Perubahan fizikal
Ramai lelaki yang diketahui telah mengalami kenaikan berat badan kerana ‘rasa simpati’ terhadap pasangan mereka yang sedang hamil! Keperluan pemakanan anda tidak akan berubah semasa pasangan anda hamil, oleh itu anda tidak sepatutnya menambah pengambilan makanan anda walaupun berkeinginan untuk berbuat demikian setelah melihat pasangan anda berbuat begitu.
Adalah lebih baik untuk kesihatan mental serta fizikal, jika anda berusaha untuk bersenam bersama pasangan anda. Senaman mempunyai banyak kebaikan untuk kedua-dua ibu serta bayi, dan anda juga boleh menjadi sihat disamping menghabiskan masa bersama pasangan dan bayi anda. Jika anda dapat memupuk satu budaya senaman keluarga sekarang, ianya akan menjadi lebih mudah untuk anak-anak anda menjadi sihat pada masa hadapan.
Jika anda merokok atau mengambil minuman beralkohol, ini adalah masa yang terbaik untuk anda berhenti. Bayi tidak akan mendapat sebarang kemudaratan jika anda yang meminumnya tetapi akan mendapat kesan sampingan jika pasangan anda yang meminumnya. Oleh kerana pasangan anda tidak dibenarkan mengambil minuman beralkohol, anda juga boleh membuktikan penglibatan anda untuk keluarga anda yang kian membesar dengan berhenti dari melakukannya juga.
Perokok yang pasif mempunyai pelbagai kesan yang negatif kepada semua, sama ada dewasa, kanak-kanak atau bayi yang belum dilahirkan. Tidak seperti minuman beralkohol, merokok akan mendatangkan kemudaratan kepada bayi. Cuba sedaya upaya untuk menjauhkan pasangan anda dari tempat-tempat yang ada orang merokok serta pencemaran udara yang lain dan jangan benarkan tetamu merokok di rumah anda.
Persediaan mental
Selalunya, bagi seorang bapa, kebapaan hanya akan menjadi kenyataan di saat bayi dilahirkan. Anda boleh merasa terharu apabila melihat seorang bayi yang kecil dan menyedari bahawa anda akan bertanggung jawab untuk kesihatan, pembesaran dan kesejahteraannya selama sekurang kurangnya 21 tahun yang akan datang. Sebelum anda sampai ke peringkat itu, anda harus bersedia secara mental untuk segala yang bakal ditempuhi.
Ramai lelaki bakal bersedia, menjadi bingung apabila sedar akan implikasi terhadap kewangan mereka setelah mempunyai seorang anak. Memang sudah menjadi kebiasaan untuk kaum lelaki berkerja lebih masa bagi menambahkan pendapatan. Biasanya, jumlah wang yang anda dapat dari bekerja lebih masa tidak banyak bezanya daripada yang biasa anda perolehi, dan satu keburukan daripada bekerja lebih masa ialah anda tidak dapat meluangkan masa yang mencukupi dengan orang yang paling memerlukan anda dalam kehidupan anda kini.
Sebaliknya, anda berdua boleh mengkaji kewangan bersama dan membentuk satu belanjawan keluarga. Mungkin anda berdua akan merasa demi untuk kebaikan bayi anda, ada baiknya jika pasangan anda berhenti daripada bekerja di luar rumah ketika bayi anda membesar. Ini merupakan keputusan yang harus dibuat oleh pasangan anda sahaja, oleh itu beritahu pasangan anda tentang perasaan anda mengenainya dan kemudian biarkan dia yang membuat keputusan.
Bercanggahan dengan kepercayaan ramai, sebuah keluarga masih boleh bertahan dengan satu sumber pendapatan sahaja. Anda mungkin terpaksa mengorbankan beberapa aktiviti masa lapang dan keluar ke tempat-tempat yang mahal serta bayi anda mungkin tidak akan mendapat bilik yang dipenuhi barang permainan tetapi asalkan dia membesar dengan mengetahui bahawa dia disayangi oleh ibubapanya dan mereka telah melaburkan banyak untuknya, maka anda akan mempunyai keluarga yang mewah.
Bersedia atau tidak, bayi anda akan tiba! Akhir sekali, apabila bayi sudah bersedia untuk dilahirkan, dia pasti akan datang – sama ada anda sudah bersedia ataupun belum! Jangan risau jika masih belum melengkapkan segalanya untuk bayi anda apabila dia dilahirkan. Jika hidup merupakan satu perjalanan dan bukannya satu destinasi, maka anda dan pasangan anda bakal mempunyai seorang ‘teman perjalanan’ yang baru.
Komen