Pengasuhan Positif

Mengidamkan Manisan Ketika Mengandung?

Diabetes semasa hamil (gestational diabetes) adalah satu bentuk penyakit kencing manis yang dialami oleh ibu mengandung. Lebih kurang 3% ibu mengandung didapati menghidap penyakit ini. Anda mungkin menghadapi masalah ini walaupun anda tidak pernah menghidap diabetes. Lazimnya ia dapat dikesan pada trimester kedua kehamilan dan akan sembuh selepas bayi dilahirkan. Walaupun manisan bukanlah penyebab utama diabetes jenis ini, bakal ibu harus mengambil berat tentang diet dan aktiviti yang dilakukan semasa mengandung untuk mengurangkan risiko penyakit ini.

Punca

Diabetes semasa hamil disebabkan oleh perubahan hormon semasa hamil. Sesetengah hormon yang dihasilkan sewaktu hamil menyekat tindakan insulin, iaitu hormon pengawal paras gula di dalam badan kita. Insulin menukarkan gula berlebihan di dalam darah kepada glikogen yang disimpan di dalam organ hati untuk kegunaan kemudian. Dengan menyekat tindakan insulin, badan si ibu sebenarnya memastikan bayi di dalam kandungan mendapat gula secukupnya, memandangkan gula merupakan salah satu sumber makanan bagi bayi yang masih dalam rahim.

Namun, apabila tindakan insulin disekat, ini bermakna badan ibu mengandung tidak dapat menggunakan gula di dalam darah secara cekap. Oleh itu, lebih insulin diperlukan untuk menangani perubahan ini. Sekiranya insulin tidak dapat dihasilkan di dalam badan ibu mengandung untuk tujuan tersebut, ia boleh menyebabkan kawalan paras gula darah menjadi lemah, justeru si ibu mudah dijangkiti penyakit diabetes.

bm_table_craving_sweetness

Apakah kesan terhadap bayi di dalam kandungan?

Sekiranya ibu mengandung menghidap diabetes, paras gula yang tinggi akan dibawa dari saluran darah melalui plasenta terus kepada bayi. Walaupun bayi dalam kandungan mampu menghasilkan insulin untuk menggunakan gula, gula yang berlebihan boleh meninggalkan kesan yang tidak diingini sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Bayi bersaiz besar (Makrosomia) – Bayi dalam kandungan menghasilkan lebih banyak insulin yang akan menukarkan gula berlebihan kepada lemak mengakibatkan bayi membesar lebih daripada biasa. Keadaan ini mungkin akan merumitkan proses bersalin seperti melambatkan proses melahirkan anak, bayi terlalu besar untuk dilahirkan melalui vagina, risiko yang tinggi bagi bayi mengalami kecederaan sewaktu dilahirkan dan berkemungkinan besar ibu harus bersalin melalui kaedah pembedahan.

Hipoglisemia neonatal (gula dalam darah rendah) – Bayi akan terus menghasilkan insulin dalam jumlah yang banyak untuk jangka masa tertentu selepas dilahirkan. Memandangkan tiada lagi sumber gula dari ibu, insulin yang berlebihan akan bertindak ke atas simpanan gula dalam darah bayi tersebut dan mengakibatkan hipoglisemia dalam bayi yang baru lahir. Bayi akan menggigil atau mungkin mengalami masalah pernafasan, namun keadaan ini boleh dipulihkan dengan segera apabila bayi diberi susu ibu atau air gula tambahan.

Komplikasi lain – Bayi mungkin akan menghidap penyakit kuning (jaundis) semasa dilahirkan. Malah ibu mengandung juga berkemungkinan besar akan bersalin lebih awal. Walaupun bayi yang dilahirkan tidak menghidap diabetes, risiko bayi menjadi obes atau menghidap diabetes semasa di peringkat kanak-kanak adalah tinggi.

Rawatan

Doktor akan memeriksa paras gula darah anda sewaktu anda melakukan pemeriksaan pranatal. Andainya doktor mendapati anda menghidap diabetes semasa hamil, anda mungkin disyorkan untuk merancang pemakanan. Sekiranya perlu, anda akan diberikan ubat untuk mengawal paras gula darah. Doktor anda akan terus memantau keadaan anda dan bayi dalam kandungan anda sepanjang tempoh hamil.

Kurangkan risiko anda

  • Sekiranya berat badan anda berlebihan, kurangkan berat badan kepada berat badan paras normal sebelum anda mengandung untuk mengurangkan risiko menghidap diabetes semasa hamil.
  • Sewaktu mengandung, amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
  • Sekiranya anda mengidamkan sesuatu yang manis, pilihlah makanan yang mempunyai gula asli seperti buah-buahan. Elakkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula buatan yang tinggi seperti aiskrim, kek atau biskut.
  • Bersenam setiap hari agar paras gula darah anda berada di tahap yang selamat. Minta nasihat doktor anda untuk mencadangkan aktiviti yang sesuai dan selamat untuk anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen