Pengasuhan Positif

Sangat Tidak Adil!

Adakah anda sudah biasa mendengar ayat sebegini? Sebagai ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak, ini mungkin merupakan antara banyak lagi aduan yang sering didengar. Persaingan adik-beradik adalah lazim dalam hampir semua keluarga; walaupun memang ada yang rapat, namun jarang yang akan mempunyai hubungan yang baik sepanjang masa.

Terdapat banyak sebab adik-beradik akan berselisih faham dan bergaduh sesama sendiri, antaranya merupakan keperibadian serta usia yang berbeza dan disebabkan kebanyakan kanak-kanak akan bersaing untuk apa sahaja, daripada barang mainan hinggalah ke perhatian anda. Memang anda merasa hampa apabila melihat mereka sentiasa bertengkar dan menjerit tetapi jangan bimbang. Terdapat beberapa langkah untuk membantu anak-anak anda hidup secara lebih harmoni.

Mengapa Kanak-kanak sentiasa Bergaduh?

  • Perhatian. Kanak-kanak sentiasa mencari cara untuk mendapat perhatian ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi jika anda sibuk dan mempunyai masa terhad untuk diluangkan bersama mereka. Mungkin sukar bagi adik-beradik yang lebih tua untuk menerima ahli keluarga baru kerana kini mereka tidak lagi akan mendapat semua perhatian. Apabila rasa terpinggir, kanak-kanak akan mula membuat perangai seperti enggan makan atau menangis apabila tidak mendapat sesuatu apabila sedang cuba mendapatkan perhatian.
  • Perlu berkongsi. Ada masanya, adik-beradik perlu berkongsi barang mainan atau barang kepunyaan mereka. Lazimnya, kanak-kanak yang lebih kecil sukar berkongsi barang mainan kegemaran mereka hingga ada kalanya akan bertindak secara agresif terhadap adik-beradik mereka.
  • Ragam yang unik. Suasana hati, perangai, daya penyesuaian dan keperibadian unik anak anda semuanya akan memainkan peranan di dalam keharmonian hubungan antara mereka. Perbezaan ragam sering membawa kepada perselisihan sementara perbezaan usia dan jantina pula boleh mengakibatkan pergaduhan di kalangan kanak-kanak.
  • Isu keadilan. Kanak-kanak sentiasa meminta kesaksamaan dan akan sering bergaduh untuk apa yang mereka anggap sebagai hak semulajadi mereka. Abang atau kakak yang perlu melaksanakan tugas-tugas di rumah atau menjaga adik-beradik yang lebih kecil mungkin tidak sukakan tanggungjawab sedemikian, sementara adik-beradik yang lebih kecil pula akan rasa tidak gembira terpaksa duduk di rumah apabila abang dan kakak mereka boleh keluar berjalan.
  • Iri hati. Pujian ibu bapa terhadap pencapaian akademik baik salah satu adik-beradik menyebabkan adik lain yang pencapaiannya kurang memuaskan berasa iri hati.

Mengawal Keadaan

Kadang-kala mengawal keadaan bermakna membiarkan anak anda menjerit sepuas hati mereka. Asalkan tiada kecederaan, biarkanlah mereka menyelesaikan isu mereka sendiri dan cuba untuk tidak mencampur tangan selama mana yang anda boleh. Walau bagaimanapun, anda masih boleh mencuba tip berikut untuk menyelesaikan isu anak anda jika keadaan menjadi luar kawalan.

  • Masa bersendirian. Kadang-kala kanak-kanak perlukan ruang mereka sendiri dan sedikit masa untuk bersendirian. Biarkan mereka di dalam bilik masing-masing untuk menghilangkan rasa marah.
  • Jangan berpihak. Jangan sekali-kali membandingkan anak-anak anda. Ini hanya akan menimbulkan perasaan dendam atau marah di kalangan adik-beradik. Tambahan lagi, ini boleh menegangkan hubungan antara anda dan anak-anak anda.
  • Ajar mereka bertolak ansur. Ajar anak anda untuk menyelesaikan masalah mereka menggunakan cara yang boleh memuas hati semua pihak. Minta mereka untuk berhenti menjerit dan galakkan mereka meluahkan ketidakpuasan mereka. Dengar dan kemudian minta mereka mencari penyelesaian yang akan memuaskan hati mereka. Jika mereka tidak mempunyai idea, anda bolehlah mencadangkan suatu penyelesaian, seperti memberi setiap seorang daripada mereka waktu untuk bermain dengan barang mainan baru yang sedang menjadi rebutan.

Hentikan dari Awal!

  • Kuatkuasakan peraturan – Jangan menjerit, mengejek atau menghentam pintu.
  • Jangan jadikan semuanya sama – Perlakukan setiap anak anda sebagai individu yang unik dan istimewa. Lazimnya, adik-beradik yang lebih tua akan mempunyai hak istimewa seperti tidur lebih lewat berbanding yang lebih muda.
  • Berikan setiap anak anda masa istimewa – Kanak-kanak sentiasa dahagakan perhatian jadi cuba luangkan masa bersendirian bersama setiap anak anda. Bersendirian bersama anak anda selama 10-15 minit setiap hari boleh membuatkan mereka rasa istimewa.

Lazimnya, perbalahan di kalangan adik-beradik akan berhenti sebelum menjadi tidak terkawal. Tetapi dalam sesetengah kes, pergaduhan boleh sampai ke tahap di mana salah seorang daripada adik-beradik akan mengalami penderaan emosi ataupun fizikal. Ibu bapa perlu menghentikan pergaduhan yang membawa kepada pemukulan, pengejekan atau saling memperkecilkan yang berterusan kerana ini merupakan suatu bentuk penderaan adikberadik. Hubungilah pakar pediatrik anak anda atau pembekal kesihatan mental untuk bantuan jika mendapati kesukaran mengendalikan sesuatu situasi. Selesaikan isu-isu sebelum menjadi tidak terkawal!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen