Pengasuhan Positif

Apabila Kanak-Kanak Berhadapan dengan Kematian

Hati anak anda mungkin hancur luluh apabila berhadapan dengan kehilangan insan tersayang, rakan, atau haiwan peliharaan. Biarpun perasaan sedihnya mendalam, ia mungkin tidak ketara daripada reaksinya yang diluahkan secara: menyuarakan kesedihannya (jarang berlaku), mengadu ketidakselesaan fizikal (seperti sakit kepala atau perut), serta bimbang atau sedih dalam aspek lain (seperti di sekolah atau aktiviti lain).

Bersedia untuk membantu jika cara luahannya negatif. Anda mungkin tidak dapat melindunginya daripada kesedihan, tapi anda boleh membantunya rasa lebih selamat. Benarkan dan galakkannya meluahkan perasaan agar boleh mengembangkan daya tahannya yang berguna apabila dewasa.

Memahami bagaimana kanak-kanak melihat kematian

Pendekatan anda harus sesuai dengan tahap perkembangan. Cara anda bercakap dengan kanak-kanak kecil berbeza dengan kanak-kanak besar. Guna peluang ini untuk membincangkan kitaran hidup. Bantu dia memahami, bukan melindunginya daripada kenyataan hidup.

Bantu dia mengatasinya

Terangkan kematian berdasarkan fakta, terutama apabila bercakap kepada kanak-kanak. Guna ungkapan mudah dan berterus terang, bukan kiasan. Mengatakan “Atuk tidur dan sekarang berada di syurga” boleh menyebabkan dia rasa takut untuk tidur kerana bimbang dia juga akan ‘tidur’. Penerangan mudah ialah kematian bermakna tubuh seseorang itu tidak lagi berfungsi seperti ketika dia masih hidup.

Ambil peluang ini untuk berkongsi kepercayaan agama atau kerohanian anda mengenai kematian dan galakkan anak anda bertanya soalan. Cuba jawab dengan jujur dan terus terang. Jika anda tidak boleh menjawab, bantu cari jawapannya; ini akan menenangkan dia dan membantunya menerima hakikat kematian. Galakkan dia meluahkan perasaan dengan melukis gambar atau mencatat fikiran dan perasaannya di dalam diari atau jurnal.

Sekiranya ibu, bapa, atau penjaga meninggal dunia, kebimbangan lazim adalah siapa yang akan menjaga si anak, yang mungkin ditunjukkan dengan rasa risau. Ini boleh membuatkan mereka lebih manja atau rasa ditinggalkan. Mereka juga mungkin rasa bertanggungjawab ke atas kehilangan tersebut. Penting untuk buat anak anda faham bahawa mereka tidak dipersalahkan dan si mati tidak akan kembali. Berikannya sebanyak mungkin kasih sayang dan perhatian untuk redakan kebimbangannya mengenai siapa yang akan terus menjaganya.

Sentiasa dalam kenangan

Kanak-kanak semuda tiga tahun memahami konsep pemergian. Beri anak anda peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada si mati, agar dia boleh mengatasinya. Beri dia pilihan jika mahu menghadiri upacara pengkebumian atau memorial tetapi jangan paksa jika dia keberatan. Jika dia ingin hadir, terangkan apa untuk dijangka, dan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Cermin diri

Sebelum membantu anak anda mengatasi kehilangan, ambil masa untuk muhasabah diri. Imbas pengalaman pertama anda berhadapan dengan kematian dan perkara yang membantu (atau tidak membantu) anda menghadapinya. Pengalaman anda, terutama semasa anda kecil, boleh membantu anda mengenali dan menyelami perasaan anak anda.

Jelaskan bahawa seseorang yang telah meninggal dunia akan tetap ‘hidup’ dalam ingatannya. Jika ibu bapa menghidapi penyakit tenat, ramai akan meninggalkan surat, video, atau foto untuk membantu anak mereka mengingati betapa mereka disayangi.

Anak anda mungkin ingin mengumpul gambar dan barang kesayangan untuk mewujudkan kenangan mereka sendiri dan mengatasi kehilangan mereka. Bagi kanak-kanak kecil, pengetahuan mereka tentang si mati datang daripada ahli keluarga lain, maka bincangkan mengenai si mati dengannya dan ingatkannya betapa dia disayangi oleh si mati. Tidak salah untuk menyambut hari lahir si mati atau sambutan Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai satu cara mengenang si mati.

Jangan sembunyikan perasaan anda

Anda harus berkongsi kesedihan dengan anak anda, tetapi jangan keterlaluan. Dengan meluahkan emosi anda sendiri, anda mendorongnya untuk berbuat sama. Ini membantunya memahami bahawa kesedihan adalah gabungan kompleks emosi seperti marah, bersalah, dan kecewa. Terangkan bahawa emosi dan tindak balasnya mungkin berbeza daripada orang dewasa.

Kesedihan datang dan pergi, jadi dia tidak boleh jangka bila dia akan bersedih. Cuba kekalkan rutin atau jadualnya sekonsisten mungkin. Paling penting, teruskan tugas anda sebagai ibu bapa dan pastikan tingkah laku anak anda tidak melampaui batas. Tidak salah untuk bertanyakan perasaannya, dan pastikan anda memberi perhatian kepadanya.

Proses kesedihan mungkin lebih lama bagi sesetengah orang, oleh itu tanyalah keadaannya dari masa ke semasa.

Galakkannya untuk meneruskan aktiviti biasa sekerap mungkin dan yakinkan dia bahawa dia boleh bergembira dan berseronok. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang tingkah laku anak anda atau cara dia mengatasi kesedihan, dapatkan nasihat pakar perunding psikologi kanak-kanak atau profesional kesihatan mental yang lain.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen