Pengasuhan Positif

Hari Yang Penting

Bagi kebanyakan wanita, trimester ketiga merupai jangka masa yang meletihkan dan menyakitkan sebelum kegembiraan menyambut kedatangan bayi. Anda mungkin sudah mula merasa kontraksi ‘palsu’ yang kuat ketika badan anda sedang bersedia untuk hari yang penting itu. Anda juga boleh bersedia dengan mendapatkan maklumat mengenai kaedah-kaedah kelahiran yang berlainan, pilihan kaedah untuk melegakan kesakitan ketika bersalin serta segala kerumitan yang mungkin timbul. Ingatlah, dengan kemajuan perubatan pada zaman ini, anda mempunyai peluang yang baik untuk melahirkan bayi yang sihat dengan kesukaran yang paling sedikit.

Yang mana jalan keluar?

Ramai wanita menganggap melahirkan anak secara ‘semulajadi’ (melalui faraj) sebagai pilihan mereka. Para doktor bersetuju bahawa ini masih merupakan cara yang paling selamat, melainkan ibu atau bayi mengalami masalah yang boleh membahayakan kelahiran secara semulajadi. Kadang-kala, doktor mungkin akan mengesyorkan kelahiran melalui pembedahan Caesarean (pembedahan untuk melahirkan anak melalui potongan yang dibuat pada abdomen dan rahim) yang dirancang kerana sebab-sebab tertentu, termasuk:

  • Bayi berada dalam kedudukan songsang
  • Proses bersalin yang terlalu lama
  • Kadar degupan jantung bayi semakin menurun
  • Saluran kelahiran yang sempit
  • Masalah kesihatan pada ibu (contohnya, tekanan darah tinggi)

Bagaimana untuk mengetahui bila masanya?

Ramai bakal ibu kali pertama akan berasa cemas sama ada mereka akan tahu bila mereka benar-benar sudah hendak bersalin. Setelah melahirkan, kebanyakan mereka mengatakan bahawa apabila sudah hendak bersalin, memang mereka boleh merasai yang masanya telah tiba! Berikut adalah beberapa tanda yang menunjukkan bayi anda sudah ingin muncul ke dunia:

  • Kontraksi yang menyakitkan
  • Keluar ‘tanda’ (pengeluaran lendir berdarah)
  • Pemecahan air mentuban (dengan banyak)
  • Masalah penghadaman
  • Cirit-birit
  • Rasa loya & muntah
  • Rasa ringan kepala

Anda tidak perlu menunggu kesemua gejala-gejala di atas berlaku sebelum ke hospital atau pusat bersalin. Sebaik sahaja anda dapat merasa sudah hendak bersalin, terus sahaja ke sana. Mungkin terasa memalukan jika didapati anda bukan benar-benar hendak bersalin, tetapi sekurangkurangnya doktor dapat memeriksa dan memastikan segalanya baik sebelum membenarkan anda pulang untuk menunggu sedikit masa lagi.

Bersalin

Proses bersalin yang sebenarnya berlaku dalam tiga peringkat:

  • Peringkat pertama bersalin dianggap peringkat di antara permulaan proses bersalin dan apabila serviks sudah terbuka sepenuhnya.
  • Peringkat kedua merupakan peringkat bersalin yang paling meletihkan kerana ini adalah masa bersalin yang sebenar. Anda perlu membantu bayi keluar dengan meneran ketika kontraksi. Di antara kontraksi-kontraksi, cubalah berehat dan jangan meneran kerana ia cuma akan meletihkan anda. Ia tidak akan menolong bayi keluar dengan lebih cepat!
  • Peringkat ketiga terjadi apabila bayi telah keluar. Uri yang telah selesai tugasnya memberi bayi zat makanan dan membekalkan oksigen serta membuang sisa kumuhan dari badan bayi, kini disingkirkan berikutan beberapa kontraksi.

bigday2

Kadang-kala, dalam peringkat kedua proses bersalin, kelahiran bayi memerlukan bantuan doktor dengan menggunakan alat forseps atau vakum kerana sebab-sebab tertentu seperti penurunan kadar degupan jantung bayi yang berpanjangan atau berulang kali, atau apabila peringkat kedua mengambil masa yang terlalu lama, justeru meletihkan ibu dan bayi.

Dalam beberapa kes, sebelum proses bersalin secara semulajadi bermula, doktor mungkin mahu mengaruhnya (memulakan secara tidak semulajadi) kerana sebab-sebab berikut:

  • Terlebih hari (terlewat daripada tarikh jangka lahir)
  • Pecah mentuban tanpa kontraksi berkala
  • Proses bersalin yang terlalu perlahan
  • Tumbesaran bayi terencat
  • Masalah kesihatan pada ibu seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis

Kelegaan kesakitan

Anda mungkin merasa terdesak untuk menolak penggunaan sebarang kaedah untuk melegakan kesakitan, bagi mengelakkan daripada dianggap lemah. Ini mungkin akibat kepercayaan bahawa sakit ketika melahirkan anak mesti ditahan oleh ibu tanpa bantuan perubatan. Dengan mengetahui tentang berbagai kaedah melegakan kesakitan, anda boleh membuat keputusan sekarang sama ada hendak menggunakannya atau tidak ketika bersalin. Walaupun anda kini merasa kurang berminat menggunakannya, cubalah juga membuat pilihan sebagai persediaan sekiranya anda terpaksa menggunakannya ketika di bilik bersalin. Memandangkan melahirkan anak merupakan suatu pengalaman yang hebat serta unik, lakukan apa yang patut untuk memberikan diri anda kenangan indah mengenainya.

Terdapat beberapa pilihan kaedah melegakan kesakitan ketika bersalin. Ini hanya merupakan pengenalan yang singkat; anda masih perlu berbincang dengan doktor anda untuk mengenalpasti yang mana paling sesuai untuk diri anda. Setiap kaedah mempunyai kebaikan dan keburukan, dan anda harus mempertimbangkan semuanya serta membuat keputusan sendiri kerana segalanya akan memberi kesan kepada diri anda juga nanti.

  • Suntikan ‘opiate’ – Sejenis suntikan ubat pelali yang diberikan pada otot di kawasan punggung
  • Penyedutan entonox – Campuran oksigen dan nitrus oksida yang disedut dengan menggunakan topeng muka ketika kontraksi
  • Suntikan epidural – Jarum yang berongga dicucuk antara dua ruas tulang belakang ke dalam ruang epidura, dan satu tiub plastik dimasukkan melalui jarum tersebut. Ubat bius dimasukkan melalui tiub itu sepanjang masa bersalin.

Episiotomi

Apabila kepala bayi telah kelihatan, ada risiko perineum (kawasan antara vulva dan rektum) akan koyak. Jika doktor merasa risiko berlakunya koyakan agak tinggi, episiotomi mungkin diperlukan. Ini merupakan potongan yang dibuat pada perineum, setelah diberi bius setempat, untuk mengelakkan kerosakan teruk akibat koyakan yang tidak terkawal. Doktor akan membaiki kawasan tersebut dengan beberapa jahitan selepas kelahiran bayi anda, tanpa mengira sama ada ia terjadi akibat terkoyak ataupun episiotomi. Lazimnya, dengan kelahiran kedua dan seterusnya, episiotomi sudah tidak diperlukan lagi.

Pembedahan Caesarean

Doktor mungkin menasihatkan anda untuk menjalani pembedahan Caesarean dalam keadaaan-keadaan tertentu, sama ada secara pilihan, atau kecemasan semasa dalam bilik bersalin kerana mana-mana sebab berikut:

  • bayi berkedudukan songsang
  • proses bersalin yang terlalu lama tanpa sebarang kemajuan
  • kadar degupan jantung bayi semakin menurun ketika bersalin
  • saluran kelahiran terlalu sempit
  • masalah kesihatan ibu, seperti tekanan darah tinggi

Tahukah anda?

Pembedahan Caesarean telah wujud sejak zaman empayar Rom. Undangundang yang dipanggil ‘lex caesar’ menyatakan bahawa jika seseorang wanita yang sedang melahirkan anak dijangka akan meninggal dunia, satu pembedahan akan dijalankan untuk menyelamatkan bayinya. Ia dianggap sebagai langkah keperwiraan apabila satu nyawa diselamatkan, daripada membenarkan dua kematian. Masa kini, dengan adanya kaedah pembedahan yang selamat, pakar bedah yang berkemahiran dan peralatan perubatan moden, pembedahan Caesarean dilihat sebagai satu cara untuk menyelamatkan kedua-dua nyawa ibu dan bayi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen