Pengasuhan Positif

Hamil dan … Cemas?

Kehamilan membawa perasaan yang bercampur baur: anda akan rasa teruja tetapi bimbang, gembira tetapi takut. Ditambah pula dengan nasihat daripada keluarga serta rakan-rakan, menjadi cemas malah keliru adalah sesuatu yang kerap berlaku.

Untuk memperjelaskan hal ini, kami telah menemubual Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, pakar Obstetrik & Ginekologi dan ahli panel ‘Positive Parenting’, untuk menjawab beberapa kebimbangan yang mungkin anda alami:

Soalan utama bagi wanita hamil ialah sama ada bayi berada dalam keadaan yang normal dan sihat. Adakah mereka perlu bimbang?

Doktor anda akan meniliti sejarah perubatan anda dan memeriksa anda sebelum menjawab soalan ini. Bagaimanapun, kebarangkalian bayi menjadi cacat adalah sangat rendah. Kebanyakan kecacatan akan berakhir dengan keguguran ketika awal kehamilan. Pemeriksaan kesihatan sebelum hamil dan perundingan perubatan dapat membantu untuk mengenal pasti faktor-faktor risiko untuk mungkin menatijahkan janin. Pemeriksaan antenatal yang sempurna dan rapi dapat mengenal pasti kehamilan yang berisiko tinggi dan rawatan yang sewajarnya. Kurangkan risiko ini dengan menjaga diri anda dengan baik ketika hamil.

Pregnant-and-anxious_b

Mereka juga bimbang adakah bayi mereka sihat ketika dilahirkan. Adakah kebimbangan mereka wajar?

Sesetengah ibu bapa bimbang tali pusat akan membelit leher bayi sewaktu dilahirkan dan menyebabkan asfiksia (kekurangan oxsigen). Walaupun kes-kes telah dilaporkan di media, usah terlalu bimbang memandangkan keadaan ini amat jarang berlaku. Sewaktu kelahiran, denyutan jantung bayi anda dan warna air ketuban akan diperhatikan dengan kerap bagi mengetahui tanda awal bayi lemas. Jika perlu, anda mungkin menjalani pembedahan kecemasan Caesarean untuk mempercepatkan kelahiran sebelum keadaan bayi menjadi lebih tenat.

Bagaimana pula tentang pengambilan suplemen dan herba tradisional? Bolehkah mereka meneruskan pengambilan ubat-ubatan ini?

Wanita hamil disarankan supaya mengambil asid folik dan zat besi. Bagaimanapun, hanya ambil ubatubatan yang telah dinasihatkan oleh doktor anda. Bagi herba tradisional yang tidak berasaskan penyelidikan perubatan yang menyakinkan, anda dinasihati supaya tidak mengambilnya. Terutamanya pada tiga bulan pertama kehamilan kerana pada ketika ini, kebanyakan organ-organ penting bayi anda mula membentuk.

Sesetengah herba mungkin akan melambatkan pembekuan darah dan perlu dielakkan ketika bulan terakhir kehamilan. Ia dikhuatiri akan menyebabkan pendarahan yang teruk ketika kelahiran atau ketika menjalani pembedahan Caesarean.

Sesetengah wanita diberitahu bahawa perut mereka kelihatan pelik! Adakah mereka perlu berasa bimbang?

Jangan bimbang tentang bentuk atau rupa perut anda kerana ia tidak menunjukkan berat atau keadaan bayi anda. Ini hanya boleh dipastikan setelah doktor anda menjalankan pemeriksaan keatas anda. Imbasan ultrabunyi boleh memberikan maklumat tambahan tentang bayi anda.

BAGAIMANA PULA DENGAN BAYARAN HOSPITAL?

Jangan mengelak daripada membincangkan bayaran perubatan dengan doktor anda. Lakukan sedikit kajian dan bandingkan pakej-pakej kelahiran di hospital yang berlainan. Cuba fahami mengapa terdapat perbezaan harga: adakah disebabkan oleh kemudahan, kepakaran atau perkhidmatan tambahan yang ditawarkan? Ambillah sikap yang lebih terbuka dengan doktor anda dan mereka dengan gembira akan menjawab soalan anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen