Pengasuhan Positif

Kenali OCD!

Zaim memberus giginya 8 hingga 14 kali sehari kerana dia yakin bahawa mulutnya penuh dengan kuman. Dia sentiasa mengambil masa 20 minit sehingga setengah jam untuk memberus gigi dan tidak berhenti walaupun ada kesan darah.

Karina memadam semua tulisan yang dia telah tulis sebanyak 9 kali (kadang-kadang lebih) kerana dia percaya bahawa tulisan tangannya adalah herot. Dia sentiasa cuba untuk meluruskannya berulang-ulang kali.

Kedua-dua Zaim dan Karina menghidap penyakit kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).

OCD adalah sejenis gangguan kebimbangan yang kadang-kadang sehingga boleh mengganggu akademik, sosial dan persekitaran kerja seseorang. Seseorang yang menghidap OCD akan mempunyai obsesi, pemikiran mengenai perkara yang tidak diingini, satu perasaan desakan dan tindakan berlebihan yang berulang-ulang yang menyebabkan mereka menjadi lebih tertekan, mengambil terlalu banyak masa dan mengganggu kehidupan seharian mereka.

Penghidap OCD tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan tingkah laku kompulsif mereka dan akan menetapkan “peraturan-peraturan” tentang bagaimana ia perlu dilakukan. Mereka akan mengulanginya berulang kali sehingga mereka merasakan ia telah betul. Walau bagaimanapun, tidak seperti desakan obsesi untuk minum atau membeli-belah, desakan daripada OCD tidak memberikan kepuasan kepada pesakit tetapi hanya satu kelegaan.

boy-ocd

Walaupun gangguan ini dianggap sebagai jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, OCD kini dipercayai dihidapi sekitar 2-3% daripada kanak-kanak. Gangguan ini sering tidak diketahui kerana penghidap OCD malah ibu bapa mereka juga tidak menyedari bahawa OCD adalah sejenis penyakit yang sebenarnya boleh dirawat. Bagi mereka yang sudah pun mengetahui bahawa OCD adalah penyakit, mereka mungkin terlalu malu untuk mendapatkan bantuan atau tidak dapat menerima hakikat bahawa OCD adalah sejenis penyakit otak yang mereka hidapi.

Memahami sebab-sebabnya

Punca sebenar OCD tidak diketahui, tetapi pakar percaya bahawa ia ada kaitan dengan ketidakseimbangan bahan kimia serotonin di dalam otak. Apabila aliran serotonin dihalang, ‘sistem penggera’ otak memberikan tindak balas yang berlebihan dan tersilap apabila mencetuskan mesej bahaya. Selain daripada menyekat pengeluaran mesej bahaya, fikiran seorang penghidap OCD akan memberikan pemikiran tidak kekal yang menyebabkan mereka mengalami keraguan dan kebimbangan tertentu.

Genetik juga dipercayai memainkan peranan yang penting. Mereka yang mempunyai sejarah OCD di kalangan ahli keluarga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengidap penyakit tersebut. Tambahan pula, jika penghidap OCD adalah seseorang yang mementingkan kesempurnaan, maka asuhan yang diberikan kepada mereka juga boleh meningkatkan risiko untuk OCD. Namun, hanya kerana kanak-kanak mempunyai kecenderungan genetik untuk OCD, tidak bermakna bahawa dia akan mendapat OCD. Ini hanya bermakna bahawa mereka memiliki peluang yang besar untuk mendapatnya.

Kadang-kadang penyakit atau beberapa peristiwa penyebab tekanan yang lain boleh mencetuskan gejala OCD pada seseorang yang secara genetik lebih cenderung menghidapinya.

Adalah penting untuk memahami bahawa tingkah laku OCD bukan sesuatu yang kanak-kanak boleh hentikan hanya dengan ‘berusaha keras’ atau kerana anda atau anak anda mahu ia berhenti. OCD adalah gangguan seperti yang lain (contohnya kencing manis atau asma); ia bukanlah sesuatu yang anak anda boleh kawal atau sebabkan.

Peristiwa trauma tertentu (seperti kematian orang yang dikasihi atau kemalangan) juga boleh memburukkan atau mencetuskan OCD pada kanak-kanak yang cenderung menghidapinya.

Merawat OCD

brain-ocd

Terdapat beberapa jenis rawatan bagi kanak-kanak yang menghidap OCD iaitu terapi tingkah laku dan ubat-ubatan. Terapi tingkah laku yang juga dikenali sebagai psikoterapi kognitif tingkah laku (CBT), membantu anak-anak untuk belajar mengubah cara pemikiran dan perasaannya melalui perubahan tingkah laku terlebih dahulu.

Ubat-ubatan berkesan dalam melegakan kedua-dua obsesi dan desakan. Rawatannya adalah bersifat jangka masa panjang kerana pesakit cenderung untuk kembali ke keadaan asal apabila ubat dihentikan, selalunya dalam beberapa minggu. Psikosurgeri akan menjadi pilihan terakhir untuk merawat pesakit yang memiliki ketahanan terhadap rawatan yang diberikan.

Justeru itu, jika anda mendapati mana-mana tingkah laku yang luar biasa dalam anak anda, sila rujuk doktor anda dengan segera kerana sememangnya terdapat rawatan untuk penyakit OCD.

Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen