Pengasuhan Positif

Pembela Digital: Mendidik Peneroka Internet yang Bijak dan Selamat

Kanak-kanak hari ini tergolong dalam generasi internet. Zaman menelaah buku tebal untuk mencari maklumat sulit kini sudah berlalu. Hari ini, maklumat berada di hujung jari mereka. Hanya satu klik atau swipe sudah memadai. Telefon dail kini telah digantikan dengan telefon pintar dan bermain bersama tidak lagi berlaku di taman atau padang permainan. Dengan internet, mereka boleh bermain dengan rakan-rakan melalui pelbagai peranti seperti tablet dan telefon.

Walaupun ini kedengaran sempurna, alam siber tidak bebas daripada risiko dan masalah. Ia merangkumi pendedahan kepada kandungan tidak sesuai seperti pornografi atau keganasan, hinggalah grooming dan buli siber. Tambahan pula, bahaya ini tersembunyi di sebalik skrin tanpa nama. Mereka boleh berkenalan dengan seorang kanak-kanak dengan berpura-pura sebagai rakan sebaya untuk meraih kepercayaan. Apabila terbongkar, ia mungkin sudah terlambat.

Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap cara terbaik untuk melindungi anak mereka daripada bahaya ini adalah dengan mengharamkan akses internet. Namun, ini tidak praktikal dan mustahil. Internet, sama ada kita suka atau tidak, adalah sebahagian penting daripada kehidupan mereka. Kita tidak mengharamkan pemanduan untuk mengelakkan kemalangan. Sebaliknya, kita menghadiri kelas memandu dan mendapatkan lesen memandu supaya lebih selamat. Begitu juga dengan penggunaan internet. Pendidikan adalah jalannya.

8 cara meneroka alam siber

1. Mulakan dengan perbualan terbuka dan jujur

Ambil tahu tentang kegiatan mereka di dunia siber. Tanya mereka dengan lembut bagaimana mereka menggunakan peranti dan apa yang mereka lakukan dalam talian. Bincangkan kandungan yang mereka tonton. Ingatkan mereka bahawa tidak semua yang dilihat dalam talian adalah benar.

Berhati-hati jika mereka berkata ada orang dewasa yang cuba berhubung dengan mereka. Pereka permainan dalam talian biasanya menyediakan mekanisme keselamatan terbina. Sesetengah permainan dengan pelayan terbuka menyekat fungsi sembang untuk kanak-kanak bawah umur 13 tahun. Pastikan anak anda menaip umur sebenar untuk mengaktifkan fungsi tersebut.

2. Tetapkan peraturan asas bersama
Tetapkan beberapa peraturan asas bersama. Tekankan bahawa ini adalah untuk keselamatan mereka, tetapi sebagai ibu bapa, kita juga perlu mematuhinya.

  • Masa skrin yang sesuai dengan umur.
  • Bila dan di mana peranti boleh digunakan, terutamanya pada malam persekolahan.
  • Jujur dan laporkan kandungan tidak sesuai. Ibu bapa juga boleh memasang kawalan internet untuk meminimumkan risiko pendedahan.

3. Tegas, bukan kejam

Beri perhatian terhadap apa yang anak anda tonton atau main dan sertai mereka. Terangkan mengapa kandungan atau laman tertentu dianggap tidak sesuai. Untuk rancangan atau permainan, ambil serius kategori umur. Seorang kanak-kanak lapan tahun tidak sepatutnya menonton rancangan atau bermain permainan dalam kategori PG13 atau 18SX. Tanya apa yang rakan mereka lakukan dalam talian, tetapi jangan menghakimi atau mengutuk mereka.

Sentiasa peka terhadap keperluan privasi mereka, terutamanya remaja. Hubungan yang baik akan memastikan anda kekal dalam senarai “rakan” atau “pengikut” mereka. Berhati-hati apabila menghantar apa-apa ke halaman profil mereka. Menegur atau mengejek mereka dalam talian akan menyebabkan rasa malu. Jika anda tidak selesa dengan sesuatu yang mereka siarkan, bincangkan secara peribadi.

4. Pemikiran kritis adalah kunci
Bimbing anak anda untuk menganalisis dan menyoal apa yang mereka lihat di media sosial. Ingatkan mereka supaya tidak terlalu terbuai dengan pujian daripada orang asing, walaupun orang itu mendakwa mereka berumur sebaya dengan gambar profil yang sepadan. Internet membolehkan sesiapa saja menyamar menjadi orang lain. Ingatkan anak anda supaya sentiasa beradab dalam talian dan jangan sekali-kali memuat naik gambar yang mendedahkan sekolah atau maklumat peribadi.

5. Bincangkan tentang jejak digital
Golongan muda hari ini cenderung untuk menyiarkan segala-galanya di media sosial. Jelaskan kepada mereka bahawa maklumat ini dipanggil “jejak digital” dan boleh ditemui semula walaupun selepas dipadam. Elakkan memuat naik gambar sensitif. Tanya kepada mereka: “Adakah kamu okay kalau cikgu atau nenek lihat siaran ini? Jika tidak, jangan siarkan.” Ingatkan remaja bahawa bakal majikan mereka mungkin melihat gambar mereka yang memalukan dan itu boleh menjejaskan peluang pekerjaan.

6. Kenal pasti tanda amaran dalam talian
Ajar mereka untuk mempercayai naluri dan sentiasa memberitahu orang dewasa yang dipercayai jika sesuatu terasa salah. Bantu anak anda mengenali isyarat bahaya seperti:

  • Permintaan untuk maklumat peribadi atau gambar peribadi.
  • Orang asing meminta bertemu secara bersemuka atau menawarkan hadiah.
  • Mesej yang terasa aneh atau membuat mereka tidak selesa.

7. Utamakan privasi dan kata laluan

  • Tunjukkan anak anda cara mencipta kata laluan yang kuat dan mengaktifkan tetapan privasi.
  • Ingatkan mereka agar hanya menerima permintaan rakan atau pengikut daripada orang yang mereka kenali dalam kehidupan sebenar.
  • Ikut undang-undang negara dan aplikasi. Contohnya, Facebook dan Instagram hanya melesenkan platform mereka untuk individu berumur lebih 13 tahun. Negara seperti Australia telah memperkenalkan umur minimum untuk mengakses media sosial.

8. Jadi teladan yang baik
Jadilah contoh: gunakan internet secara bertanggungjawab, elakkan berkongsi berlebihan, dan layan orang lain dengan baik dalam talian. Tunjukkan kepada anak-anak yang anda juga berehat daripada skrin dan menikmati masa tanpa internet. Galakkan tabiat skrin yang beradab merentasi generasi, termasuk datuk dan nenek kerana mereka juga mungkin menjaga anak-anak. Jangan memuat naik gambar anak anda tanpa kebenaran mereka, dan jangan sekali-kali memuat naik gambar anak orang lain, walaupun anak saudara anda.

Keselamatan dalam talian bukanlah sesuatu yang boleh diajar semalaman. Ia memerlukan peringatan berulang dan pemantauan rapat, dengan cara yang tidak mengancam. Melalui bimbingan lembut tetapi tegas, kanak-kanak boleh belajar celik internet dan mengelakkan pemangsa serta penipuan. Kanak-kanak dengan etika internet yang bagus kurang berisiko menjadi mangsa atau pembuli. Mereka adalah masa depan kita – mari kita bimbing mereka menjadi pembela digital yang bijak dan selamat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.