Tantrum ialah letusan kemarahan dan kekecewaan yang sering dilihat di kalangan kanak- kanak berumur satu ke tiga tahun. Ini berlaku apabila kanak-kanak kecil marah namun tidak mampu mengungkapkan perasaan mereka. Semasa tantrum, kanak- kanak mungkin menjerit, menangis dengan kuat, mengeraskan tubuh, melayangkan tangan, menendang, menolak, membaling objek, baring di atas lantai, atau menahan nafas.

Tantrum merupakan satu fasa normal semasa membesar yang berlaku apabila kanak-kanak berdepan dengan pengalaman baru dan asing. Perlu diingat bahawa kanak-kanak tidak melakukan tantrum secara sengaja untuk membuat ibu bapa marah. Mereka perlukan bimbingan dan sokongan untuk belajar menangani emosi yang kuat.
Tantrum boleh berlaku apabila kanak-kanak tidak mendapat apa yang mereka inginkan, cth. mainan yang dimahukannya diambil oleh kanak-kanak lain. Kanak-kanak juga lebih berkemungkinan membuat tantrum apabila lapar, penat, atau kurang sihat. Rangsangan deria berlebihan apabila terdedah kepada cahaya atau bunyi yang keterlaluan, atau berada dalam suasana sesak untuk tempoh yang lama juga boleh mencetuskan tantrum.
Berikut ialah beberapa tip untuk menangani dan menyokong kanak-kanak petatih semasa fasa ini:
- Tetapkan rutin, peraturan, dan larangan
Rutin membantu kanak-kanak untuk sedar dan menerima bahawa setiap aktiviti, sama ada yang disukai atau tidak disukai, merupakan sebahagian daripada hari mereka. Tetapkan peraturan dan larangan yang jelas, mudah, dan munasabah tentang apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan. Mereka akan mengambil masa untuk belajar, jadi anda perlu konsisten. Puji mereka apabila mereka ingat. Dan ingatkan mereka dengan lembut jika mereka lupa. - Jadi teladan yang baik
Kanak-kanak sering belajar dengan meniru kelakuan orang dewasa di sekeliling mereka. Berikan contoh yang baik dengan menunjukkan tingkah laku sopan, baik, dan lembut yang anda mahu mereka contohi. Jika mereka sering melihat anda menjerit dan berkelakuan kasar semasa marah, mereka juga akan mencontohi kelakuan ini. - Bantu kanak-kanak mengenal pasti emosi
Semasa anak anda membesar, selalu gunakan perkataan seperti “gembira”, “sedih”, “lapar”, “sakit”, atau “penat” apabila anda melihatnya mengalami perasaan tersebut. Ini membantu anak anda mengenal pasti emosi berbeza, menghubungkannya dengan perkataan, dan menggilap kemahiran komunikasi. - Cegah dan tangani pencetus
Kanak-kanak kecil perlukan rehat yang kerap. Pastikan anak anda telah berehat dan makan sesuatu sebelum keluar. Tumpukan pada keperluannya apabila berlakunya perubahan rutin, cth. semasa bersiar-siar atau perjumpaan. Ambil tindakan apabila anak anda menunjukkan tanda-tanda lapar, mengantuk, bosan, atau kurang sihat. Bersedia untuk pulang awal atau membawa anak anda keluar berehat sebelum dia meragam. - Ubah haluan
Anak anda mungkin terlalu kecil untuk memahami kenapa anda berkata “tidak” kepada sesuatu yang tidak sesuai atau selamat. Apabila anda berkata “tidak”, bersedia untuk mengalihkan perhatiannya kepada hal lain yang menarik atau tawarkan alternatif. Contohnya, jika anak anda mahu bermain pisau, katakan “Ini tidak selamat, mari kita main dengan blok mainan.” - Bertenang dan sabar
Jika anak anda membuat tantrum, kekal tenang dan cuba bantu dia kawal emosi. Tenangkan anak anda dengan membelainya secara lembut. Jika perlu, bawa anak anda ke tempat yang senyap dan selamat. Bercakap dengan lemah lembut dan akui bahawa dia marah. Biarkan anak anda bertenang sedikit demi sedikit. Apabila tantrum telah reda, peluk anak anda. Minuman, snek, atau tidur juga mungkin boleh membuatnya rasa lebih baik. - Komunikasi dengan anak anda
Apabila anak anda berada dalam mood lebih baik, tanya apa yang membuatnya marah. Dengar pendapatnya dan ajar bagaimana untuk meminta dengan sopan, bukan dengan menjerit. Jelaskan bahawa sesetengah perkara yang dia mahukan tidak boleh dipenuhi dan minta dia cadangkan alternatif. Contohnya, tanya “Awak tidak boleh tonton filem malam ini, tapi apa yang awak mahu buat selepas makan malam?” - Ajar anak anda tentang akibat
Pastikan anak anda tahu bahawa kelakuannya boleh mendatangkan akibat tertentu. Ini perlu konsisten dan segera supaya dia boleh belajar. Contohnya, jika dia enggan mengemas, jelaskan bahawa mainannya akan disimpan sepanjang hari tersebut. Pastikan anda melaksanakannya dengan lemah lembat tapi tegas.
Tantrum: boleh dan jangan
| Boleh | Jangan |
|---|---|
|
|
