Pengasuhan Positif

Dari Pandemik ke Endemik

Bagi ramai orang, tahun 2020 mungkin merupakan kali pertama kita diperkenalkan dengan istilah-istilah epidemiologi, seperti “pandemik”, “epidemik”, serta “endemik”, apabila COVID-19 mula menyebarkan kesan buruknya ke seluruh dunia. Anda mungkin faham secara kasar bahawa istilah-istilah ini merujuk kepada penyakit berjangkit, namun apakah maknanya yang sebenar dan apakah beza antara istilah-istilah ini?

Pandemik, epidemik, atau endemik?

“Pandemik”, “epidemik”, dan “penyakit endemik” didefinisikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan kadar penyebaran penyakit. Apa yang menjadikan epidemik dan pandemik berbeza bukanlah keterukan penyakit tersebut, tapi skala penyebarannya. Maka, pandemik tidak semestinya lebih teruk daripada epidemik atau penyakit endemik. Pandemik sememangnya berpotensi lebih besar untuk mencetuskan gangguan sedunia, namun ini bergantung pada penyakit tersebut dan bagaimana kita menanganinya secara bersama.

Berikut maksud istilah-istilah ini:

Endemik: Suatu penyakit endemik sentiasa ada di wilayah atau populasi tertentu dengan kadar prevalens yang agak stabil. Oleh itu, penyebaran penyakit tersebut boleh dijangka. Antara contohnya:

  • Malaria adalah endemik di beberapa bahagian di Afrika kerana suhu yang lebih tinggi
  • Demam denggi adalah endemik di wilayah tropika dan subtropika seperti Malaysia
  • Hepatitis B adalah endemik di seluruh dunia, dengan kadar endemik lebih tinggi di Afrika dan Asia

Epidemik: Suatu epidemik ialah peningkatan kes penyakit secara mengejut dan mendadak pada paras lebih tinggi daripada jangkaan normal di wilayah atau populasi tertentu. Ia boleh berlaku apabila satu penyakit baru muncul dalam populasi atau apabila penyakit endemik muncul lebih kerap. Suatu penyakit epidemik tidak semestinya berjangkit dan boleh merujuk kepada penyakit atau masalah kesihatan lain dengan prevalens yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam populasi. Antara contohnya:

  • Epidemik virus Zika di Brazil (2015-2016)
  • Epidemik virus Ebola di Afrika Barat (2014-2016)
  • Epidemik opioid di US akibat peningkatan penggunaan opioid dan kes dos berlebihan dalam dekad yang lepas

Pandemik: Suatu pandemik berlaku apabila satu penyakit merentas banyak negara atau benua, lalu memberi kesan ke atas sejumlah besar manusia. Suatu penyakit boleh diumumkan sebagai pandemik jika ia tersebar dengan kadar yang pantas, serta lebih banyak kes baru dilaporkan setiap hari. Epidemik yang sedang berlaku boleh bertukar menjadi pandemik jika ia tersebar di luar wilayah atau populasi asalnya. Ciri-ciri patogen, keimunan populasi, atau keterukan penyakit tidak berperanan dalam menentukan sama ada suatu penyakit adalah pandemik atau tidak. Antara contohnya:

  • Pandemik COVID-19 disebabkan SARS-CoV-2 (2020-2022)
  • Pandemik flu babi disebabkan virus influenza H1N1 (2009)
  • Pandemik Influenza Besar (juga dikenali sebagai flu Sepanyol) disebabkan oleh virus influenza H1N1 (1918-1920)

Istilah penting lain

Terdapat istilah lain yang digunakan untuk menjelaskan penyebaran penyakit dalam populasi:

  • Sporadik: Apabila penyakit berlaku sekali-sekala atau jarang-jarang. Ini termasuklah tetanus yang biasanya hanya terjadi pada individu yang tidak divaksin atau penyakit bawaan makanan seperti jangkitan Salmonella atau coli.
  • Hiperendemik: Apabila penyakit berada pada paras lebih tinggi secara berterusan dalam suatu populasi berbanding populasi lain. Contohnya, di sesetengah tempat di Afrika, sehingga satu daripada lima orang dewasa menghidap HIV, maka penyakit ini dianggap hiperendemik di tempat tersebut.
  • Kluster: Apabila penyakit berlaku pada kadar yang lebih tinggi dalam populasi, namun punca yang tepat atau bilangan kes sebenar mungkin tidak jelas. Contohnya, kluster kes barah yang muncul selepas kejadian pencemaran kimia atau kemalangan loji nuklear.
  • Wabak: Mempunyai makna yang sama seperti epidemik tapi biasanya digunakan untuk menerangkan penyebaran penyakit yang lebih terhad secara geografinya.

Adakah COVID-19 telah menjadi endemik?

Soalan ini telah banyak ditanya sejak dunia mula membuka semula pintunya selepas pandemik COVID-19.  Bagi menjawab soalan ini, kita perlu memahami apakah maknanya jika COVID-19 menjadi endemik? Apabila COVID-19 memasuki fasa endemik, ia akan terus berada pada satu tahap atau trend tertentu yang boleh diramal dalam populasi. Contoh terdekat ialah influenza, yang biasanya berada pada tahap yang boleh diramal sepanjang tahun di Malaysia.

Namun, menjadi endemik tidak semestinya satu hal yang baik kerana penyakit ini masih mempunyai kesan yang teruk ke atas pesakit. Selain itu, penyakit endemik juga berkemungkinan untuk bertukar menjadi pandemik semula. COVID-19 tidak lagi dikategorikan sebagai pandemik dan dijangka menjadi endemik tidak lama nanti. Namun para pakar berbelah bahagi dalam menentukan sama ada COVID-19 telah pun menjadi endemik kerana masih terdapat beberapa ketidakpastian dengan SARS-CoV-2.

Walau bagaimanapun, pemantauan dan kewaspadaan berterusan perlu bagi mencegah berlakunya pandemik lain. Selain daripada amalan kebersihan peribadi, pengambilan dos penggalak COVID-19 juga sebahagian daripada langkah pencegahan yang disarankan kepada semua orang, terutamanya kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua dan invididu dengan masalah kesihatan atau sistem imun yang lemah. Sama ada endemik, epidemik atau pandemik, marilah kita sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan kita!

Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi, dan
Dr Husna Musa, Pakar Pediatrik

Langgani surat berita pengasuhan kami.