Pengasuhan Positif

Keselamatan Kebakaran Menyelematkan Nyawa

Sejak kebelakangan ini, kejadian kebakaran bangunan dilaporkan dalam berita semakin meningkat. Baru-baru ini terdapat sebuah sekolah agama di Kuala Lumpur terbakar dan meragut 23 nyawa. Walaupun kebakaran amat menakutkan, tidak ramai ibu bapa memberi penekanan terhadap kesedaran keselamatan kebakaran.

Kajian dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia pada 2016 menyatakan hanya satu dalam tiga ibu bapa benar-benar mengajar anak mereka tentang keselamatan kebakaran. Statistik ini amat mengejutkan kerana ini bermakna orang ramai masih tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran atau bagaimana untuk mencegahnya.

Mencegah kebakaran

Tidak dapat dinafikan bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubat. Oleh itu, di bawah adalah senarai langkah-langkah pencegahan kebakaran di rumah anda.

Alat-alat Keselamatan: Setiap rumah harus dilengkapi dengan alat pemadam api yang telah disijilkan. Ia perlu diselenggara dan diperiksa setiap tahun oleh syarikat perlindungan kebakaran. Setiap orang perlu mempelajari cara penggunaan alat pemadam api kerana anda tidak tahu bila dan di mana kebakaran akan berlaku. Sentiasa ingat PASS – Pull (Tarik) pin pada pemegang, Aim (Acukan) muncung alat ke pangkal api, Squeeze (semburkan) muncung alat dari sisi ke sisi. Lagi satu alat penting ialah memasang pengesan asap di bilik dan/atau ruang koridor. Alat ini mengesan asap dan akan mencetuskan penggera, membolehkan anda mengambil tindakan wajar sebelum terlambat. Alat pengesan asap perlu diuji setiap bulan bagi memastikan baterinya berfungsi. Alat pengesan asap yang baterinya mati sudah pasti akan gagal tujuan menyelamatkan nyawa anda daripada kebakaran.

Bahaya di Dapur: Jangan tinggalkan dapur tanpa pengawasan semasa memasak dan pastikan anda padamkan api dapur dan alat memasak yang lain (contohnya periuk nasi, ketuhar) setelah selesai memasak. Jika anda menggunakan dapur gas, jangan letak sebarang kuali atau periuk panas di atas tangki gas ganti.

Litar Pintas: Litar pintas merupakan penyebab utama kebakaran rumah di Malaysia. 934 kes kebakaran di negara ini berpunca daripada litar pintas dan peralatan elektrik yang rosak. Oleh itu, padam dan tanggalkan palam (plag) peralatan elektrik (contohnya, pengering rambut, alat kerinting rambut, seterika baju) selepas digunakan. Jangan biarkan telefon atau komputer riba dicaj semalaman juga. Jika anda benar-benar perlu melakukannya, pastikan ia tidak diletakkan atas katil atau berdekatan dengan bahan mudah terbakar. Jangan masukkan plag berlebihan dalam kord pemanjang atau soket. Periksa juga kabel peralatan dengan kerap untuk mengesan tanda-tanda kerosakan dan gantikan wayar berjurai.

Rancangan Menyelamatkan Diri: Bincang dengan keluarga anda tentang laluan keluar untuk menyelamatkan diri dan lakukan latihan kecemasan kebakaran bersama-sama. Nasihatkan ahli keluarga anda agar tidak menghalang laluan keluar dengan halangan seperti permainan, kabinet kasut dan peralatan berkebun. Pastikan semua ahli keluarga tahu di mana kunci rumah, kad kunci dan kunci pintu belakang disimpan. Simpan semua kunci di tempat mudah dicapai, seperti di ruang tamu. Bagi tingkap berjeriji, pastikan kunci disimpan berdekatan atau di dalam setiap bilik. Juga dinasihatkan agar semua jeriji menggunakan kunci yang sama untuk menyelamatkan diri dengan cepat. Tetapi sekiranya anda tidak dapat mencari kunci dalam keadaan kecemasan, gunakan objek berat seperti perabot untuk memecahkan pintu atau tingkap untuk keluar.

Mengendalikan kebakaran

Kadang-kala, kemalangan tetap berlaku walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil. Oleh itu, kita perlu mengetahui cara mengendalikan keadaan kecemasan dengan cepat dan tenang.

Ketahui Jalan Keluar Anda: Sekiranya berlaku kebakaran, langkah utama adalah untuk keluarkan keluarga dan diri anda dari bahaya. Segera beritahu semua orang untuk meninggalkan bangunan. Jangan berlengah dengan cuba untuk menyelamatkan barang berharga atau haiwan kesayangan, ataupun cuba menyiasat punca kebakaran kerana api boleh merebak dengan pantas. Walaupun anda takut, jangan bersembunyi di bawah katil atau dalam almari kerana api masih merebak. Sentiasa gunakan tangga kerana lif boleh rosak disebabkan api. Sentiasa kekal tenang dan selamatkan diri menggunakan laluan keluar yang telah dirancang.

Terperangkap!: Jika anda terperangkap dalam bangunan tinggi dan laluan keluar untuk menyelamatkan diri terhalang, pergi ke bilik yang mempunyai tingkap dan pastikan kehadiran anda diketahui oleh pasukan penyelamat dengan mengibarkan pakaian atau tuala melalui tingkap. Jika terperangkap dalam bangunan bertanah, pergi ke bilik yang mempunyai tingkap dan pecahkannya dengan objek berat, lalu keluar dari tingkap. Anda boleh melengahkan api dan asap daripada marak ke dalam bilik dengan menutup ruang bawah pintu menggunakan selimut tebal atau pakaian.

Kecemasan dan Keselamatan: Ajar anak anda nombor perkhidmatan kecemasan iaitu 999. Ajar mereka juga agar tidak menyalahgunakan talian kecemasan. Hubungi nombor tersebut hanya jika terdapat kecemasan sebenar. Maklumkan pasukan penyelamat jika ada sesiapa yang masih terperangkap dalam bangunan yang sedang terbakar. Jangan cuba untuk masuk semula ke dalam bangunan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap sendiri.

Elakkan Daripada Menyedut Asap: Jika terdapat asap, sentiasa berada seberapa hampir yang boleh dengan lantai kerana ia kurang berasap. Penyebab utama kematian dalam kalangan mangsa kebakaran adalah sedutan asap dan bukan melecur. Sentiasa periksa sama ada terdapat asap di bawah pintu sebelum membukanya kerana ia mungkin penuh asap (dan tombol pintu mungkin panas dan boleh melecur tangan).

Pakaian Terbakar: Sekiranya pakaian anda terbakar, jangan lari kerana ini akan memarakkan api. Ingat untuk ERHENTI, REBAH dan BERGULING. Alternatively, you can also use a jacket or a towel to smother the flames as it cuts off the air (oxygen), putting out the fire.

Petua dan langkah di atas mungkin dapat menyelamatkan nyawa anda semasa kebakaran. Ibu bapa dan anak hendaklah mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan risiko terjadinya kebakaran. Sentiasa bersedia sekiranya berlaku kecemasan. Mula dengan membuat perancangan menyelamatkan diri yang baik dan pastikan ia mudah digunakan pada bila-bila masa. Apabila semua orang mahir tentang isu kebakaran, pengetahuan ini amat berguna apabila kebakaran berlaku di tempat lain seperti di sekolah, bangunan pejabat, dll.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen