Alergi protein susu lembu atau cow’s milk protein allergy (CMPA), merupakan alahan makanan yang lazim di kalangan bayi dan kanak-kanak dan kekerapannya setanding dengan kekerapan di negara Barat.
Ia berlaku apabila tubuh seorang bayi atau kanak-kanak bertindak balas secara hipersensitif terhadap protein susu lembu. Dianggarkan sekitar 2%-7.5% bayi menghidapi CMPA. Bahkan bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif dan menghidapi CMPA juga akan mengalaminya kerana protein susu lembu boleh sampai kepada bayi melalui susu ibu – dalam keadaan demikian, ibu yang perlu mengelakkan susu lembu dalam dietnya.
CMPA boleh terbentuk sejak tempoh neonatal, tapi trendnya memuncak menjelang umur satu tahun dan biasanya hilang sendiri dalam lingkungan umur 3-4 tahun. Kadar anak anda pulih daripada CMPA dianggarkan antara 45%-50% bagi kanak-kanak berusia satu tahun, 60%-75% bagi kanak-kanak umur dua tahun, dan 85%-90% bagi kanak-kanak umur tiga tahun. Bagaimanapun, terdapat kes di mana CMPA berterusan sehingga remaja.
Mengesan CMPA
Memandangkan gejala dan simptom dikaitkan dengan CMPA adakalanya tidak berapa jelas, anda harus memantau bayi anda dengan rapi. Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu beri perhatian:
Mendiagnosis CMPA
Kaedah paling lazim digunakan untuk mendiagnos CMPA dengan tepat adalah dengan mengelakkan makanan yang mengandungi protein susu lembu dalam diet bayi anda. Sekiranya dia diberi susu ibu secara eksklusif dan belum mula makanan pelengkap, maka diet penyisihan juga harus dilakukan kepada ibu yang menyusukan bayi.
Ini menyingkir semua sumber protein susu lembu daripada diet ibu untuk mencegah sebarang protein susu lembu dalam dietnya daripada sampai kepada bayi melalui susu ibu. Jika simptomnya pulih, maka makanan yang mengandungi protein susu lembu boleh diperkenalkan semula untuk melihat jika tindak balas berulang.
Ini hendaklah dilakukan di bawah bimbingan profesional kesihatan kerana pengetahuan mencukupi tentang cara menjalankan diet penyisihan tersebut adalah kritikal untuk ia berjaya. Mereka lebih mahir untuk menasihati anda tentang perkara penting seperti pendedahan tidak sengaja dan cemar silang (contohnya, peralatan yang dikongsi, cawan, atau pinggan), dan juga tentang perkara yang perlu diberikan perhatian apabila membeli produk makanan.
Namun, jika simptom bayi anda tidak bertambah baik setelah diet penyisihan dilakukan, pakar kanak-kanak perlu menjalankan beberapa ujian diagnostik untuk mencari puncanya.
Tahukah anda?
Makanan yang mengandungi susu lembu termasuk (tetapi tidak terhad kepada) makanan seperti mentega, susu mentega, keju krim, laktosa, susu (sejat, tepung, pekat), krim, tairu, ghee, dadih, dan juga produk makanan yang mengandungi whey atau whey pepejal, pepejal susu, whey terhidrolisis, tepung whey, atau yogurt. Memandangkan pengeluar makanan boleh menukar ramuan yang mereka guna pada bila-bila masa, pastikan anda memeriksa senarai ramuan sebelum anda membeli sebarang produk.
Oleh kerana makanan hasil tenusu adalah sumber kalsium yang terbaik, anda perlu mengambil makanan lain yang kaya dengan kalsium seperti sardin dalam tin, ikan bilis, kacang dan hasil kacang (contohnya, kacang dhal), tauhu, tempe, dan sayur seperti bayam, selada air, sawi, cekur manis, pucuk ubi, kailan dan brokoli. Anda juga boleh memilih bijirin sarapan, biskut ataupun beras yang diperkaya dengan kalsium. Jika anda ingin mengambil suplemen pula, berjumpa dengan profesional kesihatan untuk mengetahui apa yang disyorkan.
Ujian klinikal
Sebaliknya, doktor anda juga boleh memilih untuk melakukan ujian klinikal.
- Ujian darah (ujian radioallergosorbent, atau RAST) – ujian ini digunakan untuk mencari alergen dan boleh digunakan untuk memeriksa antibodi protein susu yang dikenali sebagai Imunoglobulin E (IgE). Bagaimanapun, jika bayi anda menghidapi CMPA bukan IgE, ujian ini akan memberi hasil negatif.
- Ujian cucuk kulit atau Skin Prick Test (SPT) – satu titis kecil yang mengandungi allergen disyaki diletakkan pada kulit dan kemudian digaru atau dicucuk dengan jarum. Jika satu bintat timbul, iaitu kulit bertukar menjadi merah dengan kawasannya timbul dan gatal, ini adalah tindak balas positif dan bererti bayi anda mungkin alergik kepada alergen tersebut bergantung kepada terdapatnya simptom dan tanda-tanda klinikal yang positif.
Ambil perhatian bahawa ada kemungkinan alergi muncul sama ada sebagai satu jenis alergi yang khusus, atau gabungan alergi IgE dan bukan -IgE.
Anafilaksis
Anda mungkin pernah dengar tentang anafilaksis, atau kejutan anafilaktik. Ia merupakan keadaan di mana tubuh pesakit memberi tindak balas yang teruk, dan mungkin mengancam nyawa terhadap alergen yang khusus, termasuk tetapi tidak terhad pada CMPA. Keadaan in tidak terikat pada CMPA sahaja.
Mujur, tidak semua pesakit CMPA menghidapi anafilaksis. Namun begitu, hampir 9% daripada pesakit CMPA mungkin mengalami anafilaksis, maka pastikan anda mengawasi bayi atau anak kecil anda, terutama jika anda mensyaki dia mungkin menghidap CMPA. Sekiranya tubuh anak anda memberi tindak balas teruk terhadap alergen (dalam kes ini, susu protein lembu), ia harus dikendalikan sebagai kecemasan perubatan.
Tindak balas alergik tersebut cenderung menjadi teruk dan serta merta, dan lebih daripada satu organ boleh terkesan. Ia adalah simptom yang serius dan berpotensi mengancam nyawa kerana ia boleh menyempitkan saluran pernafasan atau membengkak dan menutupnya, atau juga menjadi punca tekanan darah menurun dan menyebabkan kejutan.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia
Komen