Pengasuhan Positif

Pemakanan Sihat Menjamin Imuniti

Pemakanan yang sihat memastikan badan anak anda mendapat kesemua pemakanan yang diperlukan. Ia amat penting kerana pemakanan salah merupakan salah satu punca utama berlakunya kekurangan daya imuniti badan. Hal ini boleh mengakibatkan sistem imun badan menjadi lemah dan seterusnya menjadikan badan seseorang terdedah kepada jangkitan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaitkan pemakanan salah dengan 45% daripada kematian kanak-kanak di seluruh dunia memandangkan sistem imun badan yang lemah menyebabkan mereka kurang berupaya untuk menangani penyakit serius.

Kecuaian dalam memberikan pemakanan yang sepatutnya kepada anak anda akan melemahkan imuniti badan mereka, dan seterusnya menyebabkan mereka senang untuk demam dan jatuh sakit. Mendapat pemakanan yang lengkap membantu meningkatkan daya imuniti badan utama yang bertanggungjawab melawan bakteria dan virus. Membina sistem imun badan yang kukuh akan membantu menghalang anak anda daripada terdedah kepada penyakit berjangkit. Hasilnya, jumlah cuti sakit untuk kanak-kanak yang bersekolah akan berkurang memandangkan mereka tidak mudah jatuh sakit. Hal ini secara tidak langsung menyenangkan ibu bapa yang bekerja kerana mereka tidak perlu memohon cuti untuk menjaga anak mereka.

Berikan Semua Kumpulan Makanan Setiap Hari

Pemakanan lengkap bermaksud memberikan anak anda makanan sihat, seimbang, dalam kuantiti sederhana mengikut saiz sajian yang disarankan, serta kepelbagaian untuk memenuhi keperluan badannya. Tiada sejenis makanan, minuman atau kumpulan makanan tertentu yang mampu memberikan semua keperluan pemakanan yang diperlukan oleh badan. Sebaliknya, kesemua makanan dalam piramid makanan diperlukan untuk membina sistem imun badan yang kuat.

Aras bawah piramid makanan terdiri daripada makanan seperti nasi, mi, gandum, bijirin dan ubi. Ini merupakan sumber tenaga penting, lebih-lebih lagi makanan bijirin penuh yang mengandungi banyak serat dan fitonutrien yang diperlukan badan. Dengan memastikan anak anda mendapat kesemua pemakanan dan tenaga yang diperlukan badan, anda akan dapat membantu merangsang sistem imun badannya ke tahap yang lebih baik. Bagaimanapun, jangan galakkan anak anda mengambil makanan yang tinggi tenaga tetapi kurang bernutrien (energydense) seperti makanan/minuman yang tinggi gula dan makanan bergoreng.

Aras kedua piramid makanan adalah buah-buahan dan sayur-sayuran yang merupakan sumber antioksidan, fitokimia, vitamin dan mineral. Vitamin C dalam buah-buahan dan sayur-sayuran boleh meningkatkan daya imun badan, seterusnya membantu mengelakkan penyakit seperti demam dan selesema. Vitamin C juga membantu mempercepatkan masa pulih daripada demam.

Daging, ikan, hasil laut, ayam dan produk tenusu pula merupakan kumpulan makanan di aras ketiga piramid makanan. Kesemuanya merupakan sumber protein, zink dan zat besi (ferum) yang memainkan peranan penting dalam sistem imun badan.Protein bertanggungjawab menghasilkan antibodi – komponen utama sistem imun badan. Ia membantu badan melawan bakteria dan virus, serta menghalang jangkitan. Sistem imun badan menghasilkan pelbagai antibodi yang berbeza untuk melawan bakteria tersebut. Badan memerlukan zink untuk menghasilkan sel darah putih bagi melawan jangkitan, dan zat besi untuk meningkatkan daya imun badan. Hasilnya, kecenderungan kepada penyakit berjangkit akan berkurang (seperti cirit-birit, jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia). Organ dalaman seperti hati ayam kaya dengan vitamin A, dan mengikut beberapa laporan, kekurangan vitamin A boleh menyebabkan kekerapan berlaku pelbagai jenis jangkitan serta peningkatan tahap ketenatan.

Produk tenusu yang juga merupakan kumpulan makanan di aras ketiga piramid makanan merupakan sumber kalsium dan vitamin D– kedua-duanya penting untuk mengawal tindakbalas imuniti badan mengawal tindakbalas imuniti badan Mineral lain seperti magnesium yang terdapat dalam susu dan produk tenusu, berkait rapat dengan kedua-dua tindak balas imuniti badan, spesifik dan bukan spesifik yang dikenali sebagai tindakbalas imuniti semulajadi dan diperolehi.

Piramid Makanan Malaysia merupakan panduan berguna untuk membantu anda merancang jumlah makanan setiap kumpulan makanan yang perlu anak anda makan pada setiap hari. Secara amnya, lebihkan makanan di aras bawah piramid makanan dan kurangkan makanan di aras atas. Dengan ini, anda akan dapat memastikan anak anda mendapat kesemua pemakanan yang diperlukan oleh badannya untuk sistem imun badan yang lebih baik.

Tabiat Pemakanan Baik

Terdapat beberapa tabiat pemakanan lain yang harus diajar dan dipraktikkan ke dalam diri anak anda untuk meningkatkan kesihatan dan imuniti badannya.

  • Minum air secukupnya pada setiap hari: Minum sebanyak 8 gelas air kosong setiap hari (lebih banyak jika cuaca panas, atau jika dia terlibat dengan aktiviti fizikal) Air adalah sangat penting kerana badan (dan sistem imun badan) memerlukannya untuk berfungsi dengan baik.
  • Mengambil makanan yang kaya dengan probiotik secukupnya setiap hari: Probiotik atau bakteria baik adalah amat penting untuk membantu mengekalkan kesihatan sistem penghadaman dan imuniti badan. Probiotik boeh didapati dalam makanan seperti yogurt, minuman susu kultur, keju, tempeh atau hum choy cina.
  • Aktif setiap hari: Masa sekurang-kurangnya 60 minit hendaklah diperuntukkan untuk melakukan aktiviti fizikal sederhana (berjalan pantas, berenang, sukan luar seperti badminton, lompat tali, berbasikal) yang bukan sahaja dapat memastikan badan anak anda sihat tetapi juga merangsang sistem imun badannya.
  • Mendapatkan tidur yang cukup: Kekurangan tidur bukan hanya menyebabkan kemerosotan prestasi kognitif dan masalah tingkah laku, tetapi ia juga boleh melemahkan sistem imun badan. Kanak-kanak di dalam lingkungan umur 6-13 tahun yang bersekolah memerlukan sebanyak 9-11 jam waktu tidur.

Dengan mempraktikkan kesemua petua di atas, anda pastinya akan dapat meningkatkan tahap imuniti badan anak anda. Ingatlah bahawa pemakanan yang sihat merupakan langkah pertama untuk membina sistem imun badan mereka. Namun, ia bukanlah satu-satunya aspek yang perlu ditekankan untuk mendapatkan gaya hidup sihat, sebaliknya anda haruslah menggunakan pendekatan yang holistik dengan menggabungkan kesemua aspek gaya hidup sihat yang lain.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen