Memakan makanan segar selalunya dianggap sebagai pilihan yang lebih sihat. Panduan Diet Malaysia juga menyarankan agar makanan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan makanan laut disertakan ke dalam diet harian kita.
Gaya hidup kini yang sibuk menyukarkan ramai ibu bapa yang bekerja untuk memakan makanan segar setiap hari. Makanan proses akan tetap menjadi sebahagian daripada diet kita. Bagi beberapa makanan seperti bijirin (beras, oat, gandum) dan susu, pelbagai kaedah pemprosesan perlu dijalani untuk mengekalkan hayat simpanannya sebelum sampai kepada pengguna.
Segar dari ladang
Dalam memilih makanan segar, kita perlu mengambil berat terhadap beberapa faktor seperti sama ada ia mudah rosak atau tercemar. Jangan anggap bahawa semua makanan segar bebas daripada pencemaran kerana pencemaran makanan boleh berlaku di mana-mana empat bahagian berikut sebelum ia sampai ke tangan pengguna.
Bahagian pertama ialah semasa penghasilan. Terdapat keskes di mana bahan pencemar (contohnya, wabak penyakit) menjejaskan tanaman atau haiwan. Dalam keadaan di mana makanan ditangkap atau diternak seperti ikan, terdapat kes di mana paras raksa yang tinggi direkodkan. Ini menyebabkan seluruh hasil tangkapan tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia.
Bahagian kedua ialah semasa penyimpanan. Risiko pencemaran dan kerosakan boleh terjadi apabila makanan segar tidak disimpan dengan sempurna, terutama pada suhu yang betul atau apabila ia terdedah kepada perosak seperti lipas atau tikus.
Bahagian ketiga ialah semasa pengagihan makanan segar sampai dibeli oleh pengguna. Sekali lagi, faktor persekitaran seperti perbezaan suhu atau pendedahan kepada habuk dan bahan pencemar ketika mengangkut makanan yang mudah rosak boleh menyumbang kepada risiko pencemaran dan kerosakan.
Akhir sekali ialah cara penyediaan yang salah (sama ada melalui kebersihan atau amalan tidak bersih) semasa mengendalikan makanan boleh juga menyebabkan pencemaran.
Tahukah anda?
Penyakit-penyakit bawaan makanan biasanya berlaku dalam tempoh tiga hari selepas memakan makanan tercemar, tetapi ia juga bergantung kepada tahap pencemaran makanan tersebut. Tubuh anda mungkin menunjukkan simptom dalam tempoh 20 minit atau selewat-lewatnya enam minggu kemudian. Simptom lazim termasuk sakit abdomen, cirit birit, muntah-muntah dan simptom seakan-akan flu (contohnya, demam, sakit kepala dan sakit badan).
Memilih makanan segar secara selamat
Kemungkinan makanan segar tercemar tidak harus menghalang anda daripada memakan makanan segar. Terdapat beberapa panduan tentang bagaimana untuk memilih makanan segar secara selamat dan mengelak daripada termakan makanan tercemar. Makanan tercemar adalah punca kepada penyakit-penyakit bawaan makanan seperti jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, virus, atau parasit serta keracunan disebabkan oleh toksin dan bahan kimia berbahaya.
Makanan segar tidak terbatas kepada buah-buahan dan sayur-sayuran sahaja. Ia merangkumi daging, ayam, telur dan makanan laut juga. Berikut adalah beberapa panduan yang anda boleh ikuti agar dapat memilih, menyimpan dan menyediakan makanan segar secara selamat.
1. Pilih dengan Betul
- Pilih buah dan sayur yang tidak rosak dan tidak kering, lebam atau rosak. Pastikan tiada perubahan warna, tidak berbau busuk dan bebas daripada perosak seperti serangga. Ia harus kelihatan bersih dan segar.
- Bagi makanan segar berbungkus atau siap dipotong seperti buah, pilih hanya yang disimpan di dalam peti sejuk atau di atas ais.
- Apabila memilih makanan laut segar, ia tidak seharusnya berbau hancing atau busuk. Bagi ikan, matanya harus jernih dan tidak tenggelam, isi ikan harus pejal dan kenyal, serta insangnya harus berwarna merah cerah dan tidak berlendir. Udang harus berkilat, lut cahaya dan tidak berbau busuk. Ketam harus dibeli hidup kerana cepat rosak.
- Daging dan ayam yang baharu disembelih, harus mempunyai isi yang pejal dan kenyal. Elakkan daripada membeli daging atau ayam yang berbau busuk dan melekit atau berlendir apabila disentuh. Jika daging atau ayam mempunyai ciri-ciri tersebut, ia tidak harus dibeli atau diguna untuk memasak (contohnya, jika anda membeli daging terlebih awal dan tidak menyimpannya dengan sempurna, ia boleh menjadi melekit atau berlendir apabila disentuh).
- Pilih telur yang tidak retak dan kulitnya bersih. Jangan beli telur yang telah tamat tempoh dan berbau busuk.
- Simpan buah dan sayur segar anda berasingan daripada daging, ayam, makanan laut yang mentah – peraturan ini perlu sentiasa digunakan, sama ada semasa anda membawa pulang dari pasar atau semasa menyimpan di dalam peti sejuk atau penyejuk beku.
2. Simpan dengan Betul
- Buah dan sayur segar harus disimpan di dalam peti sejuk yang bersih dan suhunya dipelihara pada 4°C atau ke bawah. Anda boleh periksa suhu dengan menggunakan termometer.
- Pastikan bahawa semua makanan segar berbungkus dan siap dipotong disimpan di dalam peti sejuk. Anda mungkin memilih untuk mengalihnya ke dalam bekas yang boleh ditutup.
- Sentiasa pastikan bahawa makanan mentah disimpan berasingan daripada makanan yang telah dimasak. Juga, sentiasa pastikan sayur dan buah disimpan berasingan daripada daging, ayam, atau makanan laut mentah.
- Berikan lebih perhatian jika anda menyahbeku daging, ayam atau makanan laut mentah di dalam peti sejuk untuk memastikan ia tidak mencemari mana-mana buah, sayur atau makanan lain yang berada di dalam peti sejuk.
- Simpan telur yang tidak dimasak serta-merta di dalam peti sejuk dan jangan biarkan telur di luar peti sejuk melebihi dua jam untuk ‘dinyahbekukan’. Kondensasi yang terbentuk akan menggalakkan pembiakan bakteria atau membolehkan bakteria masuk ke dalam telur.
3. Sediakan dengan Betul
- Basuh tangan anda dan semua peralatan dapur (pisau, kayu pemotong, dll) yang digunakan untuk menyediakan makanan.
- Basuh makanan mentah dengan sempurna di bawah air mengalir. Disarankan agar sayur segar direndam sebentar di dalam air untuk menanggalkan sisa-sisa fizikal seperti pasir dan batu kecil sebelum membasuhnya sekali lagi di bawah air mengalir. Elak daripada menggunakan sabun atau bahan pencuci apabila membasuh makanan mentah.
- Guna pisau dan kayu pemotong yang khusus untuk buah dan sayur dan satu set lagi untuk daging ayam dan makanan laut mentah.
- Potong dan buang sebarang bahagian yang rosak atau lebam pada buah dan sayur dan buang jika ianya kelihatan busuk.
- Buah dan sayur segar yang akan dikupas harus dibasuh juga kerana ini menghalang kotoran dan bakteria daripada mencemari mana-mana permukaan tempat anda bekerja.
- Guna berus yang lembut untuk membersihkan ubi-ubian seperti kentang dan lobak putih.
Sesuai untuk dimakan oleh manusia
Ingat, anda harus makan makan segar seberapa kerap yang boleh. Anda tidak perlu mengetepikan sepenuhnya makanan proses atau makanan berbungkus daripada diet anda. Dengan kemajuan teknologi, makanan proses kini diperkayakan dengan vitamin dan mineral tambahan yang boleh memenuhi keperluan pemakanan harian anda.
Buah dan sayur sejuk beku juga boleh menjadi pilihan sihat kerana proses pembekuan mengekalkan paras nutrien yang tinggi, terutama jika ia dibekukan semasa segar. Oleh yang demikian, anda dinasihatkan agar memasukkan lebih banyak makanan segar ke dalam diet harian dan menyeimbangkannya dengan makanan proses atau makanan sejuk beku lain.
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen