Pengasuhan Positif

Memupuk Kemahiran Insaniah dalam kalangan Remaja: Semuanya Bermula di Rumah…

Tempat terbaik bagi anak anda mula mengasah kemahiran insaniahnya adalah di rumah. Jangan lupa, seorang kanak-kanak biasanya belajar dengan mencontohi orang di sekelilingnya, oleh itu peranan keluarga adalah penting dalam membentuknya. Dia akan belajar apakah tingkah laku yang dijangkakan dan anda boleh mengambil inisiatif untuk mengajar dia tentang peraturan tersirat yang tidak tertulis tapi diamalkan kerana akal budi.

Seterusnya, pengetahuan ini akan banyak membantu anak/remaja anda semasa dia di kolej dan kemudiannya, apabila dia menjadi orang dewasa yang bekerja. Mempunyai kemahiran insaniah yang diperlukan akan memudahkan dia berintegrasi bukan sahaja dengan rakan sebaya, tetapi juga dengan kumpulan umur dan personaliti lain yang dia temui.

Pra-remaja

Jika belum terlambat, mulakan dengan anak kecil anda. Berikut adalah beberapa kaedah berguna yang anda boleh amalkan di rumah:

  • Main permainan sebagai satu keluarga: tidak kira sama ada permainan papan/kad (contohnya, congkak, Uno, Old Maid, Monopoli, dll) atau sukan (contohnya, badminton, bola keranjang, pingpong, dll). Ia mungkin tidak begitu ketara, namun permainan papan/kad membantu mengajar anak anda tentang bekerjasama, mengambil giliran, mengikut arahan, mengawal emosi, dan mempelajari pengetahuan dan kemahiran baharu.
  • Galakkan anak anda untuk bertutur dengan jelas: guna telefon pintar anda untuk merakam anak anda menerangkan sesuatu (contohnya, sesuatu yang dia gemar seperti membaca atau bermain permainan komputer). Tonton rakaman tersebut bersama-sama dan berikan maklum balas perkara yang dia lakukan dengan baik dan apa yang dia boleh perbaiki.
  • Berbicara tentang filem-filem: setelah menonton tayangan TV atau filem, luangkan sedikit masa untuk berbincang mengenainya. Anda boleh kaitkan kejadian yang membawa kepada tindakan watak-watak di dalam filem, cara mereka mengendalikan emosi (contohnya marah, sedih, dll), sama ada ia wajar (atau tidak), dan berkongsi strategi bagaimana anak anda harus mengendalikan emosinya berkaitan filem tersebut, contohnya bertenang dengan mengambil nafas yang dalam dan hitung sehingga sepuluh.
  • Hello, ini saya: ajar anak anda etika mengguna telefon yang bersesuaian (contohnya, mengenalkan diri apabila membuat panggilan, bagaimana meninggalkan pesanan, dan juga cara membuat panggilan). Beberapa perkara yang anda perlu beritahu kepada anak anda ialah bila untuk memanggil atau TIDAK memanggil nombor kecemasan, dan apa yang perlu dikatakan apabila membuat panggilan.
  • Selok belok privasi: ajar anak anda tentang batasan, ruang persendirian dan privasi. Apa yang mereka harus fahami ialah konsep menghormati. Bukan sahaja pada dirinya sendiri tetapi juga terhadap orang lain. Dalam dunia sebenar, ini diterjemahkan kepada perkara-perkara kecil seperti mengetuk pintu dan meminta kebenaran untuk masuk bilik orang lain. Di sini, pintu mewakili ‘batas’ yang mengasingkan ruang yang dikongsi bersama (bilik/koridor luar) daripada ruang persendirian (contohnya, bilik atau pejabat orang lain). Mengetuk pintu dan meminta kebenaran juga adalah tanda menghormati privasi orang lain. Jika anak anda memahaminya, dia akan mudah mesra dengan orang lain.

Tip-tip untuk ibu bapa yang mempunyai anak kecil

  • Baca kepada mereka: cerita paling baik ialah cerita yang melibatkan emosi/perasan. Pastikan anda berbincang bersama mereka agar mereka memahami konsep yang terlibat.
  • Bawa mereka keluar berjalan: Ini membantu memperkenalkan kepada mereka konsep kerja berpasukan/kolaborasi.
  • Beri mereka kerja rumah: ini menggalakkan rasa tanggungjawab dan membolehkan anak anda rasa yang dia menyumbang sebagai ahli keluarga.
  • Ajar mereka untuk memahami perasaan orang lain: ajar anak anda tentang kepentingan bersikap empati terhadap orang lain dan berasa simpati.
  • Bergiat secara kreatif: Galakkan anak anda untuk melukis, menyanyi, menari atau menceburi sebarang aktiviti kreatif.
  • Bertolak ansur: kehidupan adalah mengenai imbangan, maka mengajar anak anda tentang bertolak ansur merupakan pembelajaran yang sangat penting. Walaupun permainan mudah seperti dam atau congkak boleh mengajar kanak-kanak tentang unsur-unsur seperti bertolak ansur, mengambil giliran, dan berinteraksi dengan orang lain.
  • Galakkan sifat ingin tahu: secara semula jadinya, semua kanak-kanak memang bersikap ingin tahu, maka anda harus memberi galakan dan membimbing sifat ini dengan cara yang positif. Cuba menjawab semua soalannya, dan jika masanya tidak sesuai, beritahu anak anda bahawa anda akan menjawabnya kemudian. Secara tidak langsung, ia akan mengajar anak anda untuk mengguna sifat ingin tahunya pada masa dan tempat yang sesuai, sebagai contoh, menjawab soalannya semasa menonton filem di panggung wayang akan mengganggu orang lain yang sedang seronok menonton.

Apakah kemahiran insaniah yang anda harus tumpukan di rumah?

Sebagai ibu bapa, anda harus sedar akan kekuatan dan kelemahan anak anda. Dengan membina kekuatannya, anda dapat membantu dia terus berkembang. Pada masa yang sama, kelemahannya tidak harus diabaikan. Di sini, kunci dalam mengendalikan anak anda ialah kasih sayang dan penerimaan. Yakinkan anak anda bahawa anda menyayanginya, tanpa mengira kekuatan dan kelemahannya. Dengan menerima anak anda seadanya, lebih mudah untuk anda berhubung dan membimbing bagi meningkatkan kemahiran insaniahnya.

Beberapa kemahiran insaniah yang anda boleh asah bersama-sama anak/remaja anda termasuk:

  • Kemahiran berkomunikasi: berikut ialah salah satu cara untuk mengguna telefon bimbit anda dengan baik! Membuat rakaman video semasa dia bercakap atau berinteraksi dengan orang lain adalah cara yang baik untuk menunjukkan kepadanya bahawa dia melakukan perkara yang betul atau salah. Pastikan anda memberi dia kritikan yang membina. Jika tidak, ia mungkin berkesudahan sebaliknya. Ia juga cara terbaik bagi dia menyediakan diri untuk memberi ucapan di acara sekolah/majlis, bersiap sedia untuk temu duga (sama ada untuk masuk universiti/kolej atau kerja), atau melakukannya hanya untuk berseronok (beritahu bahawa dia baharu sahaja memenangi anugerah Oscar dan perlu memberi ucapan penghargaan)! Anda boleh menyemaknya bersama-sama kemudian nanti untuk melihat bagaimana dia melakukannya; adakah ucapannya/penyebutannya baik? Adakah dia dapat menyampaikan maksudnya dengan jelas? Bagaimana dengan bahasa gerak gerinya; adakah ia relaks dan yakin? Terdapat banyak faktor seperti riak wajah, postur, penggunaan gerak isyarat untuk memberi tekanan kepada mesej yang hendak disampaikan, dll.
  • Kecekapan bahasa penting: Membaca bukanlah kegiatan masa lapang kegemaran rakyat Malaysia, namun ia semestinya cara paling berkesan untuk membina pembendaharaan kata anak/remaja anda. Jika membaca bukanlah kekuatan anak anda, membaca masih boleh membantu memperbaiki kata perbendaharaannya. Cuba masukkan unsur-unsur keseronokan menggunakan sumber-sumber dalam talian seperti “Perkataan Hari “Ini – buat carian dalam talian dan anda akan menjumpai pelbagai kamus dalam talian yang mempunyai ciri tersebut. Jadikan ia lebih mencabar dengan menyuruh anak anda mengguna perkataan tersebut apabila berbicara dengan anda; apabila anda bersaing, ia akan bertukar menjadi pembelajaran perkataan yang seronok dalam sekelip mata!
  • Bertutur dengan nada dan kelantangan suara yang betul: Galakkan anak/remaja anda untuk mengembangkan suaranya dengan membeza-beza dan mengawal nada, ritma, tempo, timbre, dan kelantangan suara. Ramai orang mengabaikan aspek komunikasi yang mudah tetapi penting ini. Mempunyai kata perbendaharaan adalah baik, tetapi tidak berguna sekiranya anak anda tidak boleh menyampaikan mesejnya dengan berkesan. Ini adalah alat komunikasi yang sangat berguna bagi alam dewasanya. Cuba bayangkan anak/remaja anda pergi ke temu duga kerja dan pada penghujung temu duga dia berkata “Peluang untuk bekerja dengan tuan sangat mengujakan!” – dengan nada suara yang tidak berubah dan bosan!

    Anda mungkin perlu memulakan latihan kawalan kelantangan suara bagi kanak-kanak kecil dahulu, contohnya bila hendak menggunakan suara yang kuat, bila perlu bercakap perlahan, atau kawal diri (bila untuk tidak bercakap). Galakkan anak-anak yang lebih besar untuk membaca cerita kegemaran mereka kepada anda. Anda boleh membantu dengan menjadi ‘suara’ bagi beberapa watak. Anak/remaja anda mungkin berasa bosan dengan semua ini, maka tiba masanya untuk meningkatkan semangatnya – minta anak anda melaporkan aktiviti harian/mingguannya secara oral atau lakonkan situasi dimana anak anda perlu meyakinkan anda supaya memberi kebenaran menggunakan kereta pada hujung minggu. Fikirkan cara-cara berbeza bukan sahaja untuk membuat dia memberi penjelasan, tetapi juga melakukannya dengan berkesan.

  • Berusaha tingkatkan komunikasi bukan lisan: banyak komunikasi hari ke hari kita berbentuk bukan lisan. Kebanyakan kanak-kanak belajar menterjemah tanda-tanda bukan lisan ibu bapa mereka (contohnya, ‘wajah’ yang berkata “Selesaikan kerja sekolah kamu sebelum berfikir untuk meminta kebenaran menonton cerita kegemaran anda!” atau ‘renungan’ yang berkata “Jangan berani meminta ais krim daripada saya jika anda masih belum menghabiskan makan malam!”

    Walau bagaimanapun, bolehkah mereka menyampaikan mesej dengan banyak secara bukan lisan? Salah satu aspek paling penting tentang komunkasi bukan lisan bermula dengan hubungan mata. Ingat, menggalakkan anak/remaja anda memandang mata anda bukan bermakna anda menggalakkannya untuk mencabar kuasa anda; sebaliknya anda sedang menggalakkannya untuk menjadi lebih yakin.

    Pastikan anda menggalakkan banyak hubungan mata apabila berkomunikasi dengan anak/remaja anda dan juga postur yang betul apabila berdiri atau duduk di rumah. Merakam video menggunakan telefon pintar juga adalah cara yang baik untuk menunjukkan kepada anak anda tanda-tanda bukan lisan sesuai yang dia pamerkan contohnya seperti postur yang kurang baik atau jika dia mempunyai sebarang tabiat yang buruk. Ingatkan anak anda bahawa postur yang baik menggambarkan keyakinan diri dan tanggapan pertama adalah penting, ini penting terutama dalam temu duga.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen